Dewasa ini muncul kelompok Golongan Muda yang mentah yang cuba mengkritik Ulama’ besar yang telah memberi sumbangan dalam keilmuwan di Nusantara.
Tuduhan seperti Sheikh Ibrahim Kurani sebagai pengajar ilmu Khurafat dan mengajar kebathinan yang salah merupakan satu fitnah yang besar yang boleh mengundang keburukan kepada masyarakat.
Hal ini disebabkan golongan ini gagal memahami konsep Khurafat sehingga menuduh para ulama’ sebagai pelaku Khurafat. Mereka gagal konsep Syariat-Hakikat sehingga membakul-sampahkan ajaran Tasawuf yang benar dengan tuduhan Batiniyyah yang sebenarnya berbeza apa yang mereka fahami.
Maka kupasan latar sejarah tentang tokoh ini perlu dilakukan sebagai jawapan kepada golongan tersebut bahawa Sheikh Ibrahim Al-Kurani merupakan Ulama’ Ahli Sunnah Wal Jama’ah yang telah mengadunkan Ilmu Kalam – Ilmu Syariat – Ilmu Tasawwuf ke dalam satu model terbaik sehingga menjadi Guru Besar kepada ulama’-ulama’ Nusantara selepasnya.
Sesungguhnya Sheikh Ibrahim Al-Kurani merupakan seorang ulama’ besar yang memiliki keilmuwan yang bersanad daripada ulama’ muktabar sebelumnya. Nama penuh beliau adalah Burhan al-Din Ibrahim ibn Hassan ibn Shihab al-Din al-Kurani al-Madani. Beliau lahir di kampung Shahrani, Shahzuri, Kurdistan.
Beliau lahir pada tahun 1023 H (1615M) dan wafat 1101H (1690M). Beliau merupakan seorang Mutakallimun yang intelektual dan juga merupakan Mursyid Tariqah yang spiritual.
Beliau mendalami pelbagai lapisan ilmu antaranya Ilmu Kalam dalam memperteguh Akidah, Ilmu Feqah dalam pengamalan Syariat serta Ilmu Tasawwuf dalam memahami Hakikat Ihsan. Beliau telah menjelajah ke pelbagai kota perkembangan Ilmu iaitu di Turki, Parsi, Iraq, Syria, Mesir dan Madinah.
Beliau mengambil amalan Tariqat Qadiriyyah ketika berada di Baghdad. Beliau telah mendalami keilmuan Tasawwuf Abdul Qadir Al-Jaylani ketika di Baghdad lagi yang merupakan tempat ajaran Imam Al-Ghazali disebarkan.
Malah beliau mempelajari ajaran Esoterik Ilmuwan terkenal Sheikh Al-Akbar Ibn ‘Arabi. Pengajaran Tasawwuf Ibn ‘Arabi ini didapati daripada Sheikh Muhammad Al-Amiri selama 4 tahun ketika beliau berada di Damsyik.
Maka keilmuwan Imam Al-Ghazali, Al-Jaylani dan Ibn ‘Arabi terangkum dan termanifestasi dalam pemikiran Sheikh Ibrahim Al-Kurani. Ini menunjukkan bahawa beliau mengikuti jalur pemikiran Ahli Sunnah Wal Jama’ah yang lengkap dalam Tasawwuf.
Beliau juga sempat berada di Mesir dengan mempelajari ilmu Tafsir dan Hadis di Universiti Al-Azhar. Legasi Al-Azhar yang merupakan pusat pengajian Ahli Sunnah Wal Jama’ah sedunia kukuh dan tertanam di dalam jiwa beliau.
Malah beliau juga telah belajar Ilmu Feqah (Syariat) daripada Sheikh Al-Qushashi daripada Sheikh As-Sinwani seterusnya daripada Imam Shamsudin Ar Romli sampai kepada Imam Zakaria Ansori. Sanad keilmuwan ini menunjukkan bahawa beliau telah belajar daripada tokoh Ahli Sunnah Wal Jama’ah yang bermazhab Syafi’e.
Pembelajaran Hadis beliau terutama dalam Kutubus Sittah juga diambil daripada Sheikh Alauddin Al-Babli, Shihabudin Al-Masri dan Sultan Ahmad Al-Azhari. Ini menunjukkan bahawa beliau mementingkan dan menyintai Hadis Nabi dalam mengeluarkan Hukum-Hakam. Sangat paradoks apabila beliau dituduh sebagai Bathiniyyah.
Beliau juga merupakan Khalifah Syatariah yang diambil daripada Al-Qushashi. Jalur ini membuktikan bahawa Tariqatnya berlandaskan landasan Imam Al-Ghazali. Ini membatalkan tuduhan bahawa beliau mengajar khurafat yang sesat. Hakikatnya ajaran beliau penuh dengan ajaran pembersihan rohani dan penerapan nilai Akhlak yang tinggi. Beliau juga pernah ke Madinah menuntut ilmu di bawah penyeliaan sepenuhnya di bawah Al-Qushashi.
