Perlembagaan Rakyat menggariskan 10 prinsip untuk membantu Tanah Melayu ke arah berkerajaan sendiri tanpa naungan kerajaan British:
- Singapura hendaklah disatukan dengan Malaya.
- Satu kerajaan pusat dan majlis-majlis negeri yang dipilih.
- Raja-raja Melayu akan mempunyai kuasa yang sebenar dan bertanggungjawab kepada rakyat melalui Majlis Mesyuarat.
- Satu perlembagaan baharu bagi Malaya menyediakan keistimewaan tertentu bagi kemajuan orang Melayu dari segi segi politik dan ekonomi.
- Adat istiadat Melayu dan hal ehwal agama Islam dikawal sepenuhnya oleh orang Melayu melalui Majlis Khas.
- Kerakyatan yang serata bagi semua orang yang menganggap Tanah Melayu sebagai tempat tinggal tetap dan sanggup mencurahkan kesetiaannya tanpa berbelah bahagi.
- Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal bagi Malaya.
- Pertahanan dan hal ehwal luar negeri haruslah menjadi tanggungjawba bersama kerajaan Malaya dan kerajaan British.
- Kerakyatan Malaya haruslah dinamakan Melayu.
- Merah putih haruslah dimasukkan sebagai latar belakang bendera kebangsaan Malaya.
Banyak pihak yang beranggapan bahawa Perlembagaan Rakyat merupakan perlembagaan terbaik pada masa itu kerana memberikan manfaat kepada semua pihak. Namun begitu, setelah Perlembagaan tersebut dikemukakan kepada kerajaan Britih, kerajaan British menolak idea tersebut.
Dari sudut kaca mata British, Perlembagaan Rakyat itu merupakan satu cara halus untuk menghalau British dari Tanah Melayu.
Dato’ Onn sendiri berpendapat bahawa kedudukan politik orang Melayu perlu diperkukuh terlebih dahulu sebelum memiliki kerajaan sendiri.
Keadaan ini dilihat oleh segelintir pihak sebagai satu gambaran kerisauan tentang kerajaan British dan golongan elit Melayu akan terjejas.
A.J.Stockwell dalam “British Policy And Malay Politics During The Malayan Union Experiment1942-1948” dan Rustam A. Sani dalam “Robohan Nasionalisme Melayu: Asas Sosial Bagi Terbentuknya Ideologi Perpaduan Nasional” berpendapat bahawa perjuangan menuntut kemerdekaan melalui kerjasama politik yang melibatkan kepelbagaian kaum lebih menyerlah atas usaha golongan haluan kiri.
Pendapat ini didasarkan pada pandangan “mereka yang bukan UMNO lebih memahami prinsip kemerdekaan yang sebenarnya dan lebih mengerti betapa perlunya satu perlembagaan asli yang lahir daripada pandangan semua kaum di Tanah Melayu.
Sumber: thepatriots.asia