Sejarah

Kenapa Melayu Puja Hang Tuah? Ini Sebabnya

Sebut sahaja Hang Tuah, siapa sahaja yang tidak mengenal pahlawan legenda ini terutamanya dari kalangan bangsa Melayu. Beliau di anggap sebagai satu simbolik setia kawan, keberanian dan nilai-nilai murni dalam budaya Melayu. Kisahnya yang masyhur bersama saudaranya Jebat di zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka mengangkat betapa tingginya nilai kesetiaan kepada raja berbanding persahabatan itu sendiri.

Namun mengapa Melayu begitu ‘memuja’ Hang Tuah sehingga ada di antara mereka menamakan anak lelaki mereka sebagai Tuah?

Bangsa Melayu yang terkenal dengan institusi kesultanan sangat mementingkan kehormatan kepada raja. Hang Tuah adalah contoh utama kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan, yang mana dianggap sebagai tindakan mulia dalam budaya Melayu. Nilai murni ini turut di sematkan di dalam Rukun Negara yang kedua iaitu ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’. Kesetiaan beliau kepada sultan dan nilai-nilai kebenaran dianggap sebagai prinsip penting dalam hidup yang patut diikuti.

Seterusnya, Hang Tuah dianggap sebagai seorang pejuang ulung yang mahir dalam seni bela diri tradisional Melayu, termasuk seni silat. Kemahiran bela diri ini memberi pengajaran kepada kita untuk sentiasa bersedia menghadapi rintangan musuh. Jika bangsa lain terkenal dengan seni pertahanan diri mereka seperti taekwando, judo, dan sebagainya, berbanggalah bangsa Melayu kerana silat kita diturunkan dan praktikkan sendiri dari keturunan nenek moyang kita. Kebolehan Hang Tuah dalam mempertahankan diri dengan pedang, keris membuatkannya menjadi seorang pejuang yang ditakuti dan dihormati.

Hang Tuah juga turut digambarkan sebagai prestasi-heroik melalui kisah-kisah pencapaian hebatnya dalam mempertahankan wilayah sultan dari ancaman luar, pertarungan dan aksi-aksi keberaniannya. Figura sebagai seorang heroik ini memberi ilham dan motivasi kepada generasi-generasi seterusnya supaya tidak mudah mengalah terhadap musuh.

Selain daripada itu, Hang Tuah juga terkenal dengan persahabatannya yang mendalam dengan kumpulan pejuang rakan sepupunya, yang dikenali sebagai “Saudara.” Mereka adalah Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu dan juga Hang Kasturi. Persahabatan yang kukuh ini menunjukkan pentingnya hubungan sosial dalam budaya Melayu bagi memelihara keharmonian, kestabilan Masyarakat dan perdamaian.

Warisan kebudayaan dan nilai-nilai yang dikaitkan dengan Hang Tuah terus diperkatakan sehingga kini sama ada dalam bentuk sastera, teater, dan acara-acara budaya. Beliau dianggap sebagai simbol identiti Melayu dan merupakan sebahagian penting daripada warisan budaya Melayu. Jadi tidak hairanlah mengapa Hang Tuah sangat dihormati dalam Masyarakat Melayu terutamanya di Malaysia dan Indonesia.

Walaupun terdapat perdebatan mengenai ketepatan sejarah kewujudan Hang Tuah, nilai-nilai yang dikaitkan dengannya tetap menjadi unsur penting dalam warisan budaya Melayu. Ia menggambarkan sifat-sifat luhur yang dihormati oleh masyarakat Melayu, seperti kesetiaan, keberanian, dan integriti, dan menjadi teladan yang dihormati dan ditaati.

 

Baca juga:

>> Kebijaksanaan dan Kehandalan Hang Tuah buat Raja Bijaya Nagaram (India) menganga!

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker