Sejarah maritim di Nusantara sememangnya terkenal kerana pelabuhan-pelabuhan yang berkembang maju serta teknologi perkapalan yang dimiliki sesetengah kerajaan zaman dahulu. Orang Melayu memang dikenali kerana kecemerlangan dalam teknologi perkapalan serta ilmu pelayaran. Keupayaan ini bukan saja memainkan peranan penting dalam perkembangan perdagangan dan hubungan diplomatik, tetapi juga dalam pembentukan tamadun dan identiti bangsa.
Menurut pengkaji arkeologi Jerman, Dr. Horst H. Liebner, orang Melayu sudah berupaya membina kapal berukuran 25 sehingga 35 meter panjang dan 12 meter lebar dari abad ke-10 lagi. Kajian Dr. Liebner ini berdasarkan bangkai kapal-kapal yang karam di perairan Indonesia dan mendapati kapal-kapal tersebut karam sekitar 930-990 Masihi akibat ribut. Ini cukup membuktikan bahawa bangsa Nusantara sudah mendahului dalam bab perkapalan dan pelayaran.
Kapal Mendam Berahi merupakan sebuah kapal jenis ghali yang pernah disebutkan di dalam Hikayat Hang Tuah. Kapal ini dikatakan sangat terkenal pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 dan ke-16. Mendam Berahi merupakan sebuah kapal khas dibina Sultan Mansur Shah, Sultan Melaka pada ketika itu untuk meminang Raden Galuh Cendera Kirana, seorang puteri Majapahit. Kapal ini memakan masa lebih kurang 30 hari – 40 hari dan juga dikatakan Laksamana Hang Tuah serta Bendahara Tun Perak turut sama-sama menolong membinanya.
Laksamana Hang Tuah telah menggunakan kapal Mendam Berahi sebagai kapal utamanya dalam pelbagai pelayaran ke luar Tanah Melayu seperti ke Turki, China, Ryukyu dan sebagainya. Malah wujud rekod perhubungan di antara Melaka dengan Ryukyu di dalam ‘Rekidai Hoan’, sebuah manuskrip dokumen kerajaan Ryukyu. Mendam Berahi juga pernah singgah di Jeddah, Mesir dan Istanbul. Ketika persinggahan di Jeddah, ahli rombongan berpeluang dapat mengerjakan haji di Mekah sementara ketika di Mesir pula, Laksamana Hang Tuah membeli meriam serta ubat bedil dari kerajaan Mamluk.
Namun, tiada siapa tahu kesudahannya Mendam Berahi kerana tidak tercatat di dalam Hikayat Hang Tuah. Seiring dengan runtuhnya Kesultanan Melayu Melaka pada 1511 akibat serangan Portugis, jejak kapal Mendam Berahi semakin kabur. Tidak mustahil jika kapal ini digunakan untuk peperangan ketika Portugis menyerang Melaka. Tiada sisa-sisa kapal ini yang dapat ditemui hingga kini, menjadikannya seakan-akan hilang ditelan zaman.
Sementara itu, sebuah kapal tradisional bernama Fu Ning telah dibina oleh Fujian Hezhou Fuchuan Cultural Industry Development Co. oleh pengasasnya Lin Chang Jiu. Kapal ini dibina dengan menggunakan teknologi moden serta pertukangan tradisional menggunakan kayu jati dan ros. Fu Ning berukuran 41.6 meter panjang dan 12 meter lebar serta dengan ketinggian tiang utama 29 meter. Terbaru, Fu Ning memulakan pelayarannya pada bulan Januari dan telah berlabuh di Melaka pada awal bulan Mei lalu selama tujuh hari selepas berlayar dari Singapura.
Baca juga>> Orang Melayu Pandai Menjinak Gajah
Pemiliknya Lin mengaspirasikan perjalanan Laksamana Cheng Ho dan ingin menjejakinya semula di sepanjang Jalan Sutera Maritim dengan kapal Fu Ning. Pada abad ke-15, Laksamana Cheng Ho, seorang pelaut dan diplomat terkenal dari China melakukan pelayaran 7 ke beberapa buah negara seperti India, Champa, Melaka dengan 41 hingga 317 buah kapal bersama 27 550 sehingga 30 000 orang anak kapal.
Seharusnya negara kita juga mengikut langkah yang sama dengan membina replika Mendam Berahi yang menjadi simbol kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dalam ilmu perkapalan dan pelayaran orang Melayu. Terdapat usaha untuk membina semula kapal ini dan bakal dipamerkan di Klebang, Melaka namun sehingga kini belum tahu kesudahannya. Kita tidak mahu generasi akan datang tidak tahu tentang betapa hebatnya kerajaan Melayu Melaka pada waktu dahulu. Malah ramai pihak cuba menidakkan kebenaran ini dengan mengatakan Mendam Berahi hanya mitos semata-mata.
Peliknya kapal Portugis yang menawan Melaka, Flor de La Mar pula dibina replikanya dan kini menjadi tarikan pelancong di Melaka sehingga ramai generasi muda salah anggap itu adalah kapal milik Kesultanan Melayu Melaka. Kenyataan ini sangat menyedihkan apabila hari demi hari, jati diri bangsa semakin menghilang. Mitos atau bukan, tak salah rasanya jikalau replika Mendam Berahi dibina kerana yang pasti ia wujud di dalam karya klasik Hikayat Hang Tuah.
Jika Itali boleh membina tugu Juliet, yang hanya sebuah watak dalam karya Shakespeare, mengapa tidak negara kita bina replika Mendam Berahi yang menjadi simbol kemasyhuran Melaka serta sinonim dengan Laksamana Hang Tuah?