Apabila Malaysia yang sudah mencapai Kemerdekaan lebih 65 tahun sepatutnya kita sebagai rakyatnya tanpa mengira apa bangsa dan agama sekalipun haruslah bersyukur dengan memperbanyakkan ibadah sebagai manifestasi untuk menterjemahkan rasa syukur itu kepada pemilik sebenar bumi ini iaitu Allah SWT bukan sebaliknya mengkufuri nikmat tersebut.
Kadang-kadang, sikap biadap dan berani tak bertempat segelintir manusia durjana ini membuatkan alam pun turut membenci kita, di saat itu nanti maka turunlah bala bencana dari segala sudut dari Sang Pencipta.
Baru-baru ini, tular sebuah video mengenai penemuan lebih 10 naskhah al-Quran yang dipercayai dibuang ke dalam longkang besar di kawasan lombong Seri Murni berhampiran Pasar Borong Selayang.
Perbuatan itu bukan sahaja mengemparkan penduduk berhampiran malah membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia terutamanya orang-orang Islam.
Video berdurasi 1 minit 39 saat itu memaparkan seorang remaja lelaki mengutip, membasuh dan menaikkan naskah al-Quran dari dalam longkang besar di lokasi berkenaan.
Video terbabit dipercayai dirakam oleh bapanya dengan memberitahu al-Quran berkenaan ditemui oleh seorang lelaki yang memancing di lombong itu bersama isterinya.
Perasaan sedih bercampur marah apabila melihat perkara seperti ini telah berlaku di negara Kita sendiri.
Tanah air berdaulat ini telah tergamak dicemari dengan perbuatan kufur yang perlu diberi perhatian tegas oleh pihak berkuasa dengan melihat tentang keruntuhan akhlak dan kerosakan moral di kalangan segelintir rakyatnya.
Kalaupun, sudah tidak mahu membacanya serahkan sahaja ke tapak pelupusan al-Quran yang telah disediakan secara sah untuk dilupuskan mengikut syarak.
Sikap tidak bertanggungjawab seperti itu tidak sepatutnya berlaku lagi dalam era moden yang seharusnya telah diisi oleh manusia yang bertamadun tinggi dan berperadaban mulia.
Justeru, sama-samalah, kita berdoa kehadrat Allah SWT semoga terus melindungi negara ini daripada segala musibah dan bala bencana akibat kerakusan tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab.
Apa yang perlu diingatkan kepada pelaku dan mereka yang bakal mengulang sikap yang sama adalah jangan pernah mengundang murka Allah SWT kelak tak tertanggung kita.
Di saat itu, penyesalan pun tiada berguna lagi. Insaflah, mohonlah keampunan dariNYA atas keterlanjuran yang dilakukan.
Sedarlah, selagi matahari belum terbit dari barat dan selagi belum ditiup sangkakala maka selagi itulah pintu taubat masih terbuka. Berubahlah!