Kerajaan perlu mengkaji semula kedudukan kuasa penciptaan wang dalam negara kerana sehingga hari ini, Kerajaan cuma berkuasa ke atas wang dalam peredaran sebanyak lima peratus sahaja.
Menurut Ketua Kluster Ekonomi Sidang Demi Malaiu, Prof. Datuk Dr. Ahamad Kameel Mydin Meera, wang dalam peredaran itu termasuklah duit syiling serta wang kertas.
“Lagi 90 peratus kuasa penciptaan wang dimonopoli oleh bank perdagangan dan senario ini sebenarnya kurang baik bagi kelancaran ekonomi negara.
“Dalam hal ini, Kerajaan mungkin boleh mengambil inspirasi dari negara China yang mana Kerajaannya sendiri bertindak sebagai pemegang kuasa penciptaan wang,” katanya kepada Demi Malaiu.
Ahmad Kameel berkata demikian mengulas pengumuman Kerajaan mengenai pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bermula hari ini (18 April 2022).
Terdahulu Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan tarikh pengeluaran KWSP diawalkan daripada 20 April kepada 18 April kerana prihatin dengan permintaan rakyat.
Bagi Ahamad Kameel, sekiranya Kerajaan menjadi pemegang kuasa penciptaan wang dalam negara, rakyat sebenarnya tidak perlu keluarkan duit dari akaun KWSP.
“Yang saya sebutkan adalah cadangan untuk jangka panjang kerana realitinya, duit dalam akaun KWSP adalah untuk masa depan dan wajar disimpan sehingga usia tua.
“Namun disebabkan sumber ekonomi Kerajaan terlalu bergantung kepada cukai, Kerajaan tidak berpeluang untuk membantu rakyat secara sistematik,” katanya.
Dalam masa yang sama, Ahamad Kameel menasihati orang ramai yang tiada keperluan untuk tidak mengeluarkan duit dari akaun KWSP itu sewenang-wenangnya.
“Kalau boleh, rakyat Malaysia perlu belajar mengawal dan rancang penggunaan wang dengan baik untuk manfaat kita semua kemudian hari,” ujarnya.
➡️ Sertai Telegram Demi Malaiu di https://t.me/DMalaiu