Nama Ustaz Ebit Liew terus menjadi perbualan hangat dalam kalangan netizen apabila pendakwah terkenal itu kononnya ‘terbabas’ dan dikatakan kantoi melakukan perbuatan tidak bermoral.
Pendakwah bebas, Firdaus Wong pula dipersoalkan mengapa bersungguh-sungguh mahu dedahkan perbuatan tersebut yang dianggap secara peribadi dan mangsa dilihat seperti melayan.
Ini belum lagi masuk kisah Ustaz Facebook yang memaksa isterinya, seorang ustazah sebenar menulis untuknya dan mendakwa semua tulisan keagamaan itu adalah milik penulisannya tersendiri.
Apatah lagi Ustaz Madi yang digambarkan menerusi drama Nur membuatkan masyarakat terpaksa bersetuju wujudnya manusia yang bertopeng agama, menunggangnya demi kepentingan peribadi.
Dalam erti kata lain, mula-mula semuanya nampak manis namun apabila sudah lama mengenali dan berjaya menghidu wujudnya amalan kesyaitanan, belang sebenar manusia bertopeng itu terbongkar.
Menyusuri segala permasalahan ini adalah masyrakat sebenarnya memang mencari pembimbing dalam kehidupan untuk menuju ke arah yang lebih baik namun risau terjumpa dengan orang yang salah.
Golongan yang disebutkan di atas berada di merata-rata tempat dan cukup popular sehingga dijadikan rujukan awal tanpa sebarang penelitian. Asal nampak elok sahaja, terus percaya.
Sedangkan pada hakikatnya seorang guru yang diperlukan oleh bangsa manusia dan umat Islam khususnya adalah golongan mursyid yang menerima perikatan terus daripada Rasulullah SAW.
Namun apa yang difahami dan ditafsir masyarakat umum, golongan mursyid ini adalah abid, iaitu golongan yang sentiasa beribadah dan tidak mempedulikan hal ehwal masyarakat.
Berbeza dengan suatu masa dahulu ketika Islam mula berkembang di Tanah Melayu, yang punyai murysid ini bukan hanya rakyat jelata malah raja-raja Melayu kita juga tidak ketingggalan.
Oleh sebab itulah mengapa pemerintahan Islam di Tanah Melayu ini pada suatu masa dahulu cukup dihormati namun ia semakin pudar selepas diracun pemahaman sekularisme, liberalisme dan sebagainya sehingga kini.
Apabila bercakap tentang di mana mahu mencari mursyid dalam zaman ini, siapakah mereka atau di manakah mereka berada, tiada sesiapa pun yang punyai jawapannya.
Jika ada pun secara kebetulan dengan izin Allah dan tetap hanya diketahui oleh golongan minoriti padahal pendekatan cara hidup Islam adalah sesuatu yang besar dan penting.
Kesannya masyarakat yang sedang mengalami jiwa kosong, tercari-cari arah hidup akan berdepan dengan kehanyutan yang tiada tempat untuk berpaut, maka habiskan masa dalam media sosial.
Dalam media sosial ini, terjumpa pula dengan ceramah-ceramah secara virtual dan hatinya terus terpaut untuk mengikuti tanpa mengetahui ‘belang’ sebenar seseorang yang ditemui itu.
Maka dengan ini, kerosakan akan terus berlaku dan penyelesaian tetap tidak akan ada selagi golongan mursyid yang sepatutnya menjadi rujukan bangsa manusia dan umat Islam ini tampil.
Mungkin untuk mengatasi permasalahan ini, perlu ada satu rumah, pejabat atau ruang yang membolehkan orang mencari dan berjumpa terus dengan para mursyid yang diiktiraf.
Ibarat kata kalau sakit pergi klinik dan berjumpa doktor, kalau ada masalah lokaliti pergi ke pejabat ADUN dan berjumpa ahli politik dan masalah dadah pergi ke rumah Pengasih dan berjumpalah dengan perawatnya.
Namun bagaimana dengan umat Islam yang mengalami masalah hati, hilang arah tujuan dan mahu kehidupan yang lebih baik? Takkan mahu disuruh sahaja duduk di masjid dan berdoa?
Jika diizin Allah, cepatlah proses pengubatan hati itu berlaku namun jika caranya tidak kena, bukankah perlunya ada orang yang ditemui iaitu golongan mursyid ini?
Wuallahualam dan semoga perancangan bangsa manusia dan umat Islam khususnya untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT sekali gus mengukuhkan jati diri dan rohani dipermudahkan. Amin!