Perkara ini mudah sahaja. Allah SWT telah ciptakan pelbagai dimensi alam dan walaupun kita sebagai manusia adalah ciptaan paling sempurna, ilmu kita tetap cetek jika tidak mencari dan tidak cuba mengenal Allah SWT.
Perdebatan wujudkah Hang Tuah sampai ke hari ini pun masih tidak berkesudahan dan paling memalukan, kewujudan Hang Tuah ditolak mentah-mentah oleh segelintir pensyarah dan juga beberapa pengkaji sejarah.
Tak tahu apa dapatan kajian kedua-dua golongan ini namun yang jelas pendirian mereka adalah keduniaan semata-mata seperti ilmuan Barat yang kerugian dan tidak meliputi kebesaran Allah SWT secara infiniti.
Perbezaan wujud atau tidak wujud ini boleh dilihat pada garis masanya yang tersendiri biar pun sesuatu zaman itu telah berlalu sama ada beratus-ratus tahun lamanya atau baru beberapa tahun lepas.
Hang Tuah pernah wujud siap belayar ke serata benua dengan kapal terbesar Mendam Berahi, menjadi laksamana agung dari Tanah Melayu dan menjadi wakil hubungan diplomasi dengan banyak pemimpin dunia.
Bukankah Kota Melaka (bukan negeri-negeri di bawah zaman Kesultanan Melayu Melaka) pernah beberapa cuba digempur penjajah namun usaha itu gagal kerana Hang Tuah masih ada untuk mengawal?
Namun setelah Hang Tuah hilang, tiada lagi laksamana, pembelot mula berani dan di sinilah bermulanya era Kota Melaka ditawan penjajah beratus tahun lamanya dan kesannya boleh dilihat sehingga ke hari ini.
Dalam erti kata lain, penjajah hanya boleh menjajah Kota Melaka sahaja dan mereka telah dikunci, dibutakan mata zahir dan batin sekali gus tidak berupaya melihat negeri-negeri lain Kesultanan Melayu Melaka.
Kalau tidak, kesan penjajah terawal ini mungkin boleh dilihat di Port Dickson, pelabuhan Klang, Johor atau Singapura namun malangnya, monumen keberadaan mereka langsung tidak pernah terpacak di kawasan lain.
Jelas yang dijajah pada ketika itu, yang hari-hari belajar dalam buku teks, yang hadam dan ingat sampai lulus peperiksaan cuma berkisar sejarah di Kota Melaka sahaja, bukan kehebatan alam Melayu keseluruhannya.
Dan disebabkan Hang Tuah ghaib secara tiba-tiba, misteri dan beberapa lagi andaian lain, apa yang masyarakat Melayu boleh buat ketika itu? Bukannya ada media sosial seperti zaman ini untuk menulis.
Bahkan beberapa puluh tahun lepas pun masyarakat cuma mendapatkan info yang bertulis menerusi akhbar yang ditulis para wartawan yang sedikit bilangannya dan kes terjadi hari ini, esok baru diterbitkan.
Maka tidak pelik kalau kisah Hang Tuah ghaib tidak tercatat di mana-mana kerana tiada saksi hidup di tempat kejadian melainkan pada ketika itu Hang Tuah ghaib bersama segerombolan pengikut yang lain.
Sama seperti kes Acap yang tiba-tiba hilang di Gopeng, Perak sedangkan laluan larian yang dilalui semua peserta larian Gopeng Ultra Trail di Gua Tempurung itu adalah sehala.
Namun dalam beberapa detik sahaja, terpisah jarak mata antara orang hadapan dan orang belakang, Acap yang berada di tengah-tengah ghaib ketika sedang berlari.
Maka soalan kepada pensyarah dan pengkaji serta umat Melayu moden yang menolak kewujudan Hang Tuah sebelum ini, Bomba dan SARS pun sampai sekarang tak jumpa Acap, adakah Acap juga tidak wujud atau sekadar ilusi?
Kongsikan jika anda merasakan penulisan ini menarik untuk dibahaskan!