Isu Semasa

Generasi muda lebih mudah menghafal lirik lagu berbanding ayat Al-Quran?

Tahukah anda otak bayi mengandungi 100 bilion neuron ketika dilahirkan? Otak bayi tersebut akan berkembang dalam tahun pertama kehidupannya dengan menyambungkan trilion sel otak yang dikenali sinapsis saraf. Dikatakan juga ketika anak-anak berumur 0-5 tahun, otak mereka aktif berkembang membina hubungan antara satu sama lain.

Jadi tak hairanlah kalau kanak-kanak cepat tangkap apa saja yang mereka dengar dan lihat. Begitu juga buat para remaja yang lebih mudah menghafal lagu-lagu walaupun ada di antaranya bukan dalam bahasa ibunda mereka seperti bahasa Korea dan Jepun.

Jadi, mengapa mereka lebih senang menghafal lagu sebegini berbanding menghafal ayat-ayat Al-Quran Nur Karim? Adakah ini terjadi kerana kurangnya pendedahan kepada Al-Quran dari kecil lagi?

Dahulu jika ada yang masih ingat, kumpulan nasyid seperti Raihan, Rabbani, Saujana, dan sebagainya banyak menghasilkan lagu Islamik seperti lagu dalam berbentuk doa dan ayat-ayat Al-Quran. Lagu-lagu tersebut menjadi kegemaran kanak-kanak dan juga orang dewasa. Sampai sekarang ramai yang masih hafal lagunya seperti Asmaul Husna, Doa Taubat, Selawat, zikir-zikir harian dan banyak lagi.

Sebagai contoh, lagu ‘Demi Masa’ dendangan kumpulan Raihan. Pada rangkap pertama lagu tersebut di ambil dari terjemahan surah Al-Asr, surah ke 103 dalam Al-Quran. Lirik kemudian pula datang dari hadis Rasulullah yang berpesan kepada umatnya. Secara tak langsung, apabila kita membaca surah Al-Asr, kita faham dengan makna surah tersebut dengan bantuan lagu Demi Masa.

Boleh jadi apabila ada bantuan ritma dan rentak, anak-anak dan remaja lebih mudah mengingat dan menghafal. Usaha seperti ini nampaknya membuahkan hasil kerana lagu-lagu tersebut mudah dihafal serta mendekatkan orang ramai terutama generasi muda untuk jatuh cinta pada Al-Quran.

Untuk membuat anak-anak cintakan Al-Quran, para ibu bapa boleh mula dari anak itu dalam kandungan lagi. Mengikut kajian, bayi dapat mendengar bunyi seawal 16-18 minggu dalam rahim. Kemudian pada minggu ke 24, pendengaran bayi mula berkembang dan dapat beri respon kepada bunyi yang didengarinya seperti suara ibu, bahasa ibunda, dan sebagainya.

Oleh itu, ketika si ibu hamil, mereka sudah boleh mula memperdengarkan bacaan Al-Quran buat si kecil. Antara surah-surah yang dianjurkan adalah surah Al-Fatihah buat penerang hati, Surah Maryam buat memudahkan ketika bersalin, Surah Yusuf untuk anak dilahirkan cantik rupa serta akhlaknya, dan pelbagai lagi. Namun ini adalah sekadar saranan dan para ibu bapa boleh saja untuk membaca apa-apa surah dalam Al-Quran kerana kitab Al-Quran merupakan salah satu mukjizat Nabi Muhammad S.A.W.

Kemudian apabila anak itu sudah besar, ibu bapa boleh memberi mereka menonton lagu serta video berunsur Islamik. Saluran di Youtube seperti Omar dan Hana mengajak penontonnya untuk menghafal doa serta ayat-ayat lazim. Jika dilihatkan, kebanyakan video mereka mendapat tontonan berjuta ‘views’ dari pengguna serata dunia. Alhamdulillah, ini tandanya ramai ibu bapa sudah mula mengambil inisiatif untuk menjadikan anak-anak mereka celik agama dan Al-Quran.

Pokok pangkalnya, semuanya bermula dari rumah sendiri. Otak anak-anak ini seperti span yang mudah menyerap apa yang dihidangkan pada mereka. Jika ibu bapa dan seisi rumah mengamalkan, pasti anak-anak akan ikut juga. Semoga kita semua dapat mewujudkan keluarga Sakinah, Mawaddah dan Warahmah.

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker