Agama

Hanya Kedah, Pahang, Selangor, Kelantan & N. Sembilan Perjelas Kedudukan ASWJ

Islam adalah agama Persekutuan bagi Malaysia berteraskan Perlembagaan Persekutuan Perkara 3 (1) yang tidak boleh disangkal lagi.

Namun demikian, disebabkan tiada pakar agama terlibat dalam perbincangan Perkara 3 (1) itu, masalah wujud kerana ada ruang lompong.

Ruang lompong itu mula dikuasai musuh-musuh Islam dengan membawa masuk fahaman yang jelas bertentangan dengan manhaj ahlus sunnah wal jamaah (ASWJ).

Sepatutnya dalam Perlembagaan Persekutuan kita, harus tertulis ‘Islam adalah agama rasmi Persekutuan bermanhajkan ahlus sunnah wal jamaah dengan manhaj serta kaedah salaf dan khalaf (Asya’irah dan Maturidiyyah)’.

Bayangkan jika ini yang tertulis dalam buku manual kenegaraan, sudah pasti rakyat Malaysia secara amnya lebih jelas dan kenal bagaimana ajaran Islam yang diikuti.

Disebabkan ruang lompong itu wujud, fahaman seperti syiah, wahabi dan lain-lain termasuk 73 jalan menyesatkan tidak terlepas untuk bertebaran dalam Malaysia.

Mujur ada beberapa negeri bertegas dengan hal ini dan tidak mahu umat Islam di negeri masing-masing terpesong biar pun membawa nama Islam.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi & Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Abdullah Jalil, hanya terdapat lima negeri yang menegaskan soal ASWJ.

“Antara negeri tersebut adalah Kedah, Pahang, Selangor, Kelantan dan Negeri Sembilan dan ia tercatat dalam beberapa dokumen yang penting.

“Dokumen tersebut merangkumi undang-undang tubuh negeri, fatwa-fatwa negeri dan muzakarah jawatankuasa fatwa kebangsaan bagi setiap negeri,” katanya.

Abdullah berkata demikian dalam program Perbincangan Rakyat Demi Malaiu menerusi tajuk ‘Kepimpinan Melayu Dan Institusi Raja-Raja’.

Merujuk Perkara 33 (a), Kedah mengungkapkan perkataan ASWJ dalam undang-undang tubuh negeri Kedah iaitu agama negeri ini adalah agama Islam ASWJ.

“Di Pahang dan Selangor pula, kedua-dua negeri itu menggunakan perkataan ‘dianuti dan diamalkan’.
“Perkataan itu digunakan merujuk kepada penafsiran Islam sekali gus menunjukkan undang-undang tubuh kedua-dua negeri itu berpegang kepada ASWJ,” kata Abdullah.

Mengulas lanjut tentang Islam ASWJ, Abdullah berkongsi perincian yang dibawa oleh Kelantan serta Negeri Sembilan.
“Negeri Kelantan menyebut dengan jelas ‘negeri ini’ mengikut mazhab Abu Hassan al-Asya’ari dan Abu Mansur al-Mathuridi.

“Manakala fatwa Negeri Sembilan (2016) menyebut dengan jelas menyatakan bahawa penafsiran Islam itu perlu merujuk kepada mazhab fekah dan syariah berdasarkan kepada mazhab Syafiee dan meraikan mazhab Hanbali, Hanafi dan Maliki,” katanya.

Tambahnya lagi, dari sudut mazhab tasawuf pula, Negeri Sembilan mengangkat manhaj ulama sufi yang berwibawa iaitu muktabar seperti Imam al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.

Disebabkan lima negeri ini sudah menjadi contoh yang jelas mengangkat ASWJ secara terperinci, tidak salah kalau wujudnya beberapa penggubalan undang-undang yang menekankan ASWJ pada peringkat persekutuan menerusi Perlembagaan Persekutuan.

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker