Sejarah

Hiburan Hari Ini Membangun atau Merosakkan Masyarakat?

Jika disebut mengenai hiburan, umat Islam sebenarnya tidak dihalang daripada melakukannya. Ini kerana, dengan berhibur, umat Islam secara tidak langsung dapat menambah nilai dirinya sebagai hamba kepada Allah.

Terdapat dua aspek yang boleh dinilai daripada aktiviti hiburan, iaitu hiburan yang memberi nilai tambah kepada masyarakat dan juga hiburan yang boleh melalaikan hingga merosakkan masyarakat. Antara hiburan yang memberi manfaat dan dibenarkan dalam Islam ialah hiburan yang boleh menyedarkan manusia siapa dirinya yang sebenar. Hiburan ini merangkumi seni kata, muzik, lagu, masa hiburan itu dilakukan dan manfaat kepada umat Islam.

Hiburan yang melalaikan pula terdiri daripada aktiviti yang bersifat maksiat, fitnah dan melibatkan pergaulan antara lelaki dengan perempuan. Perbuatan seperti ini semestinya bertentangan dengan konsep akidah dan akhlak islam seterusnya menjauhkan manusia dengan jalan Allah.

Jika dinilai kedua-dua aspek ini, dapat dilihat bahawa setiap aktiviti hiburan yang dilakukan akan memberi kesan kepada masyarakat. Oleh itu, masyarakat perlu peka dengan keadaan semasa dan hendaklah sedaya upaya menjauhi hiburan yang melalaikan serta memudaratkan.

Hiburan yang berlandaskan syariat Islam semestinya akan mendatangkan manfaat bagi agama dan negara. Namun, jika hanya mahu bersuka ria, berseronok dan mengikut hawa nafsu semata-mata, semua perbuatan itu hanya sia-sia. 

Ketika memasuki bulan ramadhan, umat Islam seharusnya merebut peluang menambah pahala dengan menjadikan hiburan sebagai ibadah. Barulah bulan ramadhan itu akan dianggap sebagai bulan ibadah. Umat Islam juga perlu memanfaatkan kehadiran bulan ramadhan yang dianggap sebagai bulan mujahadah, bulan yang penuh keberkatan, keampunan dan keistimewaan daripada Allah. 

Baca juga>> Tamadun Baru Melayu – Islam Nusantara Bakal Bangkit!

Masyarakat hendaklah tidak mencemari kemuliaan bulan ramadhan dengan hiburan yang berlandaskan nafsu dan maksiat. Jika kita lihat apa yang berlaku di negara barat, masyarakat di negara tersebut tidak terlalu mengambil berat soal agama, adab, nilai dan budaya. Jadi, adalah sangat tidak patut jika perkara-perkara seperti itu terjadi terhadap dunia Islam, lebih-lebih lagi ketika umat Islam berada dalam bulan ramadhan. 

Islam merupakan agama rasmi di Malaysia. Oleh itu, perbuatan seperti menjemput artis luar negara untuk membuat konsert yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam, lebih-lebih lagi di bulan ramadhan adalah sesuatu yang tidak patut berlaku. Jika kita ada kekuatan, hendaklah mencegahnya dengan kekuasaan supaya perkara-perkara mungkar seperti ini tidak mempengaruhi golongan muda yang juga pewaris kepimpinan negara. 

Hiburan yang melalaikan hendaklah dijauhi jika haram dan melalaikan. Di dalam Al-Quran dan hadith juga telah disebutkan tentang hukum berkaitan hiburan yang haram, dan kita hendaklah bersama-sama menjauhi dan mencegahnya. Firman Allah SWT:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا أُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُهِين

Maksudnya: Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan.

Surah Luqman (6)

Selain itu, sabda Nabi SAW:

لا تَبِيعُوا الْقَيْنَاتِ وَلاَ تَشْتَرُوهُنَّ وَلاَ تُعَلِّمُوهُنَّ وَلاَ خَيْرَ فِي تِجَارَةٍ فِيهِنَّ وَثَمَنُهُنَّ حَرَامٌ ‏‏.‏ فِي مِثْلِ ذَلِكَ أُنْزِلَتْ عَلَيْهِ هَذِهِ الآيَةُ ‏:‏ ‏(‏ومِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ ‏)‏ إِلَى آخِرِ الآيَةِ ‏.‏

Maksudnya: Janganlah kalian menjual penyanyi-penyanyi wanita, atau membeli mereka, atau mengajar mereka menyanyi. Tidak ada kebaikan pada urusniaga melibatkan mereka, dan nilaian harga mereka adalah haram. Dan kerana kes seumpama inilah diturunkan ayat (yang bermaksud): “: Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah”

Sunan Tirmizi (3195)

Berlandaskan ayat Al-Quran dan hadith yang telah disebutkan di atas, telah jelas lagi nyata bahawa hiburan yang haram pasti akan mendapat balasan yang setimpal daripada Allah. Akhir kata, demi menjaga kesucian agama Islam, masyarakat hendaklah sentiasa berusaha menghindari hiburan yang melalaikan dan haram seterusnya berusaha mengangkat martabat Islam ke tahap yang lebih tinggi.

Menarik: KEHEBATAN TEKNOLOGI PERKAPALAN ORANG MELAYU (PROF.EMERITUS DATUK WIRA DR.HJ. MOHD JAMIL BIN MUKMIN)

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker