Isu Semasa

Ke Mana Hilangnya Irama Dan Melodi Melayu Dalam Seni Lagu?

Melodi dan Irama Melayu, sejauh mana seni suara dan seni lagu sekarang ini ada lagu-lagu berunsur melodi Melayu. Hari ini seni muzik kita lebih cenderung mengikut barat, Korea dan hindustan sedangkan itu budaya asing. Kita tidak berbicara mengenai seni kata, tetapi lebih kepada irama dan melodi, rentak dan lenggok yang mencerminkan jati diri Melayu, seperti Keroncong, Asli, Irama Melayu, Joget, Inang, Syair, Seloka dan Gurindam.  Sedar tidak sedar semuanya semacam telah terkubur tanpa dipedulikan lagi ke mana perginya. 

Irama Melayu Adalah Sebuah Khazanah Penuh Keindahan Estetika 

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni, Akademi Seni Dan Teknologi Kreatif (ASTiF) UMS, Dr. Sharip Zainal Sagkif Shek berkata, Irama Melayu Asli adalah sebuah khazanah yang telah lama diperturunkan dari generasi ke generasi sejak berzaman lamanya. Irama Melayu Asli hari ini tidak lagi menjadi satu khazanah tetapi telah menjadi sejarah yang ianya hanya sebagai perbincangan dalam kelas-kelas Pendidikan Seni di sekolah-sekolah Seni dan akademi yang mempunyai kursus vokal Irama Melayu. Kemana hilangnya melodi dan irama Melayu itu hari ini?, persoalan ini telah lama bermain difikiran penggiat seni terutamanya pejuang Irama Melayu Asli. Melodi dan Irama Melayu mempunyai keindahan estetikanya tersendiri, sebagai contoh adalah lenggok lagu dan patah lagu, genre lagu Melayu asli itu sebagai contohnya genre langgam, Melayu Asli dan Melayu deli.

Mengimbau, lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee mengangkat irama bangsa telah dimatikan dengan pop ye ye dan hari ini anak-anak muda lebih berminat dengan irama dari barat dan Korea misalnya, kenapakah hal itu terjadi? 

Revolusi Muzik Merubah Corak Dan Gaya Muzik Dunia 

Dr Sharif menjelaskan, irama, tempo dan beat adalah antara penyebab utama mengapa irama bangsa yang diangkat oleh Tan Sri P.Ramlee telah dimatikan oleh genre yang lebih meriah dan ceria seperti pop yeh yeh pada ketika itu dan hari ini. Revolusi muzik merubah corak dan gaya muzik dunia dengan pembentukan beat, ritma dan tempo yang pelbagai seperti RNB, Pop, Ballad, Contemporary dan sebagainya. Genre baharu ini merubah lagi landskap kemeriahan dan keceriaan ‘style of groove and emotion’. Situasi ini sekali lagi menyukarkan irama Melayu asli bersaing dan berasilimasi dengan gaya muzik baharu.

Anak Muda Malu Dan Tidak Tertarik Dengan Irama Melayu 

Persoalan, mengapa anak muda malu dan tidak tertarik dengan Irama Melayu yang menjadi identiti bangsa, beliau berkata, perkara ini sangat terang dan jelas bahawa, generasi baharu masa kini lebih meminati muzik-muzik yang terkini dan trending. Antaranya seperti muzik dengan tempo yang laju contohnya K-POP, RNB dan muzik HIP HOP yang sangat mudah untuk ditarikan dengan gaya bebas selari dengan gerakan-gerakan kontemporari dari barat. Manakala irama Melayu penuh dengan adab dan sopannya yang tersendiri sejak dari zaman-berzaman. Irama Melayu mempunyai lenggok dan tertibnya yang tersendiri. Oleh yang demikian maka muncul satu rasa malu dan tidak tertarik dengan Irama Melayu ini kerana dirasakan ketinggalan zaman dan tidak up to date. Irama Melayu juga mereka rasakan tidak sesuai dengan mereka kerana peredaran masa dan berlaku evolusi muzik yang sangat cepat setiap masa yang sering kali dikaitkan dengan kreativiti dan rekonstruksi dalam penghasilan genre muzik baharu.

Irama Melayu Sudah Tidak Lagi Relevan Dengan Peredaran Zaman Dan Kedengaran Kolot 

Dr Sharif menjelaskan mengenai persoalan yang mengatakan bahawa Irama Melayu sudah tidak lagi relevan dengan peredaran zaman dan kedengaran kolot? Ya, benar. Menurutnya, jika dilihat dari segi sejarah kewujudan dan zaman kegemilangan, Irama Melayu sememangnya tidak lagi relevan dengan peredaran zaman dan boleh dianggap sebagai ketinggalan zaman dan kolot. Namun, pada hakikatnya Irama Melayu ini adalah sama seperti muzik klasik barat yang sehingga kini masih dimainkan oleh pemuzik-pemuzik terkenal. Irama Melayu seharusnya seperti itu, namun kurangnya dari kalangan pemuzik-pemuzik terkenal kita mengetengahkan genre Irama Melayu ini. Irama muzik klasik barat mempunyai siaran radio yang setiap hari sepanjang masa memainkannya sebagai contohnya siaran OPUS. Namun siaran yang memainkan Irama Melayu setiap hari sepanjang masa boleh dikatakan tidak ada. Yang ada hanyalah siaran yang mengikut slot tertentu dalam satu jam siaran.

