Isu Semasa

Kentalkan Jiwamu, Cabaran 2024 Semakin Getir!

Menyambut kedatangan 2024, penuh perasaan kecewa dan marah. Ada sekelumit harapan, namun perjalanan 2024 dibuka dengan lembaran yang sangat rumit, kompleks dan penuh kontradiksi. Dunia berada dalam persimpangan yang kronik ketika kemanusiaan menjadi mangsa kepada kerakusan dan pelenyapan nilai keadilan dan kesaksamaan antara manusia.

Keadaan di Gaza mencuri seluruh perhatian dan tumpuan. Gaza bermandi darah selama 85 hari menjelang detik jam 12.00 malam 2023 bermula 7hb Oktober 2023.

Kini nampaknya dunia akan melangkah ke tahun 2024 dengan jumlah yang bakal terbunuh terus meningkat di Gaza dan Tebing Barat. Jika situasi di Gaza tidak kelihatan mereda, dunia akan menyaksikan tercetusnya perang yang bakal melebar. Natijahnya sangat mengerikan jika kuasa besar sedia melancarkan perang proksi dengan penggunaan senjata pemusnah tercanggih di dunia.

Tahun 2023 berakhir dengan Gaza menjadi medan pembunuhan massa yang tidak terbayang. Yang pasti masyarakat antarabangsa menunjukkan kegagalan yang amat jelas. Dunia menjadi saksi kepada pembantaian ke atas kanak-kanak dan wanita di Gaza setiap detik tanpa berbuat apa-apa selain hanya kata-kata. Setiap hari menyaksikan nyawa hilang tanpa pembelaan. Genosid berlaku terang-terangan dan pelakunya terlepas dari sebarang hukuman.

Tahun 2023 meninggalkan legasi kezaliman manusia ke atas manusia yang tidak terkata. Pemimpin dunia hanya mampu meluahkan kata-kata, selebihnya hanya menonton seperti sekitar 8 bilion manusia yang lain di muka bumi hampir semuanya tidak bermaya dan putus asa dan kecewa.

Setelah covid mereda dan dunia mulai melangkah untuk pulih, 2023 didatangi dengan keganasan perang yang sangat tegang. Hegemoni kuasa besar jelas mahu mencatur dunia mengikut selera yang dimahukan. Dunia terbelah kepada dua pesaing besar yang tidak mahu mengalah. Perang dingin kembali di persada dunia tetapi kali ini ia bakal meledak kepada perang proksi.

Baca juga>> Tahun 2024 – Bermulanya Sebuah Kebangkitan di Nusantara?

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata,  isu perubahan iklim dan keterjaminan makanan menjadi debat dunia sepanjang 2023. Bencana alam yang kerap dan semakin intensif. Pemanasan bumi, banjir yang memusnahkan, taufan dan gempa bumi yang menghancurkan telah menatijah ratusan juta manusia berdepan nasib yang tidak menentu.

Krisis kesihatan yang belum cukup tuntas sehingga mengakhiri 2023, menunjukkan betapa negara-negara kecil menagih ihsan dari kuasa besar. Semakin jelas politik kesihatan nampaknya mencetus teori konspirasi yang semakin menimbulkan kesangsian dunia terhadap sistem kesihatan dunia.

Manipulasi sosio-ekonomi kuasa besar meninggalkan kesan bukan kepalang. Jutaan manusia kebuluran, hilang tempat tinggal, terbunuh akibat perang dan penyakit. Sementara ekonomi yang mencengkam golongan bawahan telah merumitkan kehidupan dan kelangsungan hidup.

“Kemiskinan tetap menjadi wajah dunia kepada sebahagian besar penduduk yang tidak dapat diselesai dengan tuntas.”

Mohd Azmi berkata, bagi Malaysia, apakah 2024 bakal membawa harapan? Pertempuran politik nampaknya tidak reda. Perebutan kuasa terus menjadi tumpuan. Manakala nasib rakyat semakin rumit. Terlalu ghairah dengan politik akan melumpuh negara untuk melangkah ke hadapan.

Sebetulnya, Malaysia masih dianggap negara istimewa. Secara relatif, Malaysia masih jauh lebih selesa berbanding dengan negara lain. Apakah isu utama yang perlu ditangani? Sudah pasti yang diperlukan ialah tumpu kepada memperbaiki pengurusan negara. Rakyat mahu melihat negara menuju kepada pengukuhan ekonomi. Politik keharmonian tercabar dan negara masih bergelut dengan politik perkauman dan kesempitan berfikir.

Apapun 2024 tetap berada dalam episod kehidupan setiap warga. Menoleh masa lalu, mencermati masa kini dan melangkah masa depan harus menjadi proses yang perlu dilalui jika 2024 akan menjadi lebih bermakna.

 

Yang menarik:

DAH AKHIR ZAMAN BILA NAK BANGKIT WAHAI MELAYU (PROF.DR.MOHD RIDHUAN TEE BIN ABDULLAH)

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker