Sejarah telah membuktikan zaman kegemilangan Tamadun Melayu yang digelar Semenanjung Emas ini sememangnya unik dan wujud dalam pelbagai bentuk.
Salah satu bukti kegemilangan ini adalah wujudnya dari Sistem Monarki yang masih kekal hingga hari ini.
Kerana itulah kita tengok sudah beberapa kali cuba diruntuhkan oleh ahli-ahli politik yang berfahaman liberal dan fahaman liar lainnya.
Kerana mereka juga percaya di situ terletaknya kedaulatan bangsa Melayu dan negara ini.
Dan mengapa pula hingga hari ini ia masih terus gah berdiri dan terpaksa pula dikendong dan dijunjung di dalam Sistem Demokrasi Berperlembagaan.
Mungkin mereka lupa hakikat berdaulatnya Sistem Beraja ini adalah disebabkan tersarungnya cincin Roh Islam yang sejati.
Di samping kemas pula dengan Sunnah Nabi Muhammad SAW yang telah terikat rapi.
Jadi kalau nak runtuhkan kedaulatan Raja-Raja, sudah tentu mereka perlu jatuhkan dahulu syiar Islam yang telah menebar menjadi inti pati di dalam diri setiap bangsa Melayu.
Itulah yang menjadikan misi mereka itu sebagai mustahil.
Kerana kalau melawan kedaulatan Islam pula secara otomatiknya mereka seperti mahu berperang melawan Allah SWT dan Rasul utusan-NYA.
Ini yang bahayanya! Nauzubillahiminzalik, Ketulahan nanti kerana bangsa Melayu yang sejati itu sememangnya berdaulat!
Jadi di mana pula lambang atau simbol kedaulatan itu?
Kalau kita lihat salah satu simbol yang diwarisi oleh kerajaan Melayu melalui daulah empayar Islam di dalam pengaruh Nabi SAW ialah pada Cap Mohornya.
Selepas tahun 628 Masihi, Cap Mohor ini sering digunakan oleh Nabi Muhammad SAW dalam setiap surat Baginda kepada Ketua-Ketua delegasi dari Negara luar.
Cap rasmi ini mewakili pemerintahan kerajaan Islam yang diukir nama ‘Muhammad Rasulullah’ yang dicap di atas surat jemputan mengandungi seruan kepada Islam.
Sejak itu, Cap Mohor telah menjadi tradisi di seluruh dunia Islam.
Cap mohor ini jugalah menjadi antara Sunnah yang di pegang kukuh oleh Institusi Raja-Raja Melayu.
Penggunaan Cap Mohor Diraja Melayu juga telah wujud sejak 1445 semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah di Melaka lagi.
Sebelum kedatangan Portugis 1511 ia turut digunakan dalam perhubungan diplomatik dan perdagangan serta penyebaran Islam oleh Kerajaan Melayu di seluruh Asia Tenggara.
Pada kurun ke-17 juga terdapat bukti yang jelas mengenai kewujudan Cap Mohor Di Raja iaitu pada surat-surat utusan Diraja kepada kuasa Barat.
Cap mohor turut digunakan dengan meluas dalam Persuratan Melayu antara tahun 1560 dengan abad ke-20 dan menjadi simbol penting dalam sistem komunikasi pada waktu itu.
Di dalam Negara kita Cap Mohor ini melambangkan kuasa dan simbol keagungan hak Institusi Raja-Raja Melayu yang meletakkan Islam di tempat teratas.
Sebab itu Cap Mohor bangsa Melayu ini banyak dipengaruhi ciri-ciri Islam seperti meletakkan ayat-ayat al-Quran dalam Bahasa Arab atau tulisan Jawi.
Selain berfungsi di dalam pentadbiran dan memperlihatkan kesenian yang tinggi Surat Cara yang dimeterai dengan Cap Mohor ini membuktikan kesahihan dan asal usul identiti pengirimnya.
Cap Mohor adalah penegasan pendirian sesebuah negara yang menjadi simbolik kepada keagungan sesebuah tamadun di dunia.
Semestinya yang paling utama Cap Mohor ini adalah Sunnah dari seorang Pemimpin Islam Teragung yang berdaulat abadi yang kini menetap di kampung Azali.
Maka kerana Sunnah inilah Cap Mohor terus menjadi simbol kepada kedaulatan Raja-Raja Melayu sehingga kini.