Perkataan ibu soko mungkin kedengaran asing bagi rakyat yang bukannya asli dari Negeri Sembilan, apatah lagi generasi baharu yang kurang gemar cakna tentang adat dan budaya.
Namun jika mengkaji sejarah dan fungsinya, ibu soko bukan sahaja berperanan sebagai pakar rujuk dalam pelbagai perkara khususnya berhubung perjalanan adat.
Malah ia juga menggambarkan kedudukan wanita di Negeri Sembilan tersangatlah tinggi dan peranan Ibu Soko diangkat kembali demi mengembalikan martabat mereka.
Menurut Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Drs Shamsuddin Ahmad, ibu soko adalah wanita berpengetahuan tentang banyak perkara.
Bukan sahaja bertanggungjawab dalam melaksanakan ketentuan agama dan adat, meneruskan jurai keturunan kelompok keluarganya, memastikan keturunannya menjadi ahli masyarakat berguna dan memiliki sikap madani.
Malah ibu soko turut berpengalaman dalam perjalanan adat dan kelompok keluarganya sendiri di samping pakar rujuk dalam hal ehwal adat, sosial, ekonomi serta politik.