Kewujudan Hang Tuah sering menjadi perdebatan adakah ia sebenarnya betul-betul wujud atau sekadar legenda mitos semata-mata. Jika orang Jepun boleh menggali asal-usul kewujudan pahlawan samurai mereka, Melayu juga ingin berbangga dengan kelahiran pahlawan legenda mereka.
Secara asasnya, kajian sesuatu peristiwa sejarah atau seseorang tokoh haruslah berdasarkan sumber primer (pertama) dan sumber sekunder (kedua). Sumber primer kebiasaannya melibatkan dokumen, surat, catatan, watikah, warkah, manuskrip, peninggalan dan sebagainya yang dihasilkan oleh seseorang yang sezaman dengan peristiwa yang dikisahkan. Manakala sumber kedua adalah tafsiran, kesimpulan serta andaian yang dibuat pengkaji mengenai sesuatu peristiwa berdasarkan sumber pertama.
Jadi, jika ada di antara kita yang menyangkal kewujudan Hang Tuah bagaimana bagaimana Jeneral dari Portugis; Alfonso De Albuqueque boleh menulis mengenainya?
Merujuk dari Buku Hang Tuah: Catatan Okinawa oleh Prof Emeritus Dr Hasyim Musa dan Dr Rohaidah Kamaruddin, mereka mengemukakan bukti primer (bukti sezaman denga Hang Tuah) terhadap kewujudan Laksamana Hang Tuah melalui Catatan Alfonso De Albuqueque.
Kehebatan dan ketokohan Hang Tuah di catatkan di dalam sumber Portugis iaitu Buku The Commentaries of the Great Afonso Dalboquerque: Second Viceroy of India. Di dalam sumber tersebut, ia menghimpunkan surat-surat Alfonso De Albuqueque kepada Raja Portugal Dom Emmanuel yang telah di baik pulih dan diterbitkan oleh anak beliau, iaitu Braz Dalboqueque pada tahun 1557.
Berikut merupakan terjemahan kata-kata Alfonso De Albuqueque ke bahasa Melayu:
“Semasa Afonso Dalboquerque belayar ke India selepas menakluki Melaka (1511), telah tiba dua buah kapal mereka (Lequea atau Ryukyu) di pintu masuk Singapura, dan mereka sedang menuju ke Melaka, namun atas nasihat Laksamana, iaitu Ketua Tentera Laut Melaka, mereka tetap berlabuh di situ, dan tidak akan bergerak setelah mendapat tahu yang Melaka telah jatuh ke tangan Portugis. Laksamana ini seorang yang berumur 80 tahun, perwira yang handal, dan mempunyai reputasi yang baik dan ilmu yang tinggi. Apabila beliau mengetahui bahawa Raja Melaka telah kalah, beliau telah pergi ke Singapura dan bermukim di situ. Afonso Dalboquerque telah menghantar kepada Laksamana jaminan keselamatan, namun dia (Laksamana) enggan datang (ke Melaka). Beberapa orang Islam di Melaka telah menulis sesuatu kepada Laksamana yang menahannya pergi (ke Melaka), kerana mereka khuatir Laksamana dengan kebolehannya yang istimewa akan dimanfaatkan oleh Afonso Dalboquerque demi kepentingan Melaka.” (The Commentaries: 89, 90)
Jika sejarah kita mengiktiraf kewujudan Alfonso menjajah Melaka pada tahun 1511, bagaimana kita boleh mengatakan Hang Tuah tidak wujud sedangkan sumber terutama ini Alfonso sendiri mencatat pertemuannya bersama laksamana.
Walaupun catatan itu hanya menyatakan laksamana dan tidak menyebut nama Hang Tuah, terdapat kajian ciri-ciri laksamana yang disebut Alfonso lebih berpadanan dengan Hang Tuah berbanding laksamana lain.
Pembuktian kewujudan Laksamana Hang Tuah amat penting bagi kita untuk mengangkat ikon Melayu yang unggul yang telah banyak berjasa kepada sejarah dan tamadun Melayu. Dengan harapan, kerperwiraan, kesetiaan, kebijaksanaan dan reputasinya yang bukan calang ini terus menjadi teladan terbaik dan inspirasi kepada bangsa Melayu.
Baca juga:
>> Kenapa Melayu Puja Hang Tuah? Ini Sebabnya