Jawatan Agong memainkan peranan yang besar dalam sistem politik Tanah Melayu dan juga Malaysia.
Kalau tiada Agong, tiadalah konsep “check and balance” atau semak dan imbang. Konsep ini sangat penting dalam sebuah negara kerana ianya memastikan kuasa politik itu tidak mutlak kepada mana-mana pihak sahaja.
Sebelum adanya Malaysia, negeri-negeri di Tanah Melayu mempunyai raja dan sistem politik mereka tersendiri. Setiap negeri ditadbir oleh seorang raja dan dibantu oleh pembesar atau menteri-menteri baginda. Oleh itu, setiap negeri di Tanah Melayu itu adalah berdaulat kerana hadirnya raja atau sultan yang mengelola negeri masing-masing.
Apa yang unik, setelah merdeka, setiap raja dan sultan itu masih diberi mandat untuk mentadbir negeri mereka dan pada masa yang sama mereka juga terikat dengan perlembagaan. Jadi, kuasa raja-raja juga tidaklah mutlak dan mereka perlu menghormati perlembagaan.
Setiap sultan juga perlu memastikan para pentadbir negara melakukan tugas mereka berlandaskan perlembagaan.
Sistem politik Malaysia adalah satu-satunya sistem politik negara didunia yang mempunyai 9 sultan yang bergilir-gilir untuk menjawat jawatan sebagai pemimpin tertinggi negara.
Jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan hasil daripada Perakuan Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan Persekutuan.
Cadangan jawatan Yang Dipertuan Agong timbul berikutan tentangan terhadap penubuhan Malayan Union yang dilihat cuba menghapuskan Institusi Raja-Raja Melayu.
Pada Ogos 1957, setelah memilih gelaran Yang di-Pertuan Agong dan menolak gelaran Yang di-Pertuan Besar yang dicadangkan sebelum itu, Majlis Raja-Raja telah bersidang untuk mengundi pemegang takhta yang pertama.
Pada mulanya, jawatan Agong yang pertama ini adalah mengikut kepada sultan yang paling lama memerintah diantara semua sultan.
Pada ketika itu, Sultan Johor, Major-Jeneral Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar adalah sultan yang paling lama memerintah, jadi seharusnya jawatan itu diberikan kepada baginda namun disebabkan oleh baginda lanjut usia, jawatan itu terpaksa ditolak.
Akhirnya Agong pertama telah diberikan kepada Tuanku Abdul Rahman, Yang Dipertua Negeri Sembilan setelah mendapat mandat yang secukupnya daripada Majlis Raja-raja.
Jadinya, jawatan Agong ini sebenarnya diwujudkan untuk menepis gagasan Malayan Union yang dikemukan oleh pihak British sekali gus, ingin menghapuskan kuasa raja-raja Melayu ketika itu.
Bagi memelihara institusi beraja di Tanah Melayu, maka majlis raja-raja telah ditubuhkan dan jawatan Agong diwujudkan untuk menguatkan institusi beraja itu sendiri.
Sebagai rakyat Malaysia yang berbilang, institusi beraja ini perlu dipertahankan tanpa melibatkan sentimen perkauman.
Jika warisan ini tidak dipelihara, maka unsur-unsur luar yang cuba menjatuhkan negara kita mudah untuk menceroboh dan akhirnya kita sendiri akan kerugian.