Keilmuwan beliau telah mempengaruhi Rantau Nusantara sehingga menuangkan nilai keilmuwan tersebut kepada tokoh ilmuwan terkenal Abdul Rauf As-Singkil dan Yusuf Al-Makassari. Abdul Rauf As-Singkel merupakan mufti Ahli Sunnah Wal Jama’ah di Acheh. Ini menunjukkan guru Abdul Rauf As-Singkel iaitu Sheikh Ibrahim Al-Kurani juga merupakan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jama’ah.
Beliau telah mengupas tentang Tuhfat Al-Mursalah karangan Al-Burhanpuri dalam tajuk Ithafu Dhaki dalam hal Wahdatul Wujud serta Martabat Tujuh.
Kitab Tuhfat diadaptasi sehingga mempengaruhi dalam pemikiran Hamzah Fansuri dan Samsuddin Sumatrai. Kupasan beliau dalam hal ini membuktikan bahawa kewujudan yang hakiki hanya Allah SWT sahaja, adapun kewujudan makhluk adalah sementara serta maya yang bergantung kepada Wajib Al-Wujud.
Kupasan ini menunjukkan bahawa beliau berpegang kepada Tauhid sejati. Muqaddimah kitab beliau sahaja penuh dengan ketauhidan kepada Allah SWT. Ini membatalkan tuduhan fitnah daripada Sufaha’ Al-Ahlam yang kononnya beliau mengajar ilmu Khurafat Bathiniyyah.
Malah kitab beliau berkenaan Al-Jawabat Al-Gharawiyyah Lil Masail Al-Jawiyah Al-Johriyyah telah menjawab persoalan-persoalan yang besar daripada nusantara berkenaan Wahdat Al-Wujud. (Ginanjar Sya’ban : 2016)
Kitab Kasf Al-Muntazir Lima Muhtayar Muhtadhir dan Al-Maslak Al-Jali Fi Jukm Syatah Al-Wali juga telah menjawab secara tuntas berkenaan Syatahat Wali. Buku tersebut juga telah menjawab pelbagai soalan berkenaan Martabat Tujuh dengan dalil Al-Quran dan As-Sunnah berkenaan pengalaman Ahli Tasawwuf.
Ibrahim Al-Kurani meneruskan pengajaran Ibn ‘Arabi dan Al-Jili dalam mencapai status Insan Al-Kamil. Mungkin disebabkan inilah golongan mentah itu memfitnah Al-Kurani.
Sesungguhnya Al-Kurani telah mengadunkan antara Kalam, Syariat dan Sufi secara bersepadu. Kesepaduan ini adalah unsur ketauhidan yang menyatakan segala-galanya berasal daripada Wajib Al-Wujud iaitu Allah.
Beliau merupakan Mahaguru Ulama’ Nusantara. Beliau merupakan Mujaddid Islam Abad ke-11 H. Al-Kattani, seorang ilmuwan Hadis terkenal telah meletakkan beliau sebagai Mujaddid Ummah yang sangat Prolifik.
Al-Kattani telah mengiktiraf beliau sebagai guru besar sehingga mampu membangkitkan Tasawuf daripada landskap Sunni. Mustahil seorang Mujaddid Ummah Abad ke-11H mengajar ajaran Khurafat dan Batiniyyah. Beliau diiktiraf oleh ilmuwan besar yang lainnya yang mempunyai kredibiliti dan autoriti dalam kajian ilmu.
Malah beliau digelar sebagai Ilmuwan Besar yang memiliki Intelektual dan Spiritual yang matang pada kurun ke-17 M seperti di dalam kitab ‘Aunul Ma’bud Sharh bagi Sunan Abi Dawud karangan al-Muhaddith Abu Tayyib Muhammad Shamsul Haqq al-Azim Abadi. Ini menunjukkan Ahli Hadith juga mengiktiraf beliau.
Dalam kitab tersebut juga dinyatakan bahawa beliau sebaris dengan Syeikhul Islam Zakaria Al-Ansari Mujaddid abad ke-15, Imam Ar-Ramli pada abad ke-16 Sheikh Murtadha Al-Zabidi pada abad ke-18. Pengiktirafan beliau sebagai Mujaddid dilakukan oleh ulama’-ulama’ besar yang tahqiq dalam keilmuwan. Bukan seperti Sufaha’ Al-Ahlam yang gagal memahami text karya beliau yang penuh dengan bahasa tinggi yang tidak dicapai oleh akal mereka.
Karya beliau mencapai 80 buah buku yang meliputi pelbagai bidang keilmuan. Tulisan beliau telah mempengaruhi ulama’-ulama’ selepasnya kerana daya tarikan pemikirannya yang kuat. Penulisannya terus dikaji dan melahirkan ulama’-ulama’ lain yang berwibawa. Ini menunjukkan Sheikh Ibrahim Al-Kurani merupakan sebuah gunung yang utuh dan kukuh yang didaki oleh setiap pencinta ilmu untuk menggapai ilmu beliau. Gunung tidak akan runtuh hanya dengan salakan anjing-anjing yang kehausan popular.
Secara akademikal, Akidah beliau adalah Al-Asya’irah, bermazhab As-Syafi’e serta bertariqat Naqsyabandi dan Syatariyyah.
Menurut pengkaji ilmu yang mempunyai kredibiliti ilmu antaranya Azra dan Oman Fathurahman menyatakan bahawa beliau adalah “Bapa Ilmu Islam” kepada Nusantara.
Hampir keseluruhahan kitab pada masanya dan selepasnya yang membincangkan tentang Al-Kurani menyatakan bahawa beliau merupakan “Alim Besar” sehingga digelar sebagai “Ghazali Besar”.
Al-Azhimabadi seorang Ulama’ India yang profesional juga mengukuhkan lagi bahawa beliau adalah Mujaddid Islam yang sangat prolifik.
Al-Hamawi seorang sejarawan terkenal menyatakan majlis ilmu beliau sebagai “Taman Syurga” yang penuh dengan pengisian ilmu serta dihadiri oleh penuntut ilmu daripada pelbagai kota.
Malah Sejarawan Intelelektual yang menghabiskan masa hidupnya untuk kajian sejarah, Al-Muradi yang hidup sezaman Al-Kurani menyatakan bahawa beliau sebuah “Gunung Raksasa” di antara pergunungan ilmu dan juga “Samudera Ilmu Irfan Hakikat” yang perlu diambil ilmunya. Jikalau ahli sejarah sudah katakan sedemikian, maka fitnah daripada golongan mentah ditolak mentah-mentah, ia bagaikan angin lalu yang tiada nilai ilmu dan nilai adab.
Hampir keseluruhan ilmuwan Islam yang berada di Nusantara juga mempunyai jalur daripada beliau. Malah Abah Anom yang merupakan shekh Tariqat juga mewarisi keilmuwan Al-Kurani.
Abdul Rauf Singkel (W. 1693) penulis pertama terjemahan Al-Quran dalam Bahasa Jawi iaitu Turjuman Mustafid. Mufti kesultanan Acheh penulis pertama Mazhab Syafie pertama terlengkap iaitu Mir’atul Tullab. Juga merupakan murid langsung Al-Kurani. Demikian Yusuf Makassari (w 1699) juga murid langsung beliau. Jikalau Al-Kurani yang merupakan Guru Besar kepada Abdul Rauf Singkel ini sesat dan dituduh sebagai pengajar Batiniyyah dan Khurafat, maka rantai Melayu ini jadi khurafat. Hakikatnya legasi keilmuwan Al-Kurani yang dibawa oleh ulama’-ulama’ Nusantara telah membangunkan Tamadun Kesultanan Melayu Acheh di Nusantara.
Antara lain murid beliau juga Abdul Syakur Al-Banten (Waliullah), Abdul Mahmud Mataram, Muhammad Abdul Latif Al-Banten, dan selainnya seperti di dalam kitab Al-Umam Li Liqazh Al-Himam.
Hampir keseluruhan ulama’ Nusantara bersambung sanad garis keilmuan kepada Al-Kurani. Jikalau Al-Kurani dikatakan sesat dan mengajar khurafat, maka hampir keseluruhan ulama’ Nusantara juga khurafat. Tetapi hakikatnya tidak sedemikian.
Sesungguhnya Sheikh Ibrahim Al-Kurani telah menyeimbangkan antara teori dan praktikaliti. Menggabungkan Feqah (Zahir) dan Tasawwuf (Batin). Mengadunkan antara Syariat dan hakikat. Maka dengan inilah golongan yang cenderung ke arah pemikiran Zahiriyyah telah menuduhnya sebagai Batiniyyah. Hakikatnya mereka tidak menjangkaui pemikiran yang sangat dalam daripada Sheikh Ibrahim Al-Kurani.
Tuduhan khurafat berasal terhadap Ulama’ Besar ini iaitu Sheikh Ibrahim Al-Kurani adalah tuduhan yang biadab dan melampau. Disarankan agar yang melontarkan tuduhan itu agar bertaubah dan beristighfar banyak-banyak kerana telah melakukan fitnah yang besar terhadap ulama’ besar yang muktabar.
Abd Rahman Tajudin @ Emang Galileo
Fellow Counter Narrative Centre for Countering Violent Extremism (CONCAVE), Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI).
Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jama’ah Malaysia ISLAMI