Sejarah

Kemahuan Rakyat Sabah & Sarawak Membawa Kepada Pembentukan Malaysia

16 September menjelang lagi. Tarikh yang membawa kita mengingati sejarah pembentukan negara Malaysia yang tercinta.

Pada tarikh tersebut, empat pihak iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak mewakili negeri-negeri Borneo serta Singapura bersetuju untuk bergabung dan membentuk sebuah negara dikenali sebagai Malaysia.

Namun, persetujuan tersebut telah didahului dengan pelbagai perbincangan, siasatan, syarat-syarat dan tinjauan yang dilaksanakan sehingga termaktubnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

MA63 secara asasnya mengandungi memorandum khusus untuk setiap wilayah Borneo iaitu 18 perkara untuk Sarawak dan 20 perkara untuk Sabah.

Ia dilaksanakan bermula bulan Mei 1961 untuk menyesuaikan syarat-syarat bagi kedua-dua negeri Borneo tersebut bagi bergabung ke dalam Malaysia dan menjamin kepentingan negeri terbabit.

Pelbagai jawatankuasa dan suruhanjaya telah dibentuk bagi tujuan siasatan. Antara yang terpenting ialah Suruhanjaya Cobbold yang dibentuk pada Januari 1962.

Suruhanjaya ini dipengerusikan oleh Lord Cameron Cobbold, seorang bekas Gabenor Bank of England dan ahlinya ialah Antony Bell dan David Watherston pula mewakili Britain.

Manakala, Tun Muhammad Ghazali Shafie serta Tan Sri Wong Pow Nee dilantik mewakili Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Fungsi utama suruhanjaya ini ialah membuat tinjauan pendapat terhadap penduduk negeri Sabah dan Sarawak berkenaan penubuhan gagasan Malaysia.

Hasil tinjauan mendapati kira-kira 80 peratus penduduk kedua-dua negeri tersebut telah menyokong penubuhan Malaysia.

Pada 16 Ogos hingga 5 September 1963, Setiausaha Agung PBB pula telah menghantar satu rombongan diketuai Lawrence Michaelmore ke Sabah dan Sarawak membuat tinjauan dan turut mendapati majoriti rakyat Sabah dan Sarawak menyokong gagasan Malaysia.

Kemudiannya, Suruhanjaya Cobbold mencadangkan supaya Perlembagaan Tanah Melayu sedia ada dijadikan asas membentuk Perlembagaan Persekutuan Malaysia baharu dan disesuaikan dengan mengambil kira kepentingan khas negeri-negeri Borneo.

Maka, pada 16 September 1963, pengisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara dibuat hasil kesepakatan yang dicapai melalui suara majoriti rakyat di kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak.

Maklumat mengenai proses-proses ke arah pembentukan negara Malaysia sewajarnya disampaikan bukan sahaja kepada pelajar dan murid sekolah, malah, seharusnya sehingga kepada semua lapisan rakyat negara ini.

Penulisan dan penyampaian maklumat dalam bentuk cetakan dan digital, disusuli pelbagai wacana intelektual dan awam harus diperbanyak dan diperluaskan agar rakyat Malaysia dapat memahami dan menghargai kedaulatan negara tercinta.

Baca juga Mengapa Sabah & Sarawak Setuju Menyertai Malaysia Pada 16 September 1963?

Dan Layak Ke Orang Sabah Dan Sarawak Dapat Status Bumiputera?

[wpdevart_like_box profile_id=”100109992115173″ stream=”hide” connections=”show” width=”300″ height=”100″ header=”small” cover_photo=”show” locale=”en_US”]

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button