Isu Semasa

Jalan Raya Medan Keganasan

Sudah tidak asing di dunia ini orang kelainan upaya (OKU) diberi lesen dan dibenarkan memiliki kenderaan. Namun kekurangan keupayaan ini seringkali dianggap adalah dari aspek pergerakan dan bukan kapasiti mental.

Tidak mungkin seseorang yang cacat mental itu layak diberikan lesen apatah lagi dibenarkan memandu kereta. Namun di Malaysia seringkali mereka yang membunuh orang di jalan raya, atau melakukan kesalahan jalan raya mengaku mereka adalah OKU di mana kecacatan mereka tidak dapat dilihat pada luaran tubuh badan, maka kesimpulan boleh dibuat bahawa golongan ini adalah yang menghidap masalah kecacatan mental.

Pada tahun 2017, seorang model bernama Ng Pei Ven yang memandu sebuah kereta Proton Gen2 telah melanggar Mohamad Fandi Rosli sehingga menyebabkan kematian. Yang lebih memilukan adalah perkara ini berlaku ketika Ng Pei Ven memandu bertentangan arah lalu melanggar dan mengakibatkan kematian Mohamad Fandi.

Menurut laporan Berita Harian (https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/10/881550/hukuman-model-pandu-lawan-arus-sebabkan-kematian-kekal) pada tahun 2021, Ng Pei Ven telah dihukum penjara 5 tahun dan di saman RM18,000.

Tidak ketahui jumlah pampasan yang telah diperolehi oleh keluarga Mohamad Fandi. Saman perlu dibayar kepada kerajaan, dan bukan keluarga mangsa.

Keluarga mangsa pula dibiarkan di dalam keadaan gantung tak bertali di dalam hal ini, sedangkan merekalah mangsa keadaan dan tidak bersalah.

Apa yang jelas adalah, RM18,000 untuk nyawa seorang mukmin adalah satu penghinaan yang nyata. Kerana, bukan sahaja beliau tidak mendapat keadilan setelah dibunuh, malahan keluarga beliau juga tidak mendapat pampasan yang sewajarnya.

Dalam kes ini sistem keadilan negara telah menggagalkan Mohamad Fandi, keluarga beliau bahkan melakukan kezaliman keatas mereka yang menjadi mangsa dan telah dianiaya dalam kes ini.

Sebelum ini terdapat satu kes lain di mana seorang yang didakwa OKU menunggang motorsikal melawan arus sehingga mengakibatkan kematian penunggang lain. Sama juga yang berlaku, kerajaan gagal memberikan pampasan kepada keluarga mangsa.

Apakah begitu mudah untuk mendapatkan lesen di Malaysia sehingga nyawa pengguna jalan raya dianggap sesuatu yang remeh hatta 5,671 orang kehilangan nyawa di jalan-jalan di negara ini pada tahun 2022.

Pada tahun yang sama, jumlah kematian jalan raya di Malaysia menurut laman The Sun (https://thesun.my/style-life/going-viral/malaysia-ranked-third-in-highest-roadfatalities-HL11290326) adalah 22.48 kematian bagi setiap 100,000 penduduk, ini merupakan angka ketiga tertinggi di dunia.

Ternyata banyak nyawa yang telah melayang. Bukan semua perkara kita perlu duduk di tangga yang tinggi. Ada juga perkara yang seeloknya kita di tahap paling corot.

Manakala Amerika Syarikat mencatatkan kadar kematian sebanyak 12.67 bagi setiap 100,000 penduduk. Sedangkan jumlah penduduk di Amerika Syarikat adalah hampir 10 kali ganda lebih ramai dari Malaysia.

Baca juga>> Perit Jerih Melayu Akibat Kartel

Semakin kita mengkaji isu ini, semakin banyak persoalan yang timbul. Apakah undang-undang kita terlalu longgar sehinggakan tindakan yang diambil oleh undang-undang boleh diperlekehkan begitu sahaja. Undang-undang mudah ditepis, hukumannya ringan dan tidak diambil kira oleh mereka yang berharta.

