Sebelum datangnya sistem pendidikan Barat yang bermula dengan Penang Free School pada tahun 1815, orang-orang Melayu memiliki sistem pendidikan sendiri yang lebih praktikal serta kemas.
Namun dek kerana tipu daya British, tidak dinafikan ada Melayu pada zaman itu percaya, sekali gus menyebarkan doktrin ilmu ciptaan daripada Barat lebih bagus berbanding sistem pendidikan di Tanah Melayu.
Sedangkan realitinya, setiap orang-orang Melayu sebelum dipaksa menerima kemodenan dunia yang melahirkan rasa cinta dunia, hati dan jiwa anak-anak Melayu terisi dengan hafalan ayat al-Quran.
Bukan itu sahaja, sistem pendidikan Melayu awal menjadikan manusia itu mukmin serta hamba kepada Allah yang tahu tujuan hidupnya adalah untuk beribadah kepada Allah SWT.
Setiap anak-anak Melayu itu diajar ilmu agama dengan cukup kemas, tidak tertinggalkan segala isi tentang tauhid, feqah serta tasawwuf.
Anak-anak Melayu dahulu bukan hanya belajar tentang tauhid, feqah serta tasawwuf malah berpeluang untuk melaksanakannya, memahaminya serta merasai sendiri kemanisan Islam, iman serta ihsan.
Namun setelah datangnya Penang Free School pada 1815, orientalis Barat lakukan tipu-helah dengan menyebarkan doktrin sistem pendidikan orang-orang Melayu adalah tidak formal.
Bukan sahaja tidak formal, malah mereka menggerakkan ejen untuk meniup pembohongan bahawa ilmu-ilmu dalam alam Melayu adalah ketinggalan serta tidak relevan.
Doktrinnya cukup mudah, sesiapa yang berjaya menghafal ilmu yang mereka ciptakan, akan menjadi pandai dan boleh menukar status kehidupan ke arah lebih baik.
Kesannya.. pengasingan agama mula terpisah daripada kehidupan dan ia diterima dengan baik pada zaman ini sehinggakan kehebatan ilmu nenek moyang dipandang rendah.
Nenek Moyang Melayu Beradaptasi Dengan Alam
Allah SWT menganugerahkan bumi bertuah ini, alam Melayu ini, yang wujud di atas benua Sunda suatu ketika dahulu, penuh dengan nikmat alam yang sungguh luar biasa.
Di alam Melayu ini ada emas, di alam Melayu ini ada bijih timah, di alam Melayu ini ada pokok kayu berkualiti tinggi, di alam Melayu ini ada herba yang sangat mujarab.
Dalam erti kata lain, celik mata dan pandang sekeliling, gunalah apa-apa sahaja, yang hidup terus hidup, mati apabila ajal datang menjemput namun alam tidak pernah tercemar.
Berbeza dengan dunia hari ini, akibat menerima sistem pendidikan Barat yang mengubah dunia menjadi moden, manusia menjadi musuh alam dan pencemaran berlaku di sini-sana.
Akibatnya, bumi semakin tua serta penuh dengan penyakit dan sesekali bumi ‘terbatuk’, hancurlah kawasan-kawasan yang dirosakkan oleh tangan-tangan manusia.
Melayu Berkiblatkan British Menolak Realiti Alam
Betapa dekatnya nenek moyang Melayu dengan alam ciptaan Allah SWT, mereka beradaptasi dengan baik sehingga teknologi yang dipraktikkan pun mesra alam.
Tidak seperti hari ini, dunia pendidikan moden acuan Barat mengajar manusia perlu hidup dengan sains sedangkan nenek moyang Melayu dahulu sudah lama mengetahuinya.
Mengambil contoh penggunaan asid yang bersifat menghakis, sistem pendidikan Barat menganggap ia satu penemuan dalam dunia sains moden.
Mereka berbangga apabila berjaya mencipta satu kandungan kimia yang tidak mesra alam seperti asid mampu menghakis karat-karat pada besi.
Sedangkan nenek moyang Melayu dahulu, hanya perlu gunakan limau sahaja untuk menghakis karat pada besi atau menghilangkan bau hanyir darah dan sebagainya.
Namun malangnya disebabkan ilmu-ilmu Melayu ini dihapuskan dari silibus pendidikan ke arah kemodenan, dari tahun 1815 sehingga 2023 sekali pun, masih ramai anak-anak Melayu tidak kenal asal-usul mereka.
Akibatnya, mereka memfitnah sesuatu yang nenek moyang mereka praktikkan pada zaman silam sebagai syirik, khurafat dan sebagainya gara-gara tidak kenal serta tidak tahu.
Sehubungan itu, Demi Malaiu mengambil langkah menyongsang arus untuk merakam semula saki-baki ilmu-ilmu alam Melayu ini sebagai pendidikan awam untuk generasi hari ini lestarikan.
Andai kata zaman kehancuran itu telah tiba, sekurang-kurangnya jika anak-anak Melayu ini lari ke hutan, mereka masih boleh hidup dengan panduan yang ditinggalkan nenek moyang, yang relevan sepanjang zaman.
Tonton video di bawah untuk menyaksikan tutorial cara nenek moyang dahulu cuci keris menggunakan limau serta tujuan perasap keris untuk mendapatkan haba.
Demi Malaiu adalah sebuah unit penyelidikan bebas yang tidak dinaungi mana-mana pihak. Sehubungan itu, Demi Malaiu memerlukan sokongan dana untuk meneruskan kerja-kerja jihad fisabilillah ini.
Semoga tuan-tuan dan puan-puan mendapat keberkataan serta dimurahkan lebih banyak rezeki, klik untuk menyumbang di sini: