Cindai dalam tradisi Melayu bukanlah semata-mata tekstil atau pakaian, sebaliknya mengandungi unsur mistikal halus yang memerlukan ketajaman pemikiran manusia untuk merungkai rahsia di sebaliknya.
Cindai yang berbentuk kain lepas, memiliki pelbagai ciri keselamatan dan kehebatan yang antara paling diketahui umum ialah ketahanannya yang tidak boleh terbakar oleh api.
Semasa Dr. Muhammad Pauzi Abd Latiff menjadi Pengarah Muzium Warisan Melayu (2016), beliau berkata mengikut kajian saintifik, antara bahan yang digunakan dalam pembuatan kain cindai ialah serat nanas.
“Serat nenas mampu menghasilkan keadaan yang tidak mudah terbakar dan ia sebenarnya kain biasa saja tetapi menjadi luar biasa apabila sampai ke tangan orang Melayu apabila dibawa ke alam Melayu.
“Selain mempunyai ketahanan fizikal, kain cindai atau limar dikatakan ‘dimasukkan’ dengan unsur mistikal yang menjadikannya mempunyai 1001 kegunaan,” katanya kepada salah sebuah media beberapa tahun lalu.
Gerangan pemilik atau pemakai kain cindai
Dalam konteks sosiobudaya, kain cindai tidak digunakan sembarangan orang sebaliknya hanya dimiliki golongan diraja, pembesar dan pahlawan Melayu.
Malah kehebatannya yang dikatakan tidak lut senjata menyebabkan kain cindai menjadi sebahagian pakaian atau kelengkapan pahlawan Melayu.
Dalam sastera lisan, Muhammad Pauzi berkata, Cik Siti Wan Kembang bersama kumpulan tentera wanita memakai kain cindai yang bukan saja menaikkan seri wajah, bahkan memastikan mereka kalis api dan kebal daripada senjata.
“Hang Jebat turut dikatakan memakai kain Cindai, malah digunakan untuk mengikat perutnya selepas ditikam oleh Hang Tuah.
“Dikatakan beliau mampu bertahan selama empat hari sebelum menghembus nafas terakhir kerana kain berkenaan dikatakan boleh menyerap ke dalam luka dan menahan darah,” katanya.
Keras seperti marmar
Antara sumbangan terbesar teknologi kain Cindai ialah kejayaan saintis mengolahnya dan mencipta bahan yang boleh dibentuk keras seperti tembikar atau marmar.
Bahan ini meskipun dibakar sehingga merah pada suhu 2,000 darjah celsius, ia tetap sejuk dan boleh dipegang dengan tangan saja.
Bahan ini akhirnya digunakan sebagai lapisan luar kapal angkasa yang dapat menyelamatkannya daripada terbakar apabila kembali memasuki ruang udara bumi.
“Diharapkan, kajian saintifik dan akademik selanjutnya dapat dilakukan segera untuk membolehkannya dijadikan pakaian pasukan keselamatan atau baju kalis peluru seperti penyelidikan yang dilakukan terhadap benang daripada ulat sutera dan labah-labah,” katanya.
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok Demi Malaiu. Sertai Telegram kami DI SINI untuk kandungan yang menarik dan membangkitkan jati diri bangsa!