Sejarah

Kehebatan Tukang Melayu Bina Masjid Tertua Abad Ke-14 Akan Dipadam Dari Catatan Sejarah?

➡️ Join group Whatsapp Demi Malaiu

Tidak ramai yang tahu dalam mukim Belimbing di negeri Melaka, wujudnya sebuah masjid tertua yang pernah dibina dalam abad ke-14.

Menariknya tentang masjid tertua ini, pengkaji sejarah mendapati ia telah dibina oleh tukang-tukang Melayu daripada keturunan Laksamana Hang Tuah.

Menurut Felo Penyelidik Kanan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd. Rosli Saludin, masjid tertua itu banyak menggunakan batu laterait merah.

“Kayunya pula adalah kayu penak dan antara keunikan masjid tertua ini adalah pembinaannya tidak menggunakan sebarang paku langsung.

“Masjid tertua ini pernah tersergam megah hanya dengan penggunaan pasak dan tasak serta terdapat tiang pecah lapan,” kata Mohd. Rosli kepada Demi Malaiu.

Mohd. Rosli berkata demikian mengulas kisah kewujudan masjid tertua yang dibina oleh tukang-tukang Melayu daripada keturunan Laksamana Hang Tuah di bumi Melaka.

Berkongsi gambaran lanjut mengenai masjid tertua itu, Mohd. Rosli turut menemui ukiran pada hujung kayu dan juga perigi dalam yang masih elok.

“Biar pun masjid tertua ini dijangka sudah tiga kali diubah suai sejak abad ke-14 yang lalu, ia tetap menggambarkan kehebatan seni bina tukang-tukang Melayu,” katanya.

Masjid tertua yang dikelilingi tanah perkuburan yang juga menggunakan batu laterait ini hanya tinggal 30 peratus sahaja yang masih kukuh.

“Selebihnya, sudah rosak dan perlu diselamatkan kerana masjid tertua ini memiliki nilai sejarah yang tinggi selain tinggalan bukti kehebatan seni pertukangan orang Melayu.

Sekiranya berkunjung ke mukim Belimbing, masjid tertua ini masih boleh dilihat meski pun ia ditinggalkan berdekatan dengan rumah orang, sungai serta sawah padi.

“Masih ada dibela kerbau berhampirannya dan penduduknya di situ amat ramah-tamah,” kongsi Mohd. Saludin mengakhiri cerita.

➡️ Join group Whatsapp Demi Malaiu

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button