Sejarah

Indonesia Cuma Jenamakan Bahasa Melayu Kepada Bahasa Indonesia – Ar. Dr. Mastor Surat

Cadangan Perdana Menteri Malaysia untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN adalah sesuatu yang baik dan perlu disokong oleh anggota ASEAN demi mengangkat semula Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan utama (lingua franca) masyarakat di Wilayah Asia Tenggara.

Namun begitu cadangan tersebut mendapat bantahan daripada Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia yang lebih memihak supaya menjadikan Bahasa Indonesia yang dipertuturkan oleh masyarakat Indonesia yang perlu diangkat menjadi bahasa rasmi ASEAN berdasarkan hujah-hujah yang mengatakan bahasa tersebut dipertuturkan oleh lebih ramai penutur di Indonesia dan di luar negara.

Kata Ketua Agensi Pembangunan Bahasa Indonesia pula, Bahasa Melayu di Riau kini pun banyak menyerap kosakata Bahasa Indonesia.

Kenyataan tersebut sebenarnya adalah lanjutan dari kenyataan yang telah dibuat pada akhir tahun 2010, di mana Pengerusi Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia secara terbuka menyatakan bahawa bahasa Indonesia menjadi salah satu bahasa rasmi ASEAN.

Delegasi Dewan Rakyat juga telah menyatakan cadangan yang serupa. Indonesia juga telah secara rasmi mencadangkan suatu pindaan undang-undang ASEAN Inter Parliamentary Assembly (AIPA) supaya Bahasa Indonesia dimasukkan ke dalam bahasa kerja AIPA, selain bahasa Inggeris.

Bagi menjernihkan keadaan, dicadangkan supaya dikenalpasti usul Bahasa Indonesia bagi tujuan kesepakatan.

Bahasa Indonesia adalah suatu bentuk baku bahasa Melayu yang paling piawai dan diiktiraf sebagai bahasa rasmi Republik Indonesia sebagaimana disebutkan dalam Undang-Undang Dasar Negara Republik Indonesia Tahun 1945 Pasal 36.

Ia juga merupakan bahasa penyatuan (atau “pemersatuan”) bangsa Indonesia sebagaimana disebut dalam Sumpah Pemuda 28 Oktober 1928. Bentuk Bahasa Melayu yang dipakai sebagai dasar bahasa Indonesia adalah Bahasa Melayu Tinggi (“Riau”) dari Sumatera. (Sneddon 2003, The Indonesian Language: Its History and Role in Modern Society, p. 70)

Jika merujuk kepada sejarah penggunaan bahasa rasmi Indonesia yang dinamakan Bahasa Indonesia, awal penciptaanya sebagai jati diri bangsa bermula dari Sumpah Pemuda, iaitu pada 28 Oktober 1928.

Pada Kongres Nasional kedua di Jakarta. Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa nasional atas usulan Muhammad Yamin, seorang politikus, sasterawan, dan ahli sejarah.

Dalam pidatonya pada Kongres Nasional kedua di Jakarta, Yamin mengatakan, “Jika mengacu pada masa depan bahasa-bahasa yang ada di Indonesia dan kesusasteraannya, hanya ada dua bahasa yang boleh diharapkan menjadi bahasa persatuan iaitu bahasa Jawa dan Melayu.

Tapi dari dua bahasa itu, bahasa Melayulah yang lambat laun akan menjadi bahasa pergaulan atau bahasa persatuan.” (https://ms.wikipedia.org/wiki/Bahasa_Indonesia)

Bahasa Melayu Riau dijadikan sebagai bahasa persatuan Republik Indonesia dengan beberapa pertimbangan : (https://ms.wikipedia.org/wiki/Bahasa_Indonesia)

• Bahasa Jawa jauh lebih sukar dipelajari dibandingkan bahasa Melayu. Ada bahasa halus, biasa, dan kasar, yang mana dipergunakan untuk orang yang berbeza dari segi usia, derajat, ataupun pangkat. Bila kurang memahami budaya Jawa, boleh menimbulkan kesan negatif yang lebih besar.

• Bahasa Melayu Riau yang dipilih, dan bukan misalnya Bahasa Melayu Pontianak, atau Banjarmasin, atau Samarinda, ataupun Kutai, dengan pertimbangan pertama suku / puak Melayu berasal dari Riau, Sultan Melaka yang terakhir pun lari ke Riau setelah Melaka direbut Portugis. Kedua, sebagai lingua franca, Bahasa Melayu Riau yang paling sedikit terkena pengaruh misalnya dari bahasa Cina Hokkien, Tio Ciu, Ke, ataupun dari bahasa lainnya.

• Pengguna bahasa Melayu bukan hanya terbatas di Republik Indonesia. Pada tahun 1945, penutur bahasa Melayu yang berasal selain dari Republik Indonesia masih dijajah Inggeris. Malaysia, Brunei, dan Singapura masih dijajah oleh pihak Inggeris. Pada ketika itu, dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa persatuan, diharapkan di negara-negara seperti di Malaysia, Brunei, dan Singapura boleh menguatkan lagi semangat patriotik dan nasionalisme diantara negara-negara berjiran di sekitar wilayah Asia Tenggara.

Kata-kata daripada kedua-dua wakil Indonesia tersebut adalah disebabkan kekeliruan dari sudut pensejarahan atau kurang jelasnya perkara yang berkaitan dengan istilah, pengertian atau maksud ‘bahasa’ tersebut.

Mereka telah mencampuradukkan istilah bahasa dengan bangsa dan kewarganegaraan serta kewilayahan. Kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia mempunyai kamus bahasa kebangsaan masing-masing yang telah mengistilahkan perkataan bahasa, bangsa dan kewarganegaraan dengan cara yang berbeza.

Namun begitu masyarakat di kedua-dua negara tersebut menggunakan bahasa pertuturan dengan kosakata atau perbendaharaan kata yang sama atau dengan kata lain mempunyai bahasa ibunda (mother tongue) yang sama.

Yang menjadikan ia berbeza cuma bunyi setiap kosakata tersebut berbeza menurut sebutan atau bunyi yang dilafazkan berbeza menurut loghat (dialect) kewilayahan atau kedaerahan masing-masing.

Selain masyarakat di Malaysia dan Indonesia, masyarakat di negara-negara lain seperti Singapura, Brunei, Thailand, Myanmar, Kampuchea dan Vietnam juga berupaya menggunakan atau menuturkan bahasa dengan kosakata yang sama seperti masyarakat di Malaysia dan Indonesia namun bunyi kosakata tersebut berbeza menurut loghat kewilayahan atau kedaerahan masing-masing.

Sebagaimana yang telah disepakati usul bahasa rasmi Malaysia dan usul bahasa rasmi Indonesia adalah dari bahasa ibunda yang sama iaitu Bahasa Sanskrit yang dikemaskinikan menjadi Bahasa Melayu Kuno dan akhirnya kini menjadi bahasa rasmi yang dibakukan oleh penutur-penuturnya di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Sehingga kini Bahasa Melayu telah menjadi bahasa rasmi bagi negara-negara Malaysia, Singapura dan Brunei, cuma negara Indonesia yang telah menjenamakan Bahasa Melayu kepada Bahasa Indonesia.

Pada dasarnya kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk menggunakan satu bahasa ibunda yang sama dan mengangkat bahasa tersebut sebagai bahasa pertuturan rasmi ASEAN dan bahasa pertuturan utama (lingua franca) masyarakat Asia Tenggara.

Yang menjadi pertikaian kini ialah ‘nama’ yang wajar diberikan kepada bahasa ibunda tersebut agar ianya tiada unsur memihak sebaliknya mengambarkan suatu kesatuan masyarakat yang mendiami Asia Tenggara dengan menggunakan satu nama bahasa pertuturan yang sama.

Adalah diharapkan agar kesemua negara-negara yang menggunakan bahasa ibunda yang sama yang usulnya dari Bahasa Sanskrit tersebut dapat duduk semeja bagi mencari kata putus dalam pengesahan ataupun mungkin penjenamaan semula bahasa ibunda tersebut.

Wallahu Ta’ala Aklam
Ar. Dr. Mastor Surat, Gabungan Demi Malaiu, 6.4.2020

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker