Nabi Muhammad SAW diajar memahami al-Quran oleh Jibril AS secara bertalaqi (berguru) namun generasi yang kononnya memiliki sedikit lebih ilmu tegas mengatakan ‘CUKUPLAH BELAJAR DARIPADA AL-QURAN & HADIS’.
Apabila pihak yang berpegang dengan ahli sunnah wal jamaah yang menjadi fikrah rasmi pengamalan Islam di Malaysia, kumpulan di atas berpendapat ia sesat dan melontarkan kalimah capal dan kuburiyun sebagai contoh.
Dalam sirah Nabi Muhammad SAW, Jibril AS menjadi guru kepada baginda melalui beberapa peristiwa penting dan bersejarah seprti turunnya wahyu pertama di Gua Hira’ pada malam 17 Ramadan.
Nabi Muhammad SAW yang dilahirkan sebagai buta huruf atau ummi, diperintahkan untuk membaca ayat al-Quran, lalu Jibril AS mengajarkan kepada baginda dengan ayat 1 hingga 5 surah al-‘Alaq.
Peristiwa ini dirakam dalam hadis sahih al-Bukhari yang diriwayatkan Saidatina ‘Aisyah RA sekali gus memberi mesej penting perlunya berguru jika mengaku kita adalah umat Nabi Muhammad SAW.
Sedangkan jika berpegang dengan ahli sunnah wal jamaah sekali pun, pegangan umat Islam INSYAALLAH lebih kukuh kerana yang didukung dalam hati adalah al-quran, sunnah, ijmak ulama dan qias.
Hal ini demikian kerana generasi yang ada bukannya hidup pada zaman Nabi Muhammad SAW atau pun para sahabat, jadi bagaimana mereka boleh mentafsir al-quran dan sunnah secara sendiri-sendiri?
Nak tak nak, keperluan berguru itu menjadi salah satu perkara penting untuk menjalani sebagai seorang umat Islam yang sentiasa mencari jalan mengenal Allah, mengenal diri, memahami ujian dunia dan memberikan roh YANG TIDAK MATI bekalan untuk meneruskan perjalanan sehingga akhirat.
Bayangkan golongan penolak ulama ini masih tegas dengan prinsip mereka, bagaimana mereka boleh dapatkan sijil-sijil pengajian mereka? Mereka belajar sendiri-sendiri atau berguru?
Kalau belajar sendiri-sendiri, kemudian hadiahkan sijil dan ijazahkan diri sendiri, kemudian tegas melaung perlu tolak ulama kerana di dalamnya ada elemen berguru, layaklah juga.
Namun hairannya, kumpulan ini jugalah yang gigih mempromosi atau persoalkan keperluan belajar agama dengan mursyid, ulama, ustaz, guru dan sebagainya.
Sedangkan daripada Fatimah RA berkata, Nabi Muhammad SAW telah berbisik kepadanya:
أَنَّ جِبْرِيلَ كَانَ يُعَارِضُنِي بِالقُرْآنِ كُلَّ سَنَةٍ، وَإِنَّهُ عَارَضَنِي العَامَ مَرَّتَيْنِ، وَلاَ أُرَاهُ إِلَّا حَضَرَ أَجَلِي
Maksudnya: “Jibril membacakan al-Quran kepadaku setiap tahun sekali dan sesungguhnya Jibril membacakan al-Quran kepadaku pada tahun ini sebanyak dua kali. Aku tidak melihatnya melainkan isyarat bahawa ajalku telah datang”. [Riwayat al-Bukhari (3353)]
Nabi Muhammad SAW, insan paling mulia, kekasih Allah SWT, pembawa kebenaran ilmu akhir zaman untuk SELURUH UMAT MANUSIA tanpa mengira kaum serta latar belakang, penyempurna pegangan akidah yang diperjuangkan para nabi sepanjang zaman, turut ada seorang guru iaitu Jibril AS, kenapa kita tidak mahu ikut?
Sejauh mana kita memahami al-Quran yang ada terjemahan itu? Sejauh mana kita mengetahui rahsia-rahsia dalam al-Quran? Sejauh mana kita mampu menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup?
Atau sekadar bercakap pandai, lebih-lebih menulis dalam komen di media sosial namun hakikatnya al-Quran di rumah pun sampai berhabuk, bukan sekadar jarang dibaca, faham sepenuhnya pun tidak.
Berdasarkan riwayat yang ada, jelaslah amalan berguru, berulama, berustaz, berustaz, bersifu, berteacher dan seangkatannya dalam mencari apa-apa ilmu yang benar selari dengan kelakuan Nabi Muhammad SAW.
Kata nak ikut sikap-sikap Nabi Muhammad SAW, kata nak ikut apa sunnah-sunnah Nabi Muhammad SAW, kenapa tiba pada bahagian berguru, terus tolak dan kata cukuplah ikut al-Quran dan sunnah sahaja. Biar betul?