Negara Luar Boleh Terima Dengan Baik Irama Melayu Kerana Nilai Estetikanya Yang Tinggi 

Bukankah, penggiat seni sepatutnya memperjuangkan identiti bangsa sendiri sebelum mengangkat muzik barat ataupun Korea tetapi kenapa hal itu tidak berlaku? Menurut Dr Sharif, ada yang mengangkat Irama Melayu ke tahap yang lebih besar dalam pertandingan-pertandingan nyanyian di luar negara dengan membawakan genre Irama Melayu dan mendapat tempat terbaik kerana keunikan dan kemerduan Irama Melayu itu sendiri. Kenapa negara luar boleh menerima dengan baik Irama Melayu ini?, ini adalah kerana nilai estetika yang tinggi dan indah dalam melodi Irama Melayu itu yang menjadi keunikan serta nilai kesusahan membawakan genre Irama Melayu itu.

Allahyarham Pak Ngah (Suhaimi Mohd.Zain) antara tokoh Irama Melayu yang membawa dan menyemarakkan Irama Melayu ke tahap yang menjadi bualan dan siulan para remaja dan kanak apabila penyanyi seperti Dato Seri Siti Nurhaliza, Kak Ani (Noraniza Idris), Syura dan ramai lagi muncul membawakan lagu-lagu ciptaan Pak Ngah yang bergenre Irama Melayu demi memperjuangkan identiti bangsa. Selain itu, antara nama besar yang memperjuangkan Irama Tradisional ialah Allahyarham Tan Sri SM Salim.

Irama Melayu Adalah Sesuatu Yang Susah Jika Kurang Pengetahuan 

Hari ini, kemanakah hilangnya pemain industri terutamanya pencipta lagu, komposer yang sepatutnya sarat dengan melodi Melayu dan mengapa tidak diperjuangkan? Jelas beliau lagi, Pencipta lagu dan pemain industri seni tidak kehilangan sentuhan untuk mencipta lagu-lagu yang bergenre Irama Melayu ini. Tetapi membuat satu lagu yang berirama Melayu Asli ini adalah satu kerja yang susah. Apatah lagi jika kurang terdedah dengan kefahaman citra Irama Melayu itu sendiri. Irama Melayu terutamanya yang berentak Joget, Inang, Zapin, Masri, Asli dan sebagainya adalah sesuatu yang susah jika kurang pengetahuan tentang jenis-jenisnya, iramanya, alat muziknya serta cara nyanyiannya. Kesesuaian si penyanyi yang akan menyampaikan lagu-lagu ciptaan yang berentak Irama Melayu ini juga perlu bersesuaian.

Perjuangan untuk identiti bangsa dalam muzik dan lagu-lagu Irama Melayu ini banyak di ketengahkan dalam beberapa pertandingan nyanyian dalam rancangan tv. Dalam rancangan tersebut, akan ada minggu Irama Malaysia yang akan memfokuskan kepada Irama Melayu sahaja namun bukan ciptaan baharu tetapi nyanyian dan gubahan dari lagu-lagu Irama Melayu lama.

Ciptaan Lagu Irama Melayu Ini Bukan Bersandarkan Kepada Nilai Komersial  

Ditanya adakah ciptaan irama lagu hanya bersandarkan kepada nilai komersial tanpa perlu memartabatkan seni bangsa?

Dr Sharif berpendapat, ciptaan lagu Irama Melayu ini bukan bersandarkan kepada nilai komersial. Ciptaan lagu Irama Melayu ini adalah kepada siapa penciptanya dan siapa yang menyanyikannya.

Contohnya, walau bagaimana hebatnya lagu ciptaan Irama Melayu itu dicipta, dengan melodi yang sedap di dengar, lirik yang menggunakan prosa kata bahasa lama, susunan ayat dengan ritma yang teratur akan tetapi lagu ciptaan itu dinyanyikan oleh penyanyi yang kurang ternama tetapi punyai kefahaman dan didikan yang baik dalam genre Irama Melayu, lagu tersebut tidak akan mendapat sambutan yang baik.

Sebaliknya, pula jika ciptaan lagu Irama Melayu itu biasa-biasa sahaja tetapi dinyanyikan oleh penyanyi terkenal, secara langsung lagu tersebut menjadi lagu pilihan ramai yang pertama kerana penyanyinya, kedua baharulah ciptaannya dan ketiga liriknya.

Industri Hiburan Malaysia Harus Memartabatkan Muzik Melayu 

Saranan Saya, Industri Hiburan Malaysia harus terus memartabatkan dan mempertingkatkan serta memperbanyakkan rancangan-rancangan beserta siaran yang memfokuskan kepada genre Irama Melayu ini. Sebagai contoh dalam siaran dokumentari, pertandingan yang nyanyian secara berkala atau tahunan, siaran radio yang mengkhususkan kepada Irama Melayu setiap hari dan sepanjang masa.

Selain, mewujudkan kursus atau subjek pembelajaran berkenaan dengan Irama Melayu dari semua sudut sebagai contoh adalah sejarah Irama Melayu, tatacara nyanyian lagu Irama Melayu, mengenal dan tatacara permainan alat muzik Irama Melayu dan sebagainya. Sememangnya, ada institusi pengajian tinggi yang mengajar kursus atau subjek seperti ini, tetapi tidak menyeluruh, jika ingin memartabatkan Irama Melayu ini sebagai identiti bangsa, maka pengajaran dan pembelajaran Irama Melayu ini perlu diajar dan diterapkan kepada pelajar bermula dari peringkat sekolah rendah sampai ke peringkat yang lebih tinggi.

Justeru, dengan cara ini akan lahir kecintaan, kefahaman dan jati diri mereka yang belajar dari awal tentang Irama Melayu ini sekaligus akan mencetuskan rasa tanggungjawab terhadap Irama Melayu ini sebagai satu khazanah identiti bangsa Melayu yang mesti terus dipelihara.

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker