Malaysia sebuah negara yang unik kerana rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Walaupun berlainan latar belakang, negara ini mampu mengekalkan keamanan dan toleransi sesama masyarakatnya yang majmuk. Mungkin ada di antara kita kurang peka, namun ianya mungkin menjadi satu pandangan bagi orang luar melihat di Kuala Lumpur lebih banyak orang bukan Melayu berbanding kaum Melayu itu sendiri selaku kaum majoriti di negara ini.
Jika diselusuri sejarah terdahulu, penjajahan British di Tanah Melayu telah menjalankan dasar pecah dan perintah (divide and rule) di mana pengasingan kaum mengikut pekerjaan dan penempatan telah dilakukan. Sebagai contoh orang Melayu ditempatkan di kampung-kampung, orang Cina ditempatkan di bandar dan orang India ditempatkan di kawasan estet. Hal ini memastikan British dapat mengekalkan kuasa pemerintahan mereka dan menghalang perpaduan antara kaum.
Hasil daripada pengasingan sejak dahulu, pertumbuhan kaum berdasarkan tempat asal semakin menunjukkan kesan signifikan pada ketika ini. Orang cina yang sudah lama bertapak di bandar sudah pasti jalurannya semakin berkembang kukuh di bandar. Melalui kegiatan berniaga, sudah pasti mereka mencari tempat lebih ramai orang berkumpul dan memerlukan kemudahan infrastruktur yang lebih baik. Jadi tidak mustahil apabila melihat kedudukan orang Cina kini dilihat lebih maju ekonominya melalui perniagaan kerana ianya sudah lama terbina sejak dahulu.
Baca juga>>Terbentuknya Wilayah Persekutuan Adalah Atas Kesudian dan Izin Perkenan Raja-Raja
Orang Melayu yang sudah biasa tinggal di kampung lebih suka berada di kawasan yang tenang tanpa sibuk mengejar keduniaan. Malah orang Melayu mempunyai kemahiran kehidupan yang lebih lasak seperti bertani, menangkap ikan, pertukangan dan sebagainya. Jadi tidak hairan tanah-tanah pusaka, ladang tanaman, rumah kampung tradisional, penempatan FELDA banyak dimiliki oleh orang Melayu yang kini diwariskan kepada anak cucu keturunan mereka.
Namun sejajar dengan perkembangan ekonomi negara, orang Melayu sudah mula mengorak langkah dengan berpindah dari kampung ke bandar bagi mencari peluang pekerjaan dan mengeratkan lagi kesepakatan antara mereka. Ia nya merupakan satu usaha dan pengorbanan yang patut dipuji kerana kesungguhan orang Melayu dalam menuntut ilmu demi mendapatkan kehidupan yang lebih berkualiti tanpa melupakan asal-usul mereka di kampung.