Kebiasaannya terdapat tiga jenis serangan jin dan syaitan ke atas manusia iaitu yang saka, sihir dan santau.
Saka adalah jin atau syaitan yang menjadi khadam atau makhluk suruhan yang diperturunkan oleh leluhur terdahulu kepada keturunannya.
Kebiasaannya saka akan menjadikan anggota badan seseorang sebagai ganjaran atas khidmat yang diberikan sehingga menyukarkan perjalanan kehidupan khususnya mengganggu kesihatan serta keharmonian sesebuah rumah tangga.
Sihir adalah perbuatan menghantar jin atau syaitan untuk masuk ke badan seseorang bagi tujuan menyerang anggota badan orang tersebut dari dalam badan.
Santau pula adalah jin atau syaitan yang masuk ke dalam badan manusia dengan tiada perasaan iri hati atau dengki tetapi atas sebab amalan sihir yang perlu dilepaskan bagi menyelamatkan diri pengamal sihir tersebut dari ‘makan tuan’.
Kaedah untuk menyembuhkan penyakit zahir adalah dengan cara menggunakan ubat sama ada disapu, dimakan atau diminum.
Manakala kaedah untuk menyembuhkan penyakit batin pula adalah dengan membersihkan roh atau jiwa dari anasir yang mengganggu dengan mengeluarkan jin dan syaitan yang menganggu badan pesakit.
Terdapat pelbagai pendekatan lain yang boleh digunakan bagi mengeluarkan jin dan syaitan dari tubuh badan manusia iaitu melalui perbincangan, ugutan dan sebagainya oleh mereka yang lebih arif berbicara dengan makhluk tersebut.
Terdapat juga kaedah perubatan dengan pendekatan mandian dan di antaranya ialah dengan amalan mandi herba, mandi bunga, mandi limau dan sebagainya.
Lazimnya dalam amalan orang Melayu, mandi bagi tujuan untuk membuang saka dan jin dilakukan dengan menggunakan limau atau bunga dari batang yang berduri.
Orang Melayu juga sering mengamalkan mandi untuk mengelakkan dari santau dengan menggunakan daun pokok bidara kampung yang mana daun ini juga boleh dijadikan minuman teh bagi tujuan perubatan dan kesihatan tubuh badan.
Tumbuh-tumbuhan yang berduri juga dikatakan sangat digeruni oleh jin dan syaitan. Maka orang Melayu ada yang meletakkan batang limau berduri dipermukaan pintu dan tingkap rumah bagi mengelakkan jin dan syaitan jahat dari memasuki rumah.
Pada bumbung rumah warisan Melayu juga sering diletakkan tunjuk langit pada pucuk tebar layar, tulang naga pada perabung dari bahan yang berbentuk tajam bagi tujuan untuk mengelakkan jin dan syaitan dari bertenggek di atas bumbung.
Pokok durian belanda juga dikatakan dapat mengelakkan jin dan syaitan dari mendekati pokok tersebut berikutan buahnya yang berduri.
Oleh sebab itu, orang Melayu sering menanam pokok durian belanda diperkarangan rumah mereka. Pokok-pokok bunga yang batangnya berduri seperti pokok bunga kertas dan pokok bunga mawar dan sebagainya juga sering ditanam diperkarangan rumah.
Pokok bunga bakawali juga banyak ditanam oleh orang Melayu kerana mereka berpendapat pokok tersebut digemari oleh para wali.
Selain bunganya yang sangat harum, batangnya juga digunakan bagi mengubati penyakit tertentu.
Antara lain, orang Melayu terdahulu juga tidak akan menanam pokok ciku diperkarangan rumah kerana buah ciku serta sesetengah buah tempatan yang lain menjadi kegemaran jin dan syaitan.
Maka itu orang Melayu menanam pohon buah-buahan hanya di kebun dan bukan di perkarangan rumah.
Mandi Tabal bermaksud mandi dengan hasrat untuk mengembalikan semula diri seseorang kepada yang asal atau memurnikan semula roh atau jiwa manusia.
Dalam adat istiadat melantik ‘raja baru’, Mandi Tabal bermaksud ‘merajakan yang baru’. Tetapi dalam perubatan Melayu, upacara ‘Mandi Tabal’ adalah untuk mengembalikan pesakit kepada keadaan dirinya yang asal.
Perkakas dan barangan yang digunakan untuk tujuan Mandi Tabal juga berbeza dengan mandi untuk membersihkan diri dari gangguan jin dan syaitan.
Daun dan bunga yang digunakan untuk mandi bagi membersihkan gangguan jin dan syaitan diambil dari pohon yang berduri dan air yang digunakan hanya air biasa sahaja.
Manakala daun dan bunga yang digunakan untuk Mandi Tabal diambil dari pohon yang tidak berduri dan airnya pula adalah dari kolah wuduk di masjid, surau dan juga air muara sungai dari wilayah yang diperintah oleh Sultan tersebut.
Ini mungkin kerana air dari kolah wuduk mempunyai molikul indah berikutan dari peranannya yang sangat murni bagi penyucian zahir dan batin.
Air di muara sungai pula mungkin menggambarkan maksud titik pembaharuan yang bakal dilalui apabila bertemu dengan aliran sungai yang lain dihadapan setelah meninggalkan liku-liku aliran sungai terdahulu.
Wilayah beraja bermaksud diperintah oleh Raja berdaulat yang memelihara alam serta makhluk penghuni alam di wilayahnya serta beramanah dalam mempertahankan agama Islam dari sebarang ancaman musuh.
Mungkin itu adalah antara kiasan yang telah diamalkan oleh orang Melayu dalam melakukan perubatan rohani atau jiwa melalui amalan Mandi Tabal.
Sebagai kesimpulan, pandangan serong mengenai amalan Mandi Tabal telah dilakukan oleh orang yang sentiasa berusaha untuk merosakkan pemikiran orang Melayu dengan mengaitkannya dengan amalan sihir, syirik dan khurafat.
Tujuannya adalah supaya orang Melayu sentiasa tidak tenteram dan ianya untuk melemahkan semangat perjuangan orang Melayu dalam menegak serta mempertahankan Islam menurut fikrah Ahlul Sunnah Wal Jamaah.
Wallahu Ta’ala Aklam.
Ar. Dr. Mastor Surat,
Kiyai Luhur.