Bayangkan ketika aktivis muslim dan NGO terus cuba untuk mematikan api konsert Coldplay, ada di antara mereka dengan lantang berkata:
“Kami dah sponsor Interceptor 005 dekat Sungai Klang untuk bersihkan sampah. Siapa yang buat sampah-sampah ini? Rakyat Malaysia kan? Bukannya Coldplay.
“Kenapa rakyat Malaysia terutamanya umat Islam nak bising-bising kami pendukung LGBT? Kerajaan kamu tak kata apa-apa pun, tolak pun tidak. Jangan melampau!”
Yang pasti dialog-dialog ini tidak terakam secara bertulis dan menurut Gerakan Anti Penjajahan Minda (GAPM), realiti yang sedang berlaku ini satu agenda halus.
“Mereka tampil sebagai ‘malaikat’ untuk bersihkan sampah yang dibuat oleh rakyat Malaysia dengan menaja perangkap sampah yang diberi nama Interceptor 005.
“Maka ada orang-orang tua dalam Kerajaan yang tidak tahu buat selidikan dalam internet, terus menganggap usaha Coldplay sebagai murni dan terpaling cinta alam sekitar.
“Sedangkan realitinya, Coldplay antara band yang tidak menolak LGBT dan kini mereka berjaya meletakkan batu asas mereka di atas Sungai Klang.
“Sedangkan konsert Billie Eilish dulu pun tidak ada seorang pun individu gagal hentikan, inikan pula nak harapkan ia boleh terjadi pada konsert Coldplay,” ujar GAPM.
Terpaksa terima interceptor sebab terlalu banyak sampah
Ujar Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Ir Izham Hashim kepada pemberita, Interceptor 005 merupakan ‘interceptor’ kedua selepas Interceptor 002 beroperasi di Sungai Klang pada Ogos 2019.
“Untuk makluman, Malaysia merupakan negara pertama yang menerima Interceptor 005 di bawah inisiatif projek Selangor Maritime Gateway (Gerbang Maritim Selangor).
“Dengan kehadiran Interceptor 002 dan 005, Sungai Klang yang berada di tahap kekotoran tertinggi iaitu lima, turun ke tahap ketiga,” katanya menerusi ciapan di laman Twitternya pada Khamis.
Saya hargai usaha Coldplay
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah berkata, jentera menggunakan teknologi dari Netherland itu ditaja sebuah kumpulan muzik terkenal antarabangsa.
“Saya menghargai usaha kugiran ternama dunia, Coldplay bersama NGO The Ocean Cleanup yang sudi menaja Interceptor 005, mesin memerangkap sampah di Sungai Klang.
“Saya juga menyeru kepada seluruh masyarakat agar menjaga kebersihan sungai di seluruh negeri Selangor demi masa depan generasi akan datang,” katanya.
Coldplay tiada masalah dengan LGBT
Disebabkan sudah termakan budi itu, takkanlah Kerajaan Malaysia perlu menolak niat murni Coldplay untuk membuat konsert dalam negara ini.
Memang Coldplay dilihat tiada masalah untuk menyokong LGBT namun takkanlah mereka nak kibar bendera pelangi di Malaysia, ujar seorang peminat muzik terpaling rasional.
Suara NGO bagai langau
Namun demikian, teringat konsert Billie Eilish yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, berduyun-duyun anak-anak Malaysia bersatu melayan konsert duniawi itu.
Malah suara NGO, orang awam tetap ibarat langau, berbunyi bising, bukan satu ancaman kerana persiapan sudah dibuat dan agenda itu perlu diteruskan.