Melentur buluh biar dari rebungnya. Namun jika rebung itu ‘membesar’ dengan ‘tanah yang buruk’, macam mana pula? Sama seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Mana mungkin si anak ketam itu boleh berjalan lurus jika si penunjuk ajarnya itu pun jalan tak betul?
Anak-anak kecil membesar dengan melihat tingkah laku orang-orang lebih tua dan yang makan garam. Tapi bagaimana agaknya generasi akan datang hendak memacu negara ini untuk jadi lebih aman maju jaya jika kita lihat situasi yang berlaku dalam negara ini sekarang?
Ketidakstabilan politik, sesama Melayu dan Islam berpecah belah, perebutan kuasa, korupsi yang berleluasa, janji tak ditepati, buat kerja sekadar melepaskan batuk di tangga dan pelbagai lagi contoh tidak baik yang ditunjukkan oleh ahli politik negara kita. Ada juga para menteri yang dilantik lemah dan tidak layak dengan jawatan yang disandangnya. Kekurangan ilmu dan latihan membuatkan mereka kurang pengetahuan tentang tanggungjawab yang perlu digalas untuk negara dan rakyat.
Baca juga>> Kampung Baru Dihiasi Manakala Melayu Bandar Semakin Sengsara
Akibatnya, generasi muda kecewa dan tidak mahu lagi keluar mengundi. Walaupun bertukar-tukar pemimpin dari pelbagai parti politik namun keadaan rakyat dan negara tak jauh bezanya dan semestinya janji-janji yang diberikan sekadar pemanis mulut saja. Yang sana salahkan sini, yang sini salahkan situ. Akhirnya yang menanggung adalah generasi akan datang kerana ‘tanah’ dan ‘harta’ yang diwariskan tinggal padang jarak padang tekukur.
Kini, generasi sekarang kurang berminat menimba ilmu. Mereka kata pergi sekolah buang masa, lebih elok jadi pempengaruh yang boleh jana duit. Situasi hidup rakyat marhaen semakin ketat, membuatkan mereka menjadi ‘money oriented’. Tak dinafikan mungkin sistem pendidikan negara kita perlu berubah mengikut peredaran zaman supaya anak-anak lebih berminat ke sekolah. Tapi kalau hal pendidikan juga dipolitikkan, keadaan ini tidak menguntungkan sesiapa pun.
Janganlah kita gadaikan tanah air sendiri hanya kerana perbezaan politik. Para pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab harus dipilih untuk masa depan negara. Kalau tidak, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kerana kegagalan pemimpin, rakyat bakal merana.