Ini belum mengambil kira kematian yang diakibatkan oleh pemanduan di dalam keadaan mabuk. Menurut laporan dari Malay Mail (https://www.malaymail.com/news/malaysia/2020/06/11/malaysias-drink-driving-problem-how-big-is-it-whatthe-numbers-actually-say/1874350#google_vignette) kematian yang diakibatkan oleh pengaruh alkohol adalah sekitar 54 orang pada tahun 2018.

Ianya ditakrifkan oleh polis sebagai sesuatu kadar kematian yang sangat rendah (https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2022/04/16/drink-drivinglowest-cause-of-death-say-police/).

Keadaan jalan yang tidak baik juga telah mengakibatkan kematian ramai pengguna jalan di Malaysia. Menurut laporan dari Kosmo (https://www.kosmo.com.my/2021/01/07/jalan-rosak-berlubang-bawa-bencana/) sebanyak 222 kemalangan telah diakibatkan oleh keadaan jalan yang tidak baik, di mana 148 adalah kemalangan maut.

Disamping memperbaiki jalan dan tahap keselamatan kenderaan, adalah perlu untuk meningkatkan tahap pemanduan dan kecekapan pemandu-pemandu di jalan-jalan di negara ini.

Pelbagai inisiatif perlu diambil untuk mendidik serta menghukum mereka yang disabitkan kesalahan. Hukuman untuk pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk kini adalah tidak melebihi RM50,000 dan penjara sehingga 10 tahun.

Namun, keluarga mangsa tiada mendapat apa-apa pampasan dari undang-undang sedia ada. Mereka perlu menyaman tertuduh secara berasingan dan perkara ini memerlukan kos, masa dan tenaga yang banyak. Ramai tidak akan menuntut ganti rugi dan pasrah dengan takdir, kerana kebajikan mereka tidak dijaga oleh mereka yang dipertanggungjawabkan.

Keluarga yang berada dalam keadaan serba kekurangan itu mungkin hancur akibat tekanan hidup kerana tidak mampu keluar dari belenggu kemiskinan. Siapakah yang akan bertanggungjawab dalam kes ini?

Bencana yang diakibatkan di jalan raya tidak terhenti di jalan raya, kereta yang rosak perlu dibaiki, kalau pihak insurans mendapati harga baiki adalah lebih mahal dari nilai kereta, maka pemilik kenderaan akan diberi pampasan kewangan yang mana mungkin tidak cukup untuk menggantikan kenderaan sedia ada.

Ini juga satu bentuk kezaliman kepada mangsa. Sudahlah keretanya hilang, duit pampasan pula sekadar cukup untuk membeli barang dapur.

Menurut sebulah makalah yang diterbitkan pada tahun 2020 (http://journalarticle.ukm.my/15089/1/jqma-16-1-paper3.pdf), kemalangan jalan raya pada tahun 2017 telah mengakibatkan kerugian sebanyak RM9.28 bilion kepada negara.

Sekiranya masalah kemalangan jalan raya di negara ini tidak diatasi, jumlah ini akan terus meningkat dan mengakibatkan kerugian ekonomi yang sangat besar kepada rakyat jelata serta negara.

Sebagai perbandingan, pada tahun 2021 kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM11 bilion untuk subsidi minyak petrol dan diesel. Sungguhpun perbincangan berkenaan subsidi adalah berkenaan sosio-ekonomi namun, kerugian yang ditampung negara akibat kemalangan jalan raya boleh digunakan untuk kegunaan yang lebih mustahak dan membina negara serta penduduk.

Sudah cukup ramai rakyat yang meninggal dunia di atas jalan raya, pelbagai alasan yang tidak munasabah diberikan. Kerajaan perlu meningkatkan tahap kelayakan untuk sesiapa yang ingin memiliki lesen, dan lesen hanya diberikan kepada mereka yang layak dan bukan sewenang-wenangnya kepada kaki botol, OKU cacat mental dan mereka yang mempunyai masalah mental serta penyakit serius yang lain.

Menarik: Bongkarkan Sejarah Hitler & Zionis Bersatu Bina I5R43L!

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker