Laksamana Hang Tuah bukan saja terkenal dalam ketangkasannya dalam seni bela diri, malah beliau juga seorang yang berani dan bijaksana. Tak hairanlah Laksamana Hang Tuah sering berlayar ke luar negara; luar dari negeri-negeri Nusantara dan berhubung dengan pemerintah di sana seperti di China, India, Tanah Arab, Rom dan sebagainya.
Hang Tuah pernah belayar ke India untuk mengadakan hubungan diplomatik dan perdagangan seperti dalam surat Raja Melaka ke Raja Kisna Rayan, raja kepada Bijaya Nagaram (Vijayanagara); raja Benua Keling. Jangan terkejut yang Hang Tuah boleh bertutur dalam beberapa bahasa asing dan salah satunya bahasa Bijaya Nagaram. Hang Tuah berkata beliau menuntut ilmu bahasa itu dari seorang lebai di Melaka.
Tercatat di dalam Hikayat Hang Tuah, beliau dipilih menjadi duta untuk menghubungkan kedua negara ini. Di sana, kebijaksanaan dan kehandalan Hang Tuah menjadi perhatian sehingga memikat Raja Bijaya Nagaram, Raja Kisna Rayan di India untuk berkhidmat dengannya. Salah satunya apabila Raja Kisna Rayan memerintah Hang Tuah untuk menjinakkan kuda tezi, kuda yang besar dan tinggi, berwarna hijau seperti sayap kumbang dan liar seperti singa galak.
Tidak gentar dengan perintah itu, Hang Tuah pun melompat naik ke belakang kuda dan memecutnya. Hang Tuah segera menundukkan kepalanya, terlindung di belakang telinga kuda itu dan memecutnya untuk mengelilingi balairong sebanyak dua tiga kali. Lalu Hang Tuah menarik tali kekang, kuda itu pun berhenti. Kagum dengan kehandalan Hang Tuah menjinakkan kuda tezi itu, Raja Kisna Rayan pun bertitah, “Hai Laksamana sungguhlah engkau hulubalang besar dapat naik kuda ini, kerana dalam hulubalangku yang banyak berpuluh-puluh keti ini tiada seorang pun bercakap menaiki dia”.
Hang Tuah juga bijaksana dalam ilmu mengubat apabila beliau membuat ubat untuk isteri Sang Nala Guna yang tidak beranak. Ceritanya, Sang Nala Guna (perdana menteri Bijaya Nagaram) dan isterinya mengambil Hang Tuah sebagai anak angkat kerana tidak mempunyai anak. Kemudian Sang Nala Guna meminta Hang Tuah membuat ubat untuk isterinya yang mandul dengan harapan Allah Taala mengurniakan zuriat buat mereka. Hang Tuah berjanji lalu membuat ubat yang rupanya seperti madat untuk diberikan pada isteri Sang Nala Guna.
Kebijaksanaan Hang Tuah juga menjadi perhatian sekali lagi ketika satu peristiwa antara Sang Nala Guna dan Raja Kisna Rayan. Raja bertitah ingin bersantap di rumah Sang Nala Guna namun melarang kayu api dijual pada Sang Nala Guna; barang siapa menjualnya akan dibunuh. Sang Nala Guna memohon pertolongan Hang Tuah untuk menyelesaikan masalah ini supaya beliau dapat menyediakan makanan untuk Raja Kisna Rayan. Hang Tuah kemudian mencadangkan menggunakan kain dan dicelup dalam minyak sebagai ganti kayu api. Ternyata kepandaian Hang Tuah dapat menyelesaikan permasalahan itu.
Satu lagi kebolehan Hang Tuah ditunjukkan kepada Raja Kisna Rayan, apabila beliau menunjukkan satu permainan yang luar biasa, tidak pernah lagi dilihat oleh sesiapa. Hang Tuah mengeluarkan satu benih buah kayu lalu ditanamnya. Setelah ditanam, benih kayu itu terus tumbuh dan mengeluarkan daun. Dengan segera juga benih itu berbunga, berputik dan masak buahnya. Setelah buah kayu itu dimakan Raja Kisna Rayan dan pembesarnya, pohon itu pun ghaib. Dikatakan Hang Tuah memperolehi benih itu dari mimpi.
Begitulah antara kehandalan dan keistimewaan Laksamana Hang Tuah yang terkenal di merata dunia waktu dulu. Kebijaksanaan dan kebolehannya meletakkan beliau di kedudukan yang tinggi darjatnya. Jika dibaca Hikayat Hang Tuah, selayaknya nama Hang Tuah diangkat sebagai Adi Wira Negara dan juga ikon perwira Melayu. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama; begitu jualah nama Hang Tuah yang masih lagi dihormati walaupun beratus tahun sudah berlalu.