“Tak mungkin hilang, Irama dan lagu, Bagaikan kembang, Sentiasa bermadu, Andai dipisah lagu dan irama, Lemah tiada berjiwa, Hampa…”
Pastinya kebanyakan dari kita kenal dengan lagu ini. Didendangkan oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, lagu Getaran Jiwa ini merupakan sebuah lagu malar segar yang masih lagi sukai sehingga zaman kini. Dalam lirik tersebut ada mengatakan jika dipisahkan lagu dan irama, jiwa seseorang boleh menjadi lemah dan hampa. Ini dapat menunjukkan masyarakat kita, Melayu khususnya tidak boleh dipisahkan dengan hiburan seni.
Menurut Prof. Dr. Mohamed Ghouse Nasuruddin, lewat tahun 1870-an, teater bangsawan sudah bertapak di sekitar Pulau Pinang. Bangsawan ini banyak dipengaruhi wayang Parsi dan Mendu. Kedatangan mereka ini menjadi perintis lagu-lagu popular Malaysia kerana mereka memasukkan elemen-elemen tradisi Malaysia dalam lagu mereka.
Pada tahun 1933, lahirlah filem Melayu pertama yang bertajuk Laila Majnun. Filem ini diarahkan oleh seorang direktor dari India, B.S Rajhans dan diusahakan oleh Encik Chisty, seorang ahli perniagaan bangsa asing dari Singapura. Hampir kesemua pelakon di dalam filem ini diterajui oleh pelakon bangsawan.
Kini, industri seni tanah air semakin berkembang mengikut peredaran zaman. Dari menonton teater bangsawan, beralih ke pawagam. Apabila televisyen muncul, orang ramai boleh menonton cerita di rumah mereka. Sekarang, dengan kecanggihan teknologi, kita boleh menonton apa saja di telefon pintar mengunakan platform streaming seperti Youtube, Netflix, Tonton dan sebagainya.
Namun bila semakin canggih sesebuah teknologi itu berkembang, pasti akan ada akibatnya. Jika sesebuah filem atau drama yang ditayangkan di pawagam dan televisyen, ia akan ditapisi oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) jadi sedikit sebanyak kerajaan dan badan bertanggungjawab masih boleh mengawal kandungan yang akan dipaparkan kepada umum. Berlainan pula dengan platform streaming seperti Netflix, VIU, Amazon Prime dan sebagainya. Mereka bebas membuat karya kerana tidak terikat dengan undang-undang ini melainkan setelah menerima laporan.
Kecoh dulu apabila sebuah filem bertajuk Mentega Terbang yang ditayangkan di platform streaming VIU yang mengisahkan seorang anak kecil bernama Aisyah yang ingin mencari tahu tentang alam selepas kematian. Terdapat beberapa babak dan dialog yang boleh mengugat akidah umat Islam seperti menyamakan Islam seperti agama lain dan konsep kelahiran semula. Selepas menerima laporan dan desakan, akhirnya filem indie itu dibawa turun dari platform VIU. Bayangkan jika tiada siapa yang sedar dengan perkara ini, berapa ramai yang secara tak langsung akan terpengaruh dengan suntikan halus dari karyawan filem ini?
Baru-baru ini juga kecoh terdapat isu hangat yang berlaku di Kepci Music Fest di mana festival muzik tersebut dihadiri oleh anak-anak sekolah tahfiz. Apabila ditanya pada penganjur, seorang individu lain, Andrie Ung Han Xiang menjawab beliau yang membawa masuk anak-anak ini yang terdiri dari pelarian Rohingnya yang tidak tahu berbahasa Malaysia pun. Niat Andrie adalah ingin memberi hiburan pada anak-anak tidak berkemampuan kerana ia turut dihadiri 700 anak yatim dari 22 rumah kebajikan.
Berhibur atau menghargai sebuah seni itu tidak salah namun kita perlu tahu batasnya. Adakah penganjur yakin festival muzik ini sesuai untuk anak-anak muda lagi-lagi anak-anak tahfiz? Adakah ini merupakan cara halus dari sesetengah pihak untuk melalaikan kanak-kanak dengan perkara sia-sia dan tidak moral? Tidak salah sebenarnya untuk menghiburkan anak-anak kecil polos ini tapi adakah festival seperti ini sesuai untuk mereka? Dan peliknya juga bagaimana pengurus rumah kebajikan membenarkan anak-anak bawah urusan mereka pergi ke festival muzik seperti ini. Sepertinya mereka sudah maklum tentang acara apa yang mereka akan hadiri tapi mengapa mereka memilih untuk menyertainya? Kerana itu, ramai orang tertanya-tanya kenapa isu seperti ini boleh berlaku.
Tidak dinafikan, anak-anak kecil mudah meniru apa yang mereka selalu dengar dan lihat. Lihat saja berapa anak muda tanpa segan silu bergaul rapat berlainan jantina, menari, berjoget sakan di dalam platform media seperti TikTok. Mereka terpengaruh apa yang mereka lihat di kaca televisyen dan kini di telefon pintar. Keberanian sesetengah karyawan seperti pelakon, penyanyi, pengarah dan sebagainya kadangkala seperti mencabar kuasa pihak bertanggungjawab dengan tidak mengendahkan walaupun sudah ditegur berkali-kali.
Medium seperti televisyen, radio, komputer dan telefon pintar sepatutnya boleh diguna pakai untuk menyebarkan keindahan agama Islam dan budaya Melayu yang kaya dengan tradisi. Namun apakan daya, ramai yang menyalahgunakan malahan tidak menghormati langsung batas agama dan budaya sendiri.
Manusia dan seni tidak dapat dipisahkan. Lumrah manusia suka pada keindahan dan suka berhibur serta menghiburkan. Dalam Islam juga membenarkan jika kesenian yang dihidangkan memelihara adab, menjaga prinsip kemasyarakatan dan akhlak. Baginda Rasulullah SAW juga pernah memuji keindahan suara Saidina Abu Musa al-As’ariyy. Baginda juga pernah meminta Saidatina Aisyah agar menghantar seorang yang akan menyanyi dalam majlis perkahwinan seorang wanita dari keluarga Sayyidatina Aisyah dengan lelaki daripada golongan Ansar. Rasulullah SAW membuat permintaan ini untuk meraikan golongan Ansar yang suka dengan suasana gembira.
Justeru itu, seni tiada salahnya melainkan ada yang berniat untuk menyalahkannya. Jika karyawan-karyawan negara faham di mana batasnya serta mengambil inisiatif untuk menyebarkan perkara positif tentang agama dan budaya kita serta menghasilkan karya yang meningkatkan jati diri, industri seni tanah air boleh membantu dalam menaikkan nama negara di mata dunia. Mungkin pada zaman kini, badan bertanggungjawab tidak lagi mampu membendung dengan lambakan filem, drama, lagu, video dan pelbagai lagi jenis media yang wujud di era ini. Oleh itu, jika kita sayangkan agama dan budaya kita, maka kita sendiri yang kena ‘turun padang’ dan menolong membetulkan apa yang salah dan menghentikan apa yang tidak benar. Moga dengan usaha seperti ini, industri seni tanah air akan lebih ‘bersih’ dan boleh dihayati untuk semua peringkat umur.