AgamaIsu Semasa

Kalau Tiada Adab, Macam Mana Ilmu nak berkat? Punca Muncul Ramai Dai Palsu!

Kepintaran pun tidak ada maknanya apabila seseorang tidak memiliki adab. Ilmu boleh saja menjadi berbahaya bagi pemiliknya dan orang lain jika tidak didampingi dengan adab.

Bukankah kenyataan itu secara jelas telah mencerminkan bahawa adab mengatasi ilmu dari segenap segi.

Amat menyedih dan menakutkan apabila kita lihat kebanyakan masyarakat awam terutamanya anak muda zaman sekarang semakin hilang adab dan budaya hormat-menghormati. Budi bahasa dan kesopanan apatah lagi seperti telah hilang entah ke mana perginya.

Tidak dinafikan ramai dikalangan generasi hari ini yang tinggi akademiknya, tinggi belajarnya berbanding orang zaman dulu. Namun, agak menjengkelkan apabila semakin tinggi tahap intelektualnya, makin rendah pula budi bahasa dan adabnya? Bukankah Adab dan ilmu seharusnya berjalan seiring? Bahkan adab itu terlebih perlu diutamakan.

Bukan sahaja untuk hidup bermasyarakat bahkan elemen ini sangat dititikberatkan dalam agama, malah untuk menjadi sebuah masyarakat bertamadun pun memerlukan adab dan kemudiannya barulah ilmu.

Kita semak contoh misalnya, baru-baru ini mengenai isu viral seorang ulama besar melakukan perbuatan merenjis-renjis kereta yang baru dibeli oleh seseorang yang kemudian dikecam dan dituduh dengan bermacam-macam tohmahan tak beradab. Lihat apa lontaran komen dari netizen yang hanya tahu mengkritik mencari salah sedangkan ilmu tidak seberapa.

Walhal, apabila dirujuk pada pihak Mufti Wilayah Persekutuan sendiri menyatakan bahawa perbuatan merenjis atau membilas kenderaan dengan air yang dibaca ruqyah adalah sesuatu yang dibenarkan dan diharuskan dalam syarak. Ia merupakan satu cara untuk melakukan ruqyah seperti yang disebutkan oleh para ulama.

Selain itu, hujah yang menyatakan Nabi SAW dan para sahabat tidak pernah melakukannya seperti yang sering diterapkan oleh kaum Wahabi tidak boleh diterima kerana tidak semestinya perkara yang ditinggalkan oleh Nabi SAW dan para sahabat itu terus menjadi haram. Bahkan, terdapat banyak perbuatan yang tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat, namun masih dalam hukumnya yang asal iaitu sunat dan harus. Oleh yang demikian, perbuatan tersebut bukanlah satu amalan yang khurafat dan ia tidak bertentangan dengan syariat.

Amat menyedihkan, sedangkan apabila mufti bersuara mengharuskan perbuatan itu juga dikritik dengan sesedap rasa tanpa adab dan dikeluarkan pula fatwa umpama ‘mee segera’ mengikut pemahaman cetek mereka secara semberono tanpa ilmu yang waras dan tepat.

Apakah budaya ini telah diterima sebagai normal di dalam masyarakat moden hari ini. Mengkritik tanpa ilmu, berbahas dengan bahasa kesat dan celupar tidak beradab serta tiada lagi sikap hormat menghormati sesama insan?

Maka, inilah antara penyakit yang kian membarah dalam generasi milenial hari ini terutamanya dengan sikap suka menjawab secara sinis dan biadab dalam perbualan.

Tingkah laku negatif sebegini harus diatasi segera dengan menerapkan nilai adab yang baik agar dapat dikawal supaya pelaku mampu untuk berfikir sebelum bertindak di masa akan datang.

 Antara Adab Dan Ilmu, Mana Yang Harus Didahulukan

 Benarkah Adab Harus Lebih Didahulukan Berbanding Ilmu?

Kenapa sampai para ulama pun mendahulukan mempelajari adab? 

Rahsianya hanya dengan mempelajari adab, maka akan jadi mudah memahami ilmu.

Sebab, kepintaran tidak ada ertinya apabila seseorang tidak memiliki adab atau etika. Ilmu menjadi berbahaya bagi pemiliknya dan orang lain jika tidak di hiasi akhlak yang murni.

Bahkan, mungkin kita juga sering mendengar nukilan iaitu “Ilmu tanpa adab seperti api tanpa kayu bakar, dan adab tanpa ilmu seperti jasad tanpa ruh”

Mempunyai adab iaitu kebaikan budi pekerti meskipun sedikit adalah lebih baik daripada memiliki banyak ilmu pengetahuan tapi tidak beradab.

Syekh Abdul Qadir al Jailani juga telah mengingatkan umat manusia supaya berhati-hati dengan ilmu, kerana sering meninggalkan adab.

Baca juga>> Nakbah Tidak Pernah Berakhir Malah Semakin Buruk Dalam Tempoh 75 Tahun!

Menurut Syekh Abdul Qadir al Jailani, kerana adab itu adalah di atas segalanya. Lalu, Syekh Abdul Qadir Al Jilani pun menyebut bahawa iblis juga memiliki ilmu yang tinggi. “Aku lebih menghargai orang yang beradab daripada orang yang berilmu. Kalau hanya berilmu, iblis pun lebih tinggi ilmunya dari manusia.”

Berkata Saidina Ali RA, Adab tidak boleh dijual dan tidak boleh dibeli. Bahkan ianya tercetak pada hati setiap orang yang ditarbiah. Maka, bukanlah fakir orang yang hilang emas. Dan sesungguhnya fakir ialah orang yang hilang akhlak dan adab atau tiada memiliki akhlak dan adab.

Jelaslah, bahawa mempunyai sedikit adab itu lebih penting daripada mempunyai banyak ilmu pengetahuan. Kerana orang yang berilmu belum tentu beradab, tetapi jika orang yang memiliki adab sudah pasti berilmu. Dan tingkatan adab juga adalah lebih tinggi dari ilmu.

Begitu Pentingnya Adab Hingga Allah SWT Menempatkannya Sebagai Hal Yang Paling Utama

Pembinaan tamadun sesebuah negara terkait dengan peradaban dan nilai generasi muda yang kukuh serta memiliki ilmu yang benar-benar memandu generasi ke arah jalan kebenaran dan kebaikan.

Allah SWT telah mengingatkan generasi muda melalui firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.” (Surah al-Kahfi, ayat 13)

Bagi membina tamadun manusia yang hebat memerlukan seluruh generasi muda menghayati nilai dan adab seterusnya beramal dengan peringatan ayat al-Quran.

Masa hidup yang diberikan oleh Allah SWT sepatutnya dimanfaatkan bagi tujuan menambah kefahaman dan menggandakan ilmu serta beramal soleh.

Golongan muda adalah mereka yang masih kuat dari segi fizikalnya, elok fikirannya, waras tindakannya, kental jiwanya dan memiliki semangat dan berhati waja. Generasi muda adalah tonggak sesebuah negara kerana kekuatan fizikal dan mental mereka boleh menjadi benteng pertahanan teguh untuk negara tercinta.

Generasi muda wajar menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh dan ikutan bagi pembentukan sahsiah diri mereka. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya ada pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan kebaikan Hari Kiamat dan banyak pula mengingati Allah.” (Surah Al Ahzab, ayat 21)

Hampir keseluruhan ayat al-Quran dan intipati hadis Nabi Muhammad SAW mendidik generasi muda khususnya agar sentiasa mengangkat nilai martabat insaniah melalui keyakinan dan adab soleh sehinggakan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” (Riwayat Ahmad)

Oleh itu, generasi muda perlu memanfaatkan khazanah ilmu dan warisan akhlak Rasulullah SAW yang berjaya membina kekuatan dalaman melalui keyakinan, nilai dan adab yang tinggi.

Justeru, generasi muda merupakan harapan negara untuk membina tamadun manusia yang luar biasa sewajarnya kembali mengambil contoh akhlak Rasulullah SAW dan memahami petunjuk al-Quran.

Bina tamadun negara Malaysia tercinta ini dengan keyakinan dan nilai baik serta kemuliaan diri. Usahlah, membiarkan masa berlalu begitu saja tanpa memenuhi kekosongan jiwa generasi muda dengan kekuatan nilai dan adab Islam.

Menarik: TIADA TERPALING HERO DALAMILMU PERTEMPURAN I SRIKANDI NURHIJRAH

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button
Sertai Komuniti Demi Malaiu
Kongsi cerita anda dengan kami dan dapatkan kemaskini semua kandungan dari semua platform media sosial Demi Malaiu