TERDAPAT sebilangan manusia istimewa yang memiliki kebolehan luar biasa diceritakan menerusi pelbagai kisah pelik dan `mencarik adat’ dalam warisan masyarakat negara ini sejak puluhan tahun lalu.
Mengikut cerita tersebar dalam masyarakat, tokoh berkenaan dikurniakan kemampuan tidak dimiliki manusia biasa antaranya mampu berjalan atas air, berada di beberapa tempat dalam suatu masa, bergerak ke lokasi jauh dalam masa singkat dan pelbagai lagi.
Antara tokoh terbabit ialah Ulama Besar Terengganu abad ke-19 iaitu Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus atau Tokku Paloh yang terkenal kerana tinggi ilmu agamanya selain ditakuti penjajah British pada waktu itu.
Dalam kisah terkenal membabitkan tokoh itu, diceritakan ketika British mahu bertapak di Terengganu, mereka menemui Tokku Paloh menyatakan hasrat mengambil Bukit Besar sebagai markas mereka.
Tokku Paloh mengatakan British boleh “mengambil” Bukit Besar dengan syarat bukit itu dimuatkan dalam kapal dan dibawa pulang ke negara mereka.
Sindiran Tokku Paloh menyebabkan pegawai British itu sakit hati dan cuba menunjukkan kemarahan dengan bangun. Akan tetapi, secara tiba-tiba kerusi diduduki penjajah melekat di punggung mereka.
Mencemaskan British
Lalu ulama besar itu menyindir: “Bukan Bukit Besar saja yang kamu mahu ambil, tapi kerusi saya pun kamu mahu ambil juga?”
Selepas peristiwa itu, British menjemput Tokku Paloh ke atas kapal perang untuk rundingan kedua. Tindakan bertujuan mengugut ulama itu secara psikologi kononnya British memiliki angkatan perang hebat dan mampu menyerang Terengganu jika dihalang menduduki negeri itu.
Bagaimanapun, apabila Tokku Paloh naik ke kapal dan setiap kali menyengetkan serbannya, maka kapal besar itu turut senget. Keadaan itu mencemaskan British sehingga membatalkan rundingan serta-merta.
Selain Tokku Paloh, ulama terkenal Kelantan abad ke-19 iaitu Tok Kenali atau nama sebenarnya, Muhammad Yusof, turut diceritakan memiliki kebolehan luar biasa.
Antaranya Tok Kenali diceritakan memiliki mulut `masin’ iaitu perkara diucapkannya menjadi kenyataan dengan izin Allah SAW selain firasat sehingga dapat menganggarkan dengan tepat peristiwa bakal berlaku pada masa akan datang.
Dalam buku 7 Wali Melayu, diceritakan Tok Kenali pernah berkata “Jepun akan menjajah Tanah Melayu” dan lapan tahun selepas kematian beliau, ternyata firasatnya itu menjadi kenyataan.
Kekuatan luar biasa
Dalam beberapa peristiwa, murid ulama itu mendapati beliau menyeberangi sungai tanpa melalui jambatan atau perahu selain dapat sampai ke suatu lokasi dengan pantas walaupun berjalan kaki.
Terdapat juga peristiwa pelik dan luar biasa berlaku kepada pejuang kemerdekaan negara seperti Mat Salleh, Mat Kilau, Panglima Salleh dan ramai lagi yang diceritakan memiliki kekuatan luar biasa ketika berperang.
Ada pahlawan Melayu dahulu kala dikatakan memiliki ilmu kebal, halimunan dan pembisa serangan yang kini diperturunkan menerusi amalan kebatinan persilatan.
Pejuang menentang komunis di Johor, Salleh Abdul Karim diceritakan memiliki kebolehan luar biasa antaranya mampu menyelinap masuk dalam rumah menerusi celah lubang kecil, malah boleh menghaibkan diri.
Kehebatan ilmu batin Panglima Salleh juga menyebabkan berlaku kejadian aneh antaranya komunis melihat tubuh pahlawan itu bagai gergasi sehingga mereka gerun dan melarikan diri.
Kejadian benar
Kebolehan luar biasa dimiliki manusia tertentu bukanlah cerita dongeng dan tahyul kerana ia benar-benar berlaku dalam masyarakat sejak berkurun lalu.
Bagaimanapun, dalam menilai hakikat misteri ini, pastinya umat Islam harus meyakini semua kejadian dan kebolehan itu berlaku dengan izin Allah SWT atas asbab kurniaan-Nya kepada manusia.
Ulama membahagikan kebolehan luar biasa diperoleh seseorang kepada lima iaitu mukjizat, keramat, maunah, sihir dan istidraj.
Mukjizat hanya dikurniakan Allah kepada Nabi dan Rasul untuk meyakinkan manusia bahawa agama dan ajaran dibawa bukan ciptaan tetapi berasal daripada Tuhan Yang Maha Berkuasa.
Antara mukjizat yang masyhur ialah tongkat Nabi Musa mampu menjadi ular besar serta membelah lautan, jasad Nabi Ibrahim tidak terbakar dalam api marak, tangan Nabi Daud mampu membentuk besi selain Nabi Muhammad SAW dapat membelah bulan.
Selain mukjizat, keramat juga keistimewaan luar biasa dikurniakan kepada manusia tetapi keramat diberikan Allah kepada hamba-Nya yang soleh. Keramat banyak diriwayatkan berlaku kepada ulama dan wali Allah.
Pertolongan Allah
Maunah pula berupa perkara luar biasa dikurniakan Allah kepada manusia sebagai pertolongan terhadap individu terbabit dalam perkara tertentu seperti ketika menempuh bahaya atau berhadapan kesukaran hidup.
Kebiasaannya maunah diperoleh orang yang selalu taat kepada Allah dan pertolongan itu diperoleh secara tidak disangka-sangka.
Terdapat juga kebolehan luar biasa dimiliki manusia yang dianggap jahat dan kemampuan itu diperoleh menerusi sihir iaitu amalan ilmu hitam membabitkan bantuan jin.
Sihir amat berdosa dan dilarang Islam kerana jin dan syaitan memberi kemampuan luar biasa itu dengan tujuan menyesatkan manusia.
Selain sihir, istidraj pula kurniaan Allah kepada manusia kufur dan ingkar supaya mereka terus kufur sehingga tidak lagi dapat diselamatkan daripada azab neraka.
Kredit: Berita Harian