Isu Semasa

Hanya Bersatu, PKR, PAS & DAP Miliki Lebih 10 Perkara Dalam Perlembagaan Parti!

8 per 10 rakyat Malaysia hari ini tidak pernah membaca matlamat parti politik yang ada di Malaysia untuk dibuat penilaian sebelum turun mengundi baik untuk pilihan raya negeri (PRN) atau pilihan raya umum (PRU).

Masing-masing lebih gemar mengambil sikap memilih calon yang seperti tampak berkaliber atau lebih gemar mengundi sesiapa sahaja tanpa penilaian awal asalkan boleh mengikuti trend semasa.

Sebenarnya.. untuk membina negara yang baik ini, ia bermula daripada DUN serta Parlimen dan kemudiannya membawa kepada Dewan Negara sebelum ia diterjemahkan kepada rakyat.

Bayangkan separuh daripada 32.7 juta rakyat Malaysia ini jenis rajin buat bacaan dan kajian sebelum lacurkan jari untuk mengundi calon daripada parti yang rosak, sudah tentu Malaysia mampu jadi negara luar biasa.

Dalam erti kata lain, bagaimana hendak mengukur apakah sesebuah parti itu bagus atau sebaliknya untuk negara? Gunakan prinsip rukun negara sebagai asas penilaian:

• Kepercayaan Kepada Tuhan
• Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
• Keluhuran Perlembagaan
• Kedaulatan Undang-undang
• Kesopanan dan Kesusilaan

Daripada prinsip rukun negara ini, buatlah rujukan silang dengan matlamat atau dasar penubuhan sesebuah parti yang sering meletakkan calon sama ada dalam PRN atau PRU.

InsyaAllah dengan merajinkan diri, kita bukan sahaja menjadi pengundi yang berilmu malah jika memilih nanti pun, kita tahu bahawa kita sudah melaksanakan tanggungjawab dengan akal yang waras.

Maka dengan itu, ayuh kita sama-sama semak asas, tujuan atau matlamat penubuhan beberapa parti politik yang popular di Malaysia. Apakah mereka mengikut prinsip rukun negara atau menentangnya?

A) UMNO

FASAL 3 ASAS DAN TUJUAN

UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Agama Islam, Kebangsaan Melayu, Bumiputera, Anak Negeri Sabah dan Orang Asli serta perpaduan Malaysia demi kemakmuran dan kestabilan Negara.

3.1 Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai Agama Persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

3.2 Mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan Negara.

3.3 Mendukung asas-asas Perlembagaan Persekutuan selagi mana ia membela Kepentingan Raja-raja Melayu, Bangsa Melayu, Bumiputera, Anak Negeri Sabah dan Orang Asli serta lain-lain perkara sebagaimana yang termaktub di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Prinsip Kontrak Sosial dan UndangUndang Tubuh Negeri-Negeri di Malaysia.

3.4 Membela nasib rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum.

3.5 Mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial dengan mengamalkan Sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta memajukan ekonomi bangsa Melayu, Bumiputera, Anak Negeri Sabah dan Orang Asli khasnya serta rakyat Malaysia amnya.

3.6 Menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai Bahasa Rasmi Negara yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu.

3.7 Mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan rakyat Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan prinsip-prinsip hak Asasi Manusia dan Hak Keistimewaan Orang-Orang Melayu, Bumiputera, Anak Negeri Sabah dan Orang Asli.

B) Bersatu

FASAL 6 TUJUAN DAN MATLAMAT

Tujuan dan matlamat parti adalah seperti berikut:

6.1 Mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

6.2 Menegakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan menghormati hak orang bukan
Islam untuk menganut dan mengamalkan agama masingmasing secara aman dan harmoni.

6.3 Menjunjung kemuliaan dan kedaulatan institusi Raja Berperlembagaan.

6.4 Mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan hakhak dalam Perlembagaan Persekutuan yang sah untuk semua kaum.

6.5 Memperkasa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan memelihara hak semua kaum untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing.

6.6 Menegakkan sistem demokrasi berparlimen dan doktrin pemisahan kuasa dengan memperkukuhkan institusi demokrasi menerusi reformasi institusi yang menyeluruh.

6.7 Memperkasa agenda memerangi rasuah dan salah guna kuasa untuk mewujudkan amalan tadbir urus
yang baik dan pemerintahan yang bersih, beramanah dan berintegriti.

6.8 Memelihara hak-hak asasi rakyat sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,
menjunjung nilai-nilai keadilan sejagat yang selari dengan agama Islam, serta menjunjung keluhuran
perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta prinsip keadilan dan kesaksamaan.

6.9 Membentuk masyarakat Malaysia yang inklusif, progresif, dinamik dan saintifik serta menghargai seni, budaya dan tradisi sebagai acuan membina sebuah negara maju yang sejahtera.

6.10 Memperjuangkan keadilan sosial, mengagih kekayaan negara secara adil dan saksama, membela kebajikan rakyat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan agama.

6.11 Mendokong prinsip bahawa setiap rakyat berhak untuk berjaya dengan memperolehi pendidikan
yang berkualiti dan sempurna menerusi satu sistem pendidikan yang mementingkan pengembangan bakat, kreativiti, inovasi dan amalan nilai-nilai murni serta melaksanakan dasar dan inisiatif yang konsisten untuk
merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.

6.12 Memupuk perpaduan dan keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum dan agama, memelihara kestabilan politik dan keselamatan negara, dan memacu pembangunan ekonomi yang mapan demi kepentingan rakyat dan negara.

6.13 Mengamalkan prinsip-prinsip Rukunegara serta mendukung Perlembagaan Persekutuan dan
Perlembagaan Negeri-Negeri.

6.14 Menyertai pilihan raya umum Persekutuan dan Negeri serta pilihan raya kecil dengan tujuan
untuk menghantar wakil parti ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri bagi membentuk kerajaan Persekutuan dan Negeri.

C) PAS

BAB YANG KETIGA

TUJUAN, USAHA, HUKUM DAN KEKUASAAN

FASAL 5. Tujuan PAS ialah:

(1) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

(2) Mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

FASAL 6. Usaha-usaha

(1) Menyeru umat manusia kepada Syari’at Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.

(2) Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syari’at serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keIslaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran,ekonomi dan sosial serta pelajaran dan
pendidikan.

(3) Memupuk dan memperkuatkan ukhuwah Islamiyah dan menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.

(4) Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memahami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup Islam.

(5) Menyediakan rencana-rencana dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik, keadilan ekonomi dan negara, untuk membela kepentingan umat Islam dan rakyat seluruhnya.

(6) Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bilamana dan selama ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah
dengan undang-undang negara.

(7) Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal dalam amalannya di samping berusaha mengembangkan bahasa al-Quran.

(8) Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam.

(9) Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini.

(10) Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain yang sah
bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi manusia serta menghapuskan
segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat
manusia.

(11) Melakukan apa-apa jua usaha dan tindakan dalam batas-batas Perlembagaan dan Undang-
Undang negara bagi mencapai semua tujuan-tujuan PAS ke dalam dan ke luar.

FASAL 7. Hukum dan Kekuasaan

(1) Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMAK „ULAMAK dan QIAS yang terang dan nyata, dengan tertakluk kepada hukum yang tertinggi itu, kekuasaan PAS adalah dipegang oleh Muktamar Tahunan.

(2) Dengan tertakluk kepada hukum-hukum dalam ceraian (1) itu segala gerakan dan pentadbiran PAS adalah dijalankan di bawah perintah dan kekuasaan Muktamar, akan tetapi Muktamar itu sendiri tertakluk di bawah syarat-syarat yang terkandung dalam Perlembagaan PAS dan aturan peraturan Muktamar atau Mesyuarat
Agung PAS.

D) PKR

BAHAGIAN II

FASAL 5 : TUJUAN DAN MATLAMAT PERJUANGAN

5.1. Mewujudkan masyarakat adil dan negara demokratik yang progresif serta bersatu.

5.2. Menghormati sistem Raja Berperlembagaan, memperkukuh Demokrasi Berparlimen, dan mendukung hak serta kuasa rakyat, dan berusaha untuk memantapkan sistem politik negara yang sesuai dengan kehendak serta kepentingan rakyat.

5.3. Menegakkan kedaulatan undang-undang yang adil, media massa serta kehakiman yang bebas, dan pasukan keselamatan yang mendukung prinsip-prinsip profesionalisme.

5.4. Menjamin kebebasan berfikir, bersuara, bergerak, berhimpun dan berpersatuan kepada semua.

5.5. Menghayati Islam sebagai agama Persekutuan sambil memastikan bahawa hak masyarakat bukan Islam mengamalkan agama atau kepercayaan masing-masing terus terjamin dan menggalakkan peranan agama serta nilai-nilai sejagat untuk menegakkan kebenaran, keadilan, ketinggian akhlak, pembangunan insan dan martabat manusia.

5.6. Mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, disamping menjamin hak rakyat mengguna, mempelajari dan mendapat pendidikan dalam bahasa-bahasa lain; dan menggalak perkembangan kebudayaan serta kesenian Malaysia, berasaskan unsur-unsur unggul daripada semua warisan peradaban yang wujud di negara ini.

5.7. Mengukuhkan sistem pemerintahan Persekutuan yang adil, bertanggungjawab serta demokratik dalam mengimbangi kepentingan negeri-negeri dengan kekuasaan kerajaan Pusat.

5.8. Menjunjung setia semangat kerjasama dan perkongsian kuasa secara adil di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia dengan memperkasakan kedudukan politik dan ekonomi yang saksama
mengikut kerangka Perjanjian Malaysia tahun 1963.

5.9. Mempertingkatkan kemuliaan insan, nilai keehsanan serta budaya ikram, menegakkan hak asasi manusia, dan berpegang teguh kepada prinsip intergriti dan akauntabiliti dalam bidang ekonomi, politik dan pentadbiran.

5.10. Melaksanakan ekonomi yang adil serta dinamik, yang mengutamakan pertumbuhan serta pengagihan yang adil, dan bebas daripada penindasan, kecurangan serta pembaziran, disamping mengatasi kemiskinan dan mencegah penumpuan kekayaan.

5.11. Berasaskan prinsip keadilan, mempastikan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak digunakan khusus untuk menaikkan taraf sosio-ekonomi mereka yang miskin dan terbiar, serta
pembelaan yang adil bagi golongan bukan Melayu dan bukan Bumiputra yang miskin dan terbiar, demi mencapai kesaksamaan untuk perpaduan nasional.

5.12. Menyediakan kemudahan pendidikan, kesihatan, perumahan, pengangkutan awam yang bermutu dengan bayaran yang berpatutan sebagai tanggungjawab sosial pemerintah, terutama sekali bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

5.13. Memperjuangkan serta menjamin hak bekerja, upahan yang adil, keselamatan di tempat kerja dan mutu kehidupan yang baik untuk setiap orang.

5.14. Mengiktiraf martabat dan peranan wanita sebagai tonggak dan penggerak masyarakat, menghayati falsafah hormat wanita, memastikan wanita bebas daripada diskriminasi dan eksploitasi, mengupayakan wanita untuk mencapai kesaksamaan dalam kepimpinan dan membuat keputusan dengan sekurang-kurangnya penglibatan tiga puluh peratus, demi memastikan hak serta kepentingan mereka terpelihara.

5.15. Memperjuangkan hak dan pengembangan potensi belia dan remaja serta menjamin peranan yang bermakna bagi mereka dalam semua bidang kehidupan.

5.16. Meningkatkan mutu hidup Orang Asal di samping menghormati Adat mereka, menyediakan rancangan pembangunan yang sesuai setelah berunding dengan mereka, dan melindungi hak mereka ke atas Tanah
Adat.

5.17. Melindungi alam semulajadi daripada pemusnahan; mencegah perosakan serta meningkatkan mutu alam sekitar dan memastikan pembangunan yang mapan.

5.18. Menegakkan sistem antarabangsa baru yang adil serta demokratik, melaksanakan dasar luar yang bebas serta beretika, menyediakan persekitaran yang sesuai untuk melahirkan masyarakat berilmu yang dapat menghadapi cabaran globalisasi yang mengancam kepentingan negara, rakyat dan manusia sejagat dan seterusnya melindungi ekonomi, politik serta keselamatan negara daripada kuasa-kuasa besar dunia.

E) DAP

FASAL II MATLAMAT-MATLAMAT

Mukadimah: Perlembagaan Merdeka merupakan satu dokumen sekular yang mendukung prinsip-prinsip demokrasi, kebebasan, kedaulatan undang-undang, dan penghormatan kepada hak-hak asasi manusia serta merangkumi ideal-ideal kebertanggungjawaban, kesaksamaan, keadilan dan pemeliharaan martabat manusia. Prinsip-prinsip tersebut boleh memacu daya perpaduan dan penyatuan dalam masyarakat majmuk dari segi kepelbagaian kaum, agama dan budaya di tanahair kita dan juga di antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Berpandukan ideal-ideal tersebut, rakyat Malaysia boleh mengorak langkah ke arah pembangunan demokrasi dan ekonomi yang seiring; kebebasan tanpa penindasan; kesaksamaan peluang diutamakan berbanding kesaksamaan hasil; kedaulatan undangundang demi keadilan sosial; penjanaan kekayaan diiringi pengagihan secara saksama serta kemakmuran ekonomi tanpa gejala rasuah.

Matlamat-matlamat:

1. Menubuhkan konsep demokrasi yang berlandaskan nilai demokrasi sosial di Malaysia menerusi perjuangan sistem parlimen berperlembagaan;

2. Mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal, iaitu sebagai sistem undang-undang tertinggi negara yang menghormati nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia dengan memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia;

3. Memupuk integrasi kebangsaan dengan Sabah dan Sarawak, mengiktiraf hakhak istimewa kedua-dua negeri tersebut serta memupuk semangat kebangsaan dan perpaduan di antara semua kaum bagi melahirkan identiti bersama rakyat Malaysia yang bersatupadu;

4. Mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi yang merangkumi kebebasan pelbagai agama daripada diancam oleh undang-undang yang bersifat menindas dan akta-akta yang berunsur diskriminasi;

5. Mempertahankan dan menjunjung kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan menjamin kewajipan dan hak untuk mempertingkatkan status, memperkembangkan, mempelajari dan menggunakan bahasa-bahasa ibunda yang lain, termasuk Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asal;

6. Menjadikan integriti, etika, keprihatinan sebagai nilai-nilai moral yang utama bagi mewujudkan ketelusan dan sebagai pendekatan yang liberal, saling menghormati dan pemahaman di antara tradisi kebudayaan dan kepercayaan agama yang berbeza;

7. Memperkembangkan, mempertahankan dan melindungi kedaulatan dan integriti Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka;

8. Menjadikan ASEAN sebagai komuniti yang berlandaskan pemerintahan baik, demokrasi dan menghormati hak asasi manusia dan juga sebagai rantau yang bebas daripada nuklear, serta aman, bebas dan berkecuali;

9. Memupuk, memperkembangkan serta memperluaskan demokrasi pada semua peringkat, terutamanya memulihkan pilihan raya tempatan, memperkasakan kuasa rakyat dari segi bentuk dan isi kandungannya dan mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan berlandaskan prinsip-prinsip kesaksamaan, kebebasan, keadilan dan proses pilihan raya yang bebas dan juga kebebasan akhbar;

10. Memberi peluang yang saksama dan mengagihkan kekayaan ekonomi kepada semua rakyat berdasarkan penciptaan nilai-nilai dalam pasaran yang bersaing dan tata ekonomi yang menegaskan penciptaan kekayaan dan pengagihan kekayaan yang saksama;

11. Berjanji untuk mempertingkatkan taraf pendidikan berdasarkan hanya kepada merit dan keperluan, serta memberikan akses penuh dan peluang yang sama kepada pendidikan peringkat awal, peringkat menengah dan peringkat tinggi, terutamanya sektor-sektor teknologi maklumat yang mengutamakan ilmu;

12. Melindungi hak-hak pekerja dan kesatuan sekerja di bawah kerangka hak untuk bekerja, pembayaran gaji yang adil dan berpatutan kepada pekerja dan mempertahankan gaji sebenar mereka demi menjamin kesejahteraan hidup dan taraf kehidupan yang berpatutan kepada semua;

13. Menghapuskan segala bentuk diskriminasi jantina terhadap wanita dalam bidang perkerjaan, pendidikan dan kesihatan;

14. Memperkasakan remaja dengan memberikan mereka pilihan dan peluang untuk berkuasa sementara mempertingkatkan kesedaran mereka terhadap kewajipan dan tanggungjawab;

15. Menegakkan keadilan dan menjaga keamanan semua rakyat dengan menghormati kedaulatan undang-undang, mewujudkan serta menjamin penjiranan dan komuniti yang selamat dan terjamin;

16. Menginstitusikan akauntabiliti dan ketelusan yang bertujuan memerangi rasuah dan penyelewengan dalam pengurusan kewangan, dan juga mewujudkan nilai nilai integriti dan amanah dalam pentadbiran kerajaan;

17. Mewujudkan perkhidmatan kesihatan awam yang mampu dibiayai oleh semua, mudah dinikmati dan bertanggungjawab yang menjamin keperluan golongan yang sakit, kurang berupaya dan berusia; dan

18. Menghalang kemerosotan dan pemusnahan alam sekitar demi memelihara pusaka warisan semula jadi yang bersih, sihat dan selamat.

Jadi apabila bercakap dengan fakta, matlamat parti manakah anda rasa jelas menjunjung prinsip rukun negara dalam membina semula tamadun yang unggul menuju Allah SWT dengan teras:

• Kepercayaan Kepada Tuhan
• Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
• Keluhuran Perlembagaan
• Kedaulatan Undang-undang
• Kesopanan dan Kesusilaan

Tinggalkan komen anda dan kongsikan artikel ini sekiranya anda berpendapat, ia semakin membuka mata anda tentang kewujudan matlamat parti yang tak pernah orang awam.

MISI CAPAI 100,000 LIKE SEBELUM 31 DISEMBER 2022

[wpdevart_like_box profile_id=”100109992115173″ stream=”hide” connections=”show” width=”320″ height=”130″ header=”medium” cover_photo=”show” locale=”en_US”]

Anda memiliki tulisan mengenai Melayu yang ingin dikongsikan? Hantar di sini.

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok Demi Malaiu. Sertai Telegram kami DI SINI untuk kandungan yang menarik dan membangkitkan jati diri bangsa!

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker