Antara pengajaran yang perlu dihayati dan boleh diambil iktibar dalam membina keperibadian sebagai seorang mukmin melalui peristiwa Israk & Mikraj adalah memupuk rasa cinta terhadap Allah dan Rasul melebihi segala-galanya,” ujar Setiausaha Agung, Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia, Syeikh Abdul Kareem Khadaied.
Inilah jalan sebenarnya, Cinta juga adalah satu skop dalam Rukun Ihsan. Dalam Fardu Ain kita ada Rukun Iman, Rukun Islam dan Rukun Ihsan. Jadi Cinta ini duduknya di dalam Rukun Ihsan, ilmunya Tasawuf dan kaedahnya ada di Tareqah.
Setiap tahun, diadakan sambutan memperingati peristiwa Israk & Mikraj tapi kalau kita hanya bercakap tentang sejarah sahaja belum cukup.
Intipati Sebenar Israk & Mikraj
Sedangkan, intipati sebenar Israk & Mikraj adalah sebagai satu penzahiran manifestasi rasa Cinta antara Allah Azawajalla kepada seluruh makhluk amnya yang juga dianggap sebagai sebuah hadiah paling bernilai kepada seluruh umat Islam khususnya melalui kekasihnya Rasulullah SAW yang patut disyukuri dengan sepenuh hati.
Kita menyedari, kisah Israk & Mikraj adalah suatu peristiwa sirah yang tidak masuk akal berlaku dalam satu malam sahaja. Tidak ada yang mampu membayangkan perjalanan Nabi SAW daripada Mekah ke Baitul Muqqadis dalam sekelip mata kemudian selepas itu naik sampai ke Sidratul Muntaha bertemu Allah SWT, adakah masuk akal cerita sebegini?
Adakah akal boleh menerima cerita peristiwa seperti ini, sudah tentu tidak. Jadi kenapa kita percaya? Tak lain, hanyalah kerana Allah SWT sebut di dalam Al Quran maka kita percaya atas Iman yang dipupuk rasa Cinta kepada Nabi SAW.
Jadi, kalau kita nak ada masyarakat Madani maka masyarakat kita mesti menghidupkan amalan-amalan pautan hati kepada Rasulullah SAW dan pautan hati kepada Allah SWT.
Semarakkan Cinta Rasul Dengan Berselawat
Kalau kita lihat aktiviti-aktiviti dalam Masjid misalnya, dalam satu minggu ada tak aktiviti dalam satu hari latihan untuk memupuk Cinta melalui sama ada dalam Majlis-Majlis Zikir, Majlis Tahlil, Majlis Selawat secara mingguan, ada tak sekarang ini dibuat?
Bahkan, masyarakat hari ini, diajar untuk mencintai pemain bola, diajar mencintai artis dan dan diajar mencintai macam-macam perkara tetapi mentarbiahkan masyarakat untuk mencintai Allah dan Rasul ini adalah satu perkara yang asing dalam masyarakat kita.
Semasa solat Jumaat, dalam khutbah kedua khatib membaca (Surah al-Ahzab) perintah supaya berselawat kepada Nabi SAW itu ada disebutkan dalam setiap kali khutbah Jumaat. Tetapi berapa orang dalam solat Jumaat itu yang menjawab selawat yang dibacakan itu? Kita tidak ada budaya mentarbiah masyarakat untuk mencintai Nabi SAW.
Justeru, banyakkan lagi program-program Majlis Selawat, Malam Cinta Rasul misalnya disertai anak-anak muda, itu dapat menjadi perkembangan yang baik dalam memupuk rasa Cinta yang sebenar, tetapi kebanyakkannya sebelum ini hanya dianjurkan oleh NGO-NGO.
Jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Agama Islam kita mana?