Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (Pertama) terpanggil untuk menzahirkan sokongan kepada DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj sebagai Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) berhubung kenyataan yang dikeluarkan 9 April lalu.
Pertama bersyukur ke hadrat ilahi kerana DYMM Sultan Sharafuddin menunjukkan ketegasan yang dinanti-nantikan selama ini dengan kenyataan jelas dan tegas;
1) Menzahirkan kedudukan Majlis Raja-Raja Melayu yang melantik Sultan Sharafuddin sebagai Pengerusi MKI yang diwujudkan dan dilantik oleh Majlis Raja Raja (MRR). MRR adalah punca kuasa untuk hal-hal yang berkait dengan ehwal Islam.
2) Peranan DYMM Sultan Sharafuddin yang dilantik sebagai Pengerusi MKI selari dengan sumpah jawatan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang Di Pertuan Agong yang bersumpah untuk menjaga kesucian Islam sebagai agama bagi Persekutuan menerusi fikrah rasmi ahli sunnah wal jamaah
3) Mengukuhkan kedudukan ahli sunnah wal jamaah yang berpaksi kepada rukun agama yang meliputi rukun Islam, rukun iman dan rukun ihsan
Dalam rukun agama itu, masyarakat juga harus tahu bahawa teras rukun Islam membawa kepada ilmu feqah berlandaskan mazhab Syafie, teras rukun iman membawa kepada akidah yang benar berlandaskan pegangan asyariah wal maturidiyah dan rukun ihsan membawa kepada pengamalan tasawuf berlandaskan aliran al-Ghazali dan Tarekat Naqsybandi sebagai contoh yang boleh dirujuk.
Pertama juga suka untuk ingatkan kepada seluruh umat Islam yang berada di negara ini dengan mendokong ketegasan Pengerusi MKI, bukan lagi mahu berpolemik yang tidak berkesudahan.
Sejarah menunjukkan pengamalan tarekat (berkait dengan rukun ihsan) sudah lama diamalkan di Tanah Melayu dan ia bukan sahaja diamalkan oleh para ulama, umara dan orang awam, malah Raja-Raja Melayu teguh mendokong rukun agama ini untuk berdiri sebagai pemimpin agama, bangsa dan negara.
Daulat Tuanku
Abdul Kareem Said Khadaied
Setiausaha Agung Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia