Setiap generasi yang lahir dalam negara moden bernama Malaysia, jika mengikuti sistem pendidikan nasional, prinsip dalam Rukun Negara seperti ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’ pasti sering diungkapkan.
Namun pernahkah kita bertanya kepada pakar Perlembagaan Persekutuan atau cikgu-cikgu di sekolah lepasan universiti tempatan yang bertahun-tahun mengajar, ‘Tuhan’ mana yang disebut dalam Rukun Negara itu?
Ia Rukun Negara, Bukan Rukun Peribadi
Yang sering diungkapkan dalam perhimpunan sekolah atau majlis-majlis rasmi Kerajaan adalah Rukun Negara, rukun bagi sebuah negara bernama Malaysia atau dahulunya Persekutuan Tanah Melayu.
Jelas ia bukan rukun peribadi, bukan rukun peribadi Ah Chong yang beragama Budha atau rukun peribadi Kumalasari yang beragama Hindu atau rukun peribadi Joseph yang beragama Kristian.
Jika banyak membaca tentang sejarah negara, jati diri negara, agama negara, jelas perkara ini wujud dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia langsung tidak seharusnya dipertikaikan.
Apatah lagi istilah ‘Tuhan’ yang disebut dalam Rukun Negara itu ditafsir sendiri tanpa merujuk Perlembagaan Persekutuan dan tanpa sedar, kita menjadi ejen yang menyebar luas fahaman songsang itu secara bebas.
Baca Artikel Berkaitan > Persekutuan Tanah Melayu Adalah Negara-Negara Yang Bersatu
Islam Bukan Agama Rasmi, Tetapi Agama Bagi Persekutuan
Dalam Perkara 3 (1), Perlembagaan jelas mentakrifkan Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.
Namun malangnya sehingga hari ini, bukan hanya pelajar sekolah, malah pemimpin NGO dan pemimpin politik sendiri, kadang-kala kononnya bangkit memperjuangkan kedudukan Islam tetapi langsung tidak tepat.
Boleh tonton dalam kebanyakan video atau komentar yang ditinggalkan dalam media sosial, bersepah-sepah rakyat Malaysia yang beragama Islam menulis ‘Islam adalah agama rasmi negara’.
Perkara ini tuan-tuan dan puan-puan.. kalau bawa sampai ke mahkamah.. hujah kita sangat longgar.. hujah kita ibarat sekadar persepsi.. hujah kita cukup dangkal kerana mengetepikan kekuatan Perlembagaan Persekutuan.
Frasa ‘Islam adalah agama bagi Persekutuan’ jelas menunjukkan tiada agama rasmi atau tidak rasmi, seperti contoh agama rasmi Malaysia adalah Islam, agama tidak rasmi Malaysia adalah Hindu, Budha dan Kristian.
Perkara ini tidak berlaku kerana Perlembagaan Persekutuan jelas mentakrifkan agama bagi negara ini adalah Islam dan Islam adalah agama bagi Persekutuan.
Jadi fikirkan semula.. ‘Tuhan’ mana yang dimaksudkan dalam Rukun Negara itu? Apakah masih ada pihak yang cuba mengapi-apikan perkara ini dan mencetuskan kegusaran awam?
Ketua Utama Negara Bagi Persekutuan Adalah YDPA
Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan jelas mentakrifkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah Ketua Utama Negara dan dalam memerintah negara, YDPA tertakluk kepada Perkara 37 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan adalah berkait dengan sumpah jawatan bagi YDPA dan untuk Perkara 37 (1), YDPA hendaklah sebelum menjalankan fungsinya mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan yang dinyatakan dalam Bahagian I Jadual Keempat.
Ia perlu dilakukan di hadapan Majlis Raja-Raja dan dengan kehadiran Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan (atau semasa ketiadaannya dengan kehadiran hakim Mahkamah Persekutuan yang kanan selepasnya yang ada); dan sumpah itu hendaklah diakusaksikan oleh dua orang yang dilantik bagi maksud itu oleh Majlis Raja-Raja.
Dalam Jadual Keempat, berikut adalah sumpah jawatan bagi YDPA yang secara jelas akan memelihara pada setiap masa Agama Islam dalam negara ini.

Perlembagaan Sudah Takrifkan Tuhan Yang Mana Dalam Rukun Negara Itu
Dengan adanya sumber bertulis dalam Perlembagaan Persekutuan ini, jelaslah bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan dan Allah SWT adalah Tuhan yang disebut dalam Rukun Negara itu.
Namun malangnya bagi kebanyakan bangsa Melayu beragama Islam yang juga merupakan rakyat Malaysia, Perlembagaan Persekutuan ini cukup jauh daripada komuniti kita.
Apabila berlaku sebarang masalah atau kekeliruan berkait dengan negara, kita lebih mudah untuk percaya bulat-bulat apa yang tertulis dalam media sosial sedangkan buku Perlembagaan Persekutuan murah harganya.
Buku Perlembagaan Persekutuan ini ada yang harganya tidak sampai RM20 dan pergilah ke mana-mana kedai buku dalam Malaysia, pasti kita akan jumpa sekiranya ada buat pencarian.
Ini adalah negara Malaysia yang menjulang Islam dengan manhaj ahli sunnah wal jamaah dan sebagai umat Islam dalam Malaysia, perkara ini perlu jadi satu kebanggaan, bukan kegusaran awam yang mencuit sensitiviti!