Cara sambutan Hari Raya bangsa Melayu mempunyai perbezaan jika dibandingkan banyak bangsa lain.
Apabila tiba pada setiap Hari Raya Aidilfitri Dan Aidiladha, akan ada Takbir Raya sebelum solat sunat.
Adakah anda faham maksud sebenar takbir tersebut?
Maksud Takbir Raya:
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar,
Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan Allah Maha Besar,
Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya layak bagi Allah.
Allah Maha Besar Yang Teramat Besar, Segala Puji bagi Allah Yang Teramat Banyak,
Maha suci Allah pada waktu pagi dan petang,
Tiada Tuhan melainkan Allah, dan Tidak ada lain yang kami sembah melainkan Dia,
Kami ikhlas kepadaNya (mengikuti ajaran agama Islam) sekalipun dibenci oleh orang-orang kafir,
Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Tunggal,
Yang Menepati janjiNya, Yang Menolong hambaNya,
DAN YANG MEMULIAKAN TENTERANYA DALAM MENGALAHKAN TENTERA AL AHZAB DENGAN SENDIRI (KekuasaanNya),
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar,
Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya bagi Allah.
Di dalam takbir ada menyebut ‘Memuliakan tenteraNya dalam mengalahkan tentera al-Ahzab’.
Tidak ramai yang tahu bahawa takbir ini juga dilaungkan semasa tentera laksamana Melayu menentang penjajah semasa perang.
Takbir ini adalah kebiasaan untuk semua laksamana dan pengikutnya dari Perak dahulu semasa sedang menentang penjajah.
Cuma nada takbir dilaungkan dengan keras bukan merdu. Pada hari raya nada merdu dibuat supaya nampak lebih sopan sebab Hari Raya dalam falsafah orang Melayu perlu disambut dengan kegembiraan.
Pernah menjadi persoalan dulu dari beberapa sahabat saya dari tanah Arab bertanya mengapa orang Melayu menyambut Hari Raya dengan takbir perang, bermain meriam?
Ini kerana ia sangat berbeza dengan cara bangsa Arab meraikan Aidilfitri Dan Aidiladha.
Apa yang sebenarnya diamalkan oleh bangsa Melayu dahulu bukan sekadar takbir Hari Raya sahaja yang berunsur perang, tetapi banyak lagi seperti:-
– Perarakan keliling kampung
– Khutbah Hari Raya berkaitan perang zaman nabi, zaman sekarang dan perang hawa nafsu
– Takbir Hari Raya
– Bermain Meriam
– Makanan Perang
– Persembahan Silat
– Mengingati asal usul, sejarah dan menghargai jasa pejuang zaman dahulu dengan mengamalkan semula cara kehidupan zaman dahulu.
Hari Raya itu juga sebenarnya ialah suatu latihan membuat persedian menghadapi perang yang diamalkan setiap tahun.
Dalam Hari Raya itu sendiri sudah diajar supaya belajar mengenai sejarah lampau. Sayangnya untuk zaman sekarang, ramai yang mula mengubah warisan Melayu kerana tidak faham apa yang mereka amalkan.
Cara yang diamalkan dahulu dikampung-kampung juga berbeza dengan zaman sekarang. Zaman sekarang diraikan dengan lebih mudah.
Perarakan Malam Hari Raya pada zaman dahulu dimulakan dengan bunyi kompang Arak-Arakan. Kemudian disambung dengan dengan bunyi Gendang Perang sambil membawa obor dan alat kebesaran Sultan, Raja Melayu, atau orang besar 4 yang mewakili pemerintah setempat.
Mereka yang mengikuti dengan suka rela masuk dalam perarakan tanda menyokong taat setia pada pemerintah setempat.
Obor digunakan untuk mengingati zaman dahulu kerana zaman dahulu tiada lampu kuasa bateri. Obor dinyalakan dengan menggunakan gobek api.
Api juga dianggap keperluan penting apabila dalam kegelapan semasa daurat atau huru-hara. Takbir dilaungkan semasa perarakan tersebut.
Perarakan akan diketuai oleh Penghulu Pawai, Pawai iaitu pemegang alat kebesaran dan kelengkapan istana jika tiada wakil istana yang lain hadir.
Perarakan ini masih ade diamalkan secara serdehana disesetengah kawasan kampung walau ia dianggap telah pupus.
Gendang Perang, Gobek Api, jawatan Pawai, penghulu Pawai juga dianggap telah pupus.
Takbir Hari Raya pada zaman dahulu , selepas habis solat di masjid akan disambung pada setiap rumah tokoh pahlawan, penghulu, jiran-jiran dan orang yang dimuliakan.
Cara ni masih ada diamalkan disesetengah kampung. Takbir Hari Raya juga simbolik berperang dengan hawa nafsu.
Bermain Meriam pada zaman dahulu , selepas habis solat di masjid, permainan meriam buluh akan disambung dikawasan perkampungan.
Cara permainan meriam buluh ketika itu menggunakan peluru. Peluru itu hanya sekadar jenis mainan yang dibuat dari tempurung bulat kering yang diwarnakan atau menggunakan bola buatan.
Dalam permainan ini, setelah meriam diletupkan, peluru yang paling jauh dikira pemenang. Secara tidak langsung melatih pemain meriam berfikir bagaimana membina meriam yang bagus.
Makanan Perang ialah seperti Rendang Tok Bidor / Rendang Tok, Serunding, Dodol, kuh kering dan makanan yang tahan lama boleh dibawa merantau dan susah rosak.
Persembahan Silat juga diadakan selepas habis solat Hari Raya dimasjid. Persembahan dijadikan sebagai permainan supaya disambut dengan gembira.
Persembahan seni perang ini juga mempunyai persamaan dengan orang Sudan zaman dahulu dihadapan nabi Muhammad S.A.W.
Kesimpulannya, Nabi tidak pernah melarang bermain senjata atau persembahan berkaitan dengan kekuatan perang malah menyuruh untuk teruskan.
Sumber lisan dari Arif Di Tanjung, Cik Puan Mardiah [Embin] (keturunan laksamana-laksamana Perak), Wan Zaharah, orang-orang kampung Taiping Perak .
Ditulis, diterangkan, disusun dan disaring maklumat oleh:
DR. DR.H.C JOHAN ISKANDAR BIN ABDUL KARIM
(Alam Melayu) Johan Iskandar
Dipetik dari Facebook Page: Persatuan Penggiat Seni Alam Melayu – Pernilam