Isu Semasa

Kementerian Kewangan Tiada Kuasa Atas ‘Kerakusan’ BNM Naikkan OPR Sesuka Hati

Kementerian Kewangan tidak mempunyai kuasa untuk menghalang ‘kenakalan’ Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sesuka hati.

Biar pun alasan BNM bahawa ia bertujuan memastikan kestabilan harga dan kemampanan pertumbuhan ekonomi dalam jangka panjang, rakyat tetap merasakan deritanya.

BNM Punyai Hak

Menurut laporan media, BNM mempunyai hak dan kuasa dalam membuat keputusan berkaitan dengan OPR tanpa perlu membabitkan campur tangan kerajaan bagi memastikan kestabilan ekonomi negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hak dan kuasa yang memberi kesan kepada ekonomi negara telah diberi pengkhususan masing-masing seperti yang termaktub dalam peraturan dan undang-undang Malaysia.

“(Perubahan berhubung) OPR adalah keputusan Bank Negara (Malaysia) dan bukan Kementerian Kewangan. Kalau nak bincang, saya boleh bincang. Tapi itu adalah ‘wenang’ (kuasa) Bank Negara Malaysia,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet.

Anwar berkata demikian sebagai menjawab soalan berhubung impak dan tindakan oleh Kementerian Kewangan susulan jangkaan kenaikan OPR sebanyak dua kali oleh BNM.

Asbab BNM naikkan OPR

Keputusan BNM untuk menaikkan OPR iaitu penanda aras untuk menentukan kadar faedah pinjaman bank bertujuan memastikan kestabilan harga dan kemampanan pertumbuhan ekonomi dalam jangka panjang.

Pada Julai 2022, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, kenaikan itu perlu dibuat bagi mengelakkan turun naik harga yang keterlaluan dalam ekonomi.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata pelarasan yang dibuat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM dengan menaikkan OPR pada mesyuarat 11 Mei dan 6 Julai lalu masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus bertujuan membantu mengelakkan permintaan dalam negeri yang berlebihan, yang boleh menambah tekanan inflasi.

Katanya, langkah menaikkan kadar itu juga adalah bagi mengelakkan kenaikan kadar faedah pinjaman bank lebih agresif pada masa hadapan.

Baru-baru ini, BNM dijangka mengekalkan OPR pada 3.0 peratus untuk seluruh 2023 selepas berkemungkinan besar mengumumkan satu lagi kenaikan terakhir sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus, 19 Januari ini.

Namun bagi tahun-tahun akan datang selepas 2023, tidak pasti sama ada akan terus dikekalkan atau diturunkan kerana kuasa itu terletak pada BNM.

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker