Sejarah

Gara-Gara Permintaan Timah Yang Tinggi, British Terpaksa Bertahan Di Tanah Melayu

British telah memperluaskan pengaruh dan menegakkkan kawalan ke atas semenanjung Tanah Melayu dalam jangka masa 1874 hingga 1914.

Sebelum itu British cuma menguasai tiga pengkalan perdagangan: Pulau Pinang, Melaka dan Singapura yang kemudiannya dicantumkan menjadi Negeri-negeri Selat.

British berpuas hati dengan menguasai kawasan-kawasan ini sahaja kerana kepentingannya di rantau ini pada masa itu terbatas kepada menjaga keselamatan dan pertahanan India dan menguasai jalan laut ke China.

Kerajaan British dan Syarikat Hindia Timur Inggeris (EIC) yang memerintah dan mentadbir Negeri-negeri Selat tidak tertarik untuk mernperluaskan kawalan ke atas Negeri-negeri Melayu kerana pengalaman mereka memperlihatkan imperialisme boleh menimbulkan risiko yang tidak menguntungkan.

Misalnya tindakan British untuk mengambil dan memasukkan Naning menjadi wilayah Melaka telah mencetuskan perang yang menelan belanja yang banyak dan hasil yang diperolehi dari Naning pula sedikit benar.

EIC mendapati hasil daripada Negeri-negeri Selat bertambah kurang berikutan dengan penghapusan hak monopoli perdagangannya dengan China selepas 1833.

Campur tangan dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu boleh menyebabkan pertambahan beban bagi EIC.

Walaupun begitu EIC dan kerajaan British tidak menyekat individu-individu British terutamanya golongan saudagar untuk campur tangan dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu.

British terpaksa nilai semula

Menjelang suku terakhir kurun ke-19 kerajaan British terpaksa menilai semula dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu.

Golongan