Isu Semasa

Ke Mana Hilangnya Integriti, Manusia Jadi Rakus Tanpa Jati Diri?

Rumusan Minggu ini membawa pembaca melihat beberapa kes-kes jenayah, pembunuhan, rompakan, dadah dan hilangnya moral kerana rendahnya akhlak manusia yang berlaku di dalam negara bermula 16 Januari hingga 22 Januari 2023. Ini memperlihatkan kepada kita betapa negara ini semakin hilang nilai integrity asalnya.

Kontroversi Treler “Pulau”: Perjuangan Halalkan Softporn Demi Hiburan Rakyat

Kata Pensyarah Bahasa Moden dan Komunikasi, Hani Salwah Yaakup, babak yang didakwa panas di dalam filem tersebut dilakonkan oleh orang bukan Islam dan orang bukan Islam tidak boleh dihalang untuk berkarya. Lagi pula filem itu telah diklasifikasikan di bawah klasifikasi PG 13 di mana pengawasan dan bimbingan daripada ibu bapa serta penjaga diperlukan buat penonton yang berumur bawah 13 tahun dan ia bukanlah diklasifikasi sebagai tontonan (U) Umum. “Jadi yang kita boleh lakukan adalah kita membuat self-censorship,” jelas beliau. Bernaskan.

Tampil, Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Pansha berkata, filem sensasi, Pulau, tidak wajar untuk dikaji semula kerana filem itu tiada unsur lucah dan adegan panas.“Kami merasakan tiada adegan panas dan lucah yang tidak menitikberatkan budaya kesopanan dan kesusilaan sehingga boleh meruntuhkan moral masyarakat seperti dakwaan ramai,”. Dalam kenyataannya, Pansha berkata pihaknya mewakili Industri Perfileman Tempatan menerusi Jawatankuasa Skim Wajib Tayang, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berkesempatan melaksanakan pra-tonton filem tersebut selepas penerbit mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) berpandukan Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) KDN 2010. Jelasnya, PFM percaya tahap profesionalisme Jawatankuasa LPF yang memberi kelulusan terhadap filem Pulau dengan sewajarnya dan memohon agar filem itu tidak dikaji semula. Begitu ‘deep profesionalism’.

Terdahulu, sebaik trailer filem Pulau dimuat naik di media sosial, ramai orang mengkritik filem terbabit, mempersoalkan bagaimana naskhah itu diluluskan tayangan. Rata-rata, netizen terkejut melihat paparan wanita berpakaian seksi, berbikini dan adegan intim ala Hollywood. Malah, ada yang mengklasifikasikan naskhah terbabit sebagai ‘soft porn’ yang dianggap keterlaluan dan bercanggah dengan nilai moral bagi filem negara ini. Tapi tak apa lah, itukan promosi, halalkan saja, lagipun Malaysia kan negara maju.

Kejamnya Ibu! Sanggup Cekik Dan Tekup Anak Kecil Hingga Maut

Bila hati telah hitam, seorang ibu juga boleh bertukar menjadi kejam apabila sanggup mencekik dan menekup muka anak lelakinya berusia setahun enam bulan dengan bantal sehingga membawa maut. Anak kecil yang sepatutnya dibelai menjadi mangsa kerakusan ibunya. Suspek telah ditahan bersama teman lelakinya di kondominium di Cyberjaya, minggu lalu. Difahamkan, suspek bekerja sebagai kerani di syarikat swasta itu sedang dalam proses perceraian selepas hampir dua tahun mendirikan rumah tangga bersama suaminya seorang penganggur. Hasil soal siasat, suspek mengaku menekup muka mangsa menggunakan bantal semasa anaknya sedang tidur kerana mengalami tekanan perasaan akibat masalah rumah tangga serta keluarga. Bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan pada mangsa di bahagian pipi, gusi, dahi dan belakang pelipat kaki kanan. Terdapat juga kesan calar di pipi kiri serta lebam di leher dipercayai akibat dicekik. Suspek dan teman lelakinya direman tujuh hari bermula 16 Januari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh).

 

Samun, Bunuh Warga Emas Di Jasin, Penganggur Direman 7 Hari

Penganggur disyaki membunuh wanita warga emas dalam kejadian samun di Kampung Pulai Darat, Jasin, semalam, direman tujuh hari sehingga Jumaat. Perintah reman terhadap suspek berusia 20 tahun itu dikeluarkan Majistret Zuraidah Abu Bakar. Suspek memakai pakaian lokap berwarna jingga dibawa ke pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh dengan dikawal ketat sepasukan pegawai dan anggota polis. Suspek ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Dalam kejadian kira-kira 2 pagi, Jumaat, mangsa Misah Md Amin, 91, ditemukan dalam keadaan terbaring di bahagian dapur rumahnya. Pemangku Ketua Polis Jasin Mohd Fadzli Othman, berkata pihaknya menerima maklumat kira-kira 3.54 pagi berhubung kejadian itu, sebelum pasukan polis kemudian berjaya menahan suspek di kawasan berhampiran kira-kira enam jam kemudian. Katanya, suspek yang ditahan itu juga mempunyai tiga rekod lampau berhubung kes rompak dan samun.

 

Rampasan Ganja RM1.13 Juta, Bekas Koperal Antara Dicekup

Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan sepasang suami isteri bersama seorang lelaki dan merampas 451 kg ganja bernilai RM1.13 juta dalam dua serbuan di Penaga, Kepala Batas, Jumaat lalu. Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri melancarkan operasi terancang dengan menyerbu sebuah rumah di Jalan Bendahara, Penaga pada 7.30 malam. Semasa serbuan dan pemeriksaan ke atas suspek (bekas anggota polis) itu menemukan 10 ketulan mampat ganja seberat 10.2kg bernilai RM25,000. Susulan itu, Polis turut menahan isteri suspek yang bekerja kilang dan merampas 443 ketulan ganja seberat 441kg bernilai RM1.1 juta di situ. Pasangan itu masing-masing berusia 33 tahun. Ekoran penahanan pasangan suami isteri itu, polis menyerbu sebuah lagi rumah berhampiran dan menahan seorang lagi lelaki berusia 42 tahun (ahli perniagaan) dan merampas wang tunai RM37,000 bersamanya. Polis percaya ahli perniagaan itu merupakan dalang utama sindiket pengedaran dadah yang mendapatkan bekalan ganja dari rangkaian sindiket pengedaran dadah antarabangsa di negara Thailand dan menyeludup masuk ke sini menggunakan jalan laut untuk pasaran tempatan. Bekas anggota polis berpangkat koperal itu pernah bertugas di Marang, Terengganu dan berkhidmat selama 11 tahun sebelum dibuang kerja pada 2018 atas kesalahan berkaitan dadah. Sindiket dipercayai bergiat aktif mengedar dadah sejak awal 2022. Susulan penahanan mereka polis menyita tiga kereta dan dua motosikal yang kesemuanya bernilai RM416,500. Hasil ujian air kencing mendapati suspek bekas anggota polis positif dadah dan mempunyai rekod lampau juga berkaitan dadah. Ketiga-tiga individu terbabit telah direman sehingga 20 Januari lalu bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

Suami isteri terlibat 7 kes pecah kenderaan

Aktiviti sepasang suami isteri yang aktif melakukan jenayah pecah dan curi dalam kenderaan sekitar Ampang Jaya akhirnya membawa padah apabila ditangkap polis pada petang semalam. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki berusia 40 tahun dan isterinya 45 tahun itu disyaki terbabit tujuh kes jenayah di Ampang Jaya. Pasangan itu yang juga dipercayai penagih dadah ditahan di rumah mereka sekitar 3 petang susulan laporan polis mengenai kes pecah masuk sebuah kereta di Taman Bukit Teratai Selasa lepas.Polis turut merampas beberapa telefon bimbit pelbagai jenama, cermin mata, kamera, topi, beg tangan wanita pelbagai jenama, beberapa jam tangan, minyak wangi, dan kasut berjenama, keseluruhannya dianggarkan bernilai RM20,000. Siasatan awal mendapati ketujuh-tujuh kes berkenaan dilakukan oleh suspek lelaki sahaja. Isterinya didapati tahu akan kegiatan jenayah suaminya. Kedua-dua suspek yang tidak bekerja dipercayai mendapatkan bekalan dadah hasil jualan barang yang dicuri. Pasangan itu didapati mempunyai 16 rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri.

 

Wang Bantuan Awal Persekolahan Lebih RM100,000 Lesap Dilarikan Perompak

Wang tunai Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM109,000 yang baharu sahaja dikeluarkan dari sebuah bank lesap dilarikan perompak dalam kejadian di Semenyih, dekat Kajang. Dalam kejadian 10 pagi 17 Januari lalu, wang BAP itu dikeluarkan guru besar sebuah sekolah dari bank di Kampung Baru Semenyih sebelum ia ditinggalkan di dalam kenderaan miliknya. Ketua Polis Kajang, Mohd Zaid Hassan, berkata siasatan lanjut mendapati selepas mangsa yang berusia 50 tahun mengeluarkan wang dan memasukkan ke dalam sebuah beg, ia ditinggalkan di dalam kenderaan mangsa jenis Toyota di bahagian tempat duduk hadapan sebelah penumpang. Katanya, mangsa kemudian pergi ke sebuah restoran untuk membeli minuman.“Selang hampir 10 minit apabila dia kembali ke kenderaan, mangsa mendapati cermin kereta miliknya dipecahkan di bahagian kanan penumpang belakang, dan beg berisi wang tunai tersebut telah dicuri,” katanya dalam kenyataan. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. Jarang jumpa guru besar otak di lutut.

 

Peguam Berang Bila MAS Mula Pertimbang Pemakaian Hijab Pramugari

Peguam kontroversi Siti Kasim seperti ‘kepanasan’ tidak senang duduk dengan usaha yang dilakukan oleh pihak MAS? Menerusi hantaran videonya dia dilihat sangat berang dengan tindakan pihak MAS kerana begitu sibuk dengan soal pemakaian pramugari. Sedangkan menurut Siti Kasim tidak ada apa-apa yang pelik pun tentang pakaian kebaya MAS itu. Selain menggesa pihak MAS lebih memikirkan soal gerak kerja dan bahagian pengurusan supaya bertambah baik dari memikirkan soal pakaian yang menurut beliau tidak ada yang salah pun selain hanya membuang masa. Persoalannya, adakah Siti Kasim mahu hak wanita Islam yang bertudung dan menutup aurat itu diketepikan kerana mereka tidak dibenarkan untuk memakai tudung jika mahu bekerja dengan syarikat penerbangan terbabit? Walhal bukankah bagus, sekiranya MAS berjaya melaksanakan perkara tersebut. Justeru, MAS kelak bakal menyusul selari dengan syarikat penerbangan lain yang patuh syariah seperti Brunei Airline, EgyptAir dan Air Cairo. Terkini British Airways pun dan berhijab. Bukankah menutup aurat itu lebih bertamadun. Pelik, orang lain nak tutup aurat orang lain pula kepanasan. Itu baru panas dunia je.

 

Kesimpulannya:

 

Boleh dikatakan kejadian-kejadian jenayah dan keruntuhan moral dilaporkan berlaku setiap hari di dalam negara kita. Laporan dari beberapa ringkasan berita seminggu ini adalah buktinya bahawa usaha ke arah pembinaan sahsiah dan siasah perlu dilakukan seiring dengan pembangunan negara. Tidak ada gunanya negara mencapai kemajuan jika rakyatnya hilang kewarasan dan tiada jati diri.

 

Hilangnya sifat kemanusiaan, tiada sifat amanah pada tanggungjawab menjadikan mental dan jiwa manusia sakit sehingga diperdaya nafsu serakah yang rakus. Semua ini dikeranakan kosongnya jiwa terhadap amalan gaya hidup yang disyariatkan oleh agama.

 

Perkara yang dilakukan tanpa dibatasi iman dan taqwa akan membawa manusia bertindak di luar batas sehingga menjurus ke lembah kebinasaan bahkan akan menjadi lebih hina dari binatang, jin dan syaitan.

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker