Isu Semasa

“Jangan Ajar Tasawwuf, Biar Mereka Belajar Agama Hanya Untuk Peperiksaan,” – Tangan Hitam

“Kita masukkan subjek Pendidikan Agama Islam macam biasa, sediakan buku teks macam biasa tetapi jangan ajar secara terperinci tentang apa itu tasawwuf”.

Ujar Tangan Hitam kepada anak-anak buahnya yang ditugaskan menjadi Pengatur Kejam di negara Panca Bijayo.

“Tetapi kalau ada di antara mereka bertanya bagaimana wahai Tangan Hitam?” soal salah seorang Pengatur Kejam.

Sambil tersenyum sinis, “Kita ceritakan kepada mereka tentang rukun agama. Dalam rukun agama ada rukun Islam, rukun iman dan rukun ihsan. Tetapi memadailah mereka cuma hafal rukun Islam dan rukun iman dalam Penilaian Asas Fardhu Ain (PAFA) dan boleh jawab dengan mudah hanya untuk peperiksaan.

“Tentang rukun ihsan pula bagaimana?

PANNGGG.. Satu tamparan hinggap di pipi ahli Pengatur Kejam yang bertanya tadi.

“Apa kau bodoh? Kau lupa? Bukankah dalam rukun ihsan itu ada ilmu tentang tasawwuf? Rukun ihsan itu boleh buatkan mereka sentiasa nampak Allah dan jika tidak nampak Allah sekali pun, mereka tahu Allah sedang melihat mereka. Jadi kalau semua pergerakan mereka nampak Allah, bagaimana Panca Bijayo ini boleh ‘gemilang’?

“Maksud Tangan Hitam?

“Kita nak anak muda yang derhaka kepada ibu bapanya, kita nak pemimpin politik yang tak risau bermain perempuan dan rasuah, kita nak bisnes berkembang maju tanpa mengira halal dan haram. Apa kau fikir untuk menjayakan semua ini tak perlukan usaha strategik buat jangka masa panjang? Bagaimana pendapat kalian semua?

Soal Tangan Hitam dengan nada yang cukup lantang kepada Pengatur Kejam yang sama-sama berhimpun.

“SETUJUUUU..!!” Bergema satu dewan Jalusasi di negara Panca Bijayo itu dek semangat Pengatur Kejam yang tiada tolok bandingnya.

Manakan tidak, 20 tahun hidup, 30 tahun hidup, 40 tahun hidup, 50 tahun hidup, semuanya ditangggung dari A sampai Z, dari atas sampai bawah.

Hidup tak berhutang, rumah besar dan selesa, kereta mewah sehingga dipuji tak henti-henti orang kampung, asalkan satu sahaja, serah diri kepada Tangan Hitam.

Tangan Hitam menyambung ucapannya, “Kalau ada di antara mereka yang bertanya lebih-lebih, kita bagi kata-kata manis. Kita kata mereka boleh saja belajar ilmu tasawwuf itu selepas zaman sekolah. Atau mungkin semasa zaman berada di universiti. Padahal mereka tak tahu kita sedang menipu. Kita masukkan mereka untuk mengikuti subjek pengkomputeran, ekonomi, politik, kejuruteraan dan lain-lain yang jauh daripada pengajian sebenar agama seperti mana yang ditekankan di pondok-pondok. Mereka perlu untuk tidak tahu!

“Kenapa wahai Tangan Hitam?

“Kerana mereka inilah yang akan menjadi tentera sukarela kita tanpa berbayar. Mereka akan dipotretkan sebagai golongan bijak pandai. Namun jangan bagitahu yang kita mahu rohani mereka kelaparan. Kita tidak mahu mereka tahu insan itu terdiri daripada jasad, akal dan rohani. Cukup kita ajar kalau jasad lapar, pergilah makan. Kalau akal lapar, pergilah cari ilmu. Tetapi jangan sesekali ceritakan atau ajar bagaimana rohani perlu makan. Kerana rohani itu bateri paling berkuasa pada insan. Jika rohani mereka cukup makan, habis fitnah-fitnah yang kita ciptakan ini tiada sesiapa mahu jalankan,” ulas Tangan Hitam panjang lebar.

GANGGG.. Pintu dewan Jalusasi terbuka secara tiba-tiba, ditolak dari arah luar. Kepak Bangkai datang menampilkan diri.

“Amboi Tangan Hitam, kau punya sembang, sampai ke luar dengarnya. Tak takut kantoi ke tentang segala agenda kita ini demi Perarakan Hitam yang bakal tiba tidak lama lagi?

“Kenapa perlu takut? Aku sudah dapat mimpi. Raja yang akan duduk di atas tandu sepanjang Perarakan Hitam itu khabarkan kita sudah boleh muncul dengan berani. Lagi pun, kita juga sebahagian daripada visual tanda-tanda menuju kiamat. Maka, berseronoklah kita sepuas-puasnya,” ujar Tangan Hitam.

“Ada betul apa yang kau cakap itu tetapi sepanjang aku dengar di luar tadi, kau masih ada tertinggal beberapa perkara penting yang perlu diamanatkan kepada Pengatur Kejam,” maklum Kepak Bangkai.

Tangan Hitam mengerutkan dahinya, “Apakah itu wahai abang sedarah syaitanku?” Tangan Hitam benar-benar mahu tahu.

“Kau lupa beritahu bahawa untuk mendekatkan diri dengan Tuhan, mereka perlu capai tiga maqam. Maqam fikir, buat dan rasa. Contoh mudah, insan yang hebat sepatutnya dapat gambarkan bagaimana rupa ikan terubuk masin (fikir), dapat pegang dan makan ikan terubuk masin itu (buat), dan dapat merasa bagaimana masinnya ikan terubuk masin itu (rasa). Tetapi untuk sempurnakan agenda kita, cukuplah dua sahaja, itu pun sudah boleh menimbulkan kesombongan dalam diri mereka.

Tangan Hitam bersetuju, ” Ya.. betul.. kalau dalam ibadah solat pula misalnya, kita biarkan mereka tunggang-tonggek (buat), boleh hafal surah al-Fatihah dengan lancar tanpa memahami maksudnya, cukup sekadar ingat (fikir) namun jangan hadirkan rasa hati ketika melakukan dua perkara itu. Buatkan mereka tidak tahu bagaimana untuk rasa kemanisan beribadat itu (rasa) dan doktrin dalam akal mereka (fikir), ibadat itu cuma mengaji al-Quran dan solat. Bukan berkait seluruh kehidupan bermula daripada bersalaman dengan orang tua sampailah membuang sampah ke dalam tong yang disediakan.

“Aku nak tambah. Dengar sini sekalian Pengatur Kejam. Selepas kita wujudkan golongan yang kita potretkan bijak pandai itu, kita masih boleh tipu mereka. Kita khabarkan bahawa mereka masih boleh mencari ilmu tasawwuf atau mendalami ilmu agama selepas zaman tamat pengajian di universiti.

“PADAHAL MEREKA AKAN SIBUK DENGAN KERJA DARI PAGI SAMPAI PETANG. HAHAHAHA..” Tangan Hitam dan Kepak Bangkai ketawa serentak.

Kepak Bangkai memandang wajah-wajah Pengatur Kejam yang sudah tidak sabar-sabar mahu sempurnakan misi demi memberi bakti kepada Raja yang akan duduk di atas tandu sepanjang Perarakan Hitam kelak.

“Kita akan buat mereka percaya bahawa mereka cuma perlu mencari ilmu agama selepas berjaya kaya dan kenyang dengan harta dunia sementara. Nanti apabila sudah masuk usia 40, kita hanya boleh ketawa guling-guling melihat mereka mengadu sakit badan, gout, lenguh kaki, tak reti cari orang pandai agama dan bermacam-macam lagi alasan yang karut dan sedia diterima ramai.

“Kalau pasal itu, aku tak risau sangatlah Kepak Bangkai. Bukti dah ada depan mata. Sedang terjadi dan kita benar-benar berjaya. Cukuplah kita masukkan mereka dalam sistem belajar hanya untuk lulus peperiksaan, dapat kerja yang bagus, jadi hamba kepada gaji yang sentiasa tak cukup dan terus marahkan Tuhan kenapa uji mereka dengan musibah yang bukan-bukan.

“Yang penting.. JANGAN AJAR TASAWWUF, biar mereka belajar agama hanya untuk peperiksaan. Hahahaha,” gelak Tangan Hitam dan Kepak Bangkai disambut meriah Pengatur Kejam.

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker