Isu Semasa

Kandungan Berunsur Patriotik Kurang, Media Harus Galas Tanggungjawab

Media memainkan peranan besar dalam menyemai keharmonian negara

Bagaimana mahu kita wariskan kepada generasi seterusnya negara Malaysia ini? Dalam keadaan baik atau keadaan buruk?

Saya yakin para pembaca budiman pastinya menjawab, “Sudah tentulah mahu wariskan negara ini dalam keadaan yang baik kepada generasi seterusnya”.

Takkanlah kita sanggup generasi terkemudian merana kerana mewarisi negara ini dalam keadaan yang buruk pula.

Macam dalam filem-filem pasca apokaliptik yang sering dihidangkan media Barat kepada penonton dimana Bumi dalam keadaan musnah dan populasi manusia yang tinggal hidup segan mati tak mahu.

Lagi teruk kalau dikalangan manusia yang tinggal tu, separuh adalah zombie pemakan otak. Teruk dibuatnya.

 

Pengaruh Media

 

Media memainkan tanggungjawab yang sangat besar dalam kehidupan manusia moden. Bermula dengan media cetak, seterusnya media elektronik dan kini media sosial.

Dalam setiap medium, media berupaya untuk mempengaruhi bentuk pemikiran dan tingkahlaku setiap manusia dengan pelbagai jenis kandungan yang disajikan.

Penulis ingin mengajak para pembaca yang budiman berfikir sejenak berkenaan peranan media di Malaysia sempena Hari Kemerdekaan yang bakal menjelang pada 31 Ogos nanti.

Media Malaysia seharusnya mengambil peranan utama dalam menyemai semangat patriotik melalui mesej-mesej berunsur patriotisme kepada negara yang disalurkan melalui medium-medium sedia ada.

 

Demokrasi Berparlimen & Raja Berperlembagaan

 

Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai cara pentadbiran negara.

Ini membawa maksud walaupun Malaysia mempunyai Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebagai mewakili suara rakyat, negara ini juga diketuai secara giliran oleh sembilan Raja-Raja Melayu melalui Yang di_Pertuan Agong.

Sekian lama, sejarah merakamkan ketaatan tidak berbelah bahagi oleh semua kaum di negara ini kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai rakyat Baginda.

Ketaatan ini membolehkan negara ini hidup makmur, aman dan harmoni semenjak dikenali sebagai Tanah Melayu sehingga mencapai kemerdekaan dengan nama Malaysia.

 

YDPA Sebagai Pasak Negara

 

YDPA adalah umpama pasak negara, sesuai dengan peranan Baginda sebagai Ketua Negara, bertanggungjawab ke atas sekelian rakyat dan memastikan Islam sebagai Agama Negara terpelihara seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Antara lain tugas Baginda juga adalah melindungi hak keistimewaan orang Melayu dan kaum Bumiputera serta kepentingan sah komunit lain seperti yang termaktub dalam Perkara 153.

Apabila orang Melayu memperjuangkan hak-hak mereka sebagai peribumi di tanah ini, tidaklah bermaksud hak-hak kaum lain diabaikan.

Salah sangka atau salah pemahaman antara kaum-kaum di Malaysia harus segera dihindari atau diperbetulkan.

Adalah menjadi tanggungjawab media menggalas tugas menyebarkan mesej-mesej keharmonian dan kesepakatan ke dalam masyarakat majmuk di negara ini.

 

Tolong-Menolong, Kongsi & Kebersamaan

 

Antara mesej-mesej yang penting adalah seperti sikap tolong-menolong, amalan berkongsi dan semangat kebersamaan yang patut disemai ke dalam masyarakat kita.

Para pembaca tentu ingat iklan-iklan di televisyen yang memaparkan rakyat Malaysia tak mengira bangsa akan menonton perlawanan bola sepak di kedai mamak bersama-sama.

Dan banyak lagi contoh seperti amalan berkongsi juadah makanan semasa pelbagai musim perayaan atau sikap tolong-menolong ketika kenduri-kendara atau ketika ditimpa musibah.

Ini semua adalah mesej-mesej patriotik yang boleh dipaparkan oleh media dalam menyemai semangat patriotisme di kalangan rakyat.

Pada masa yang sama, Kerajaan dan media boleh bekerjasama sehingga ke peringkat akar umbi dalam penganjuran program-program yang mempromosi keharmonian dan menggalakkan integrasi antara kaum yang berbilang di Malaysia.

Jika peranan ini diambil serius, inshaa Allah generasi sekarang akan mewariskan Malaysia yang lebih baik kepada generasi seterusnya.

 

Baca juga Kita Sudah Merdeka, Sejarah Kita Bagaimana?

Dan Kita Sudah Merdeka: Bagaimana Adab Kita Sebagai Satu Negara Bangsa Merdeka?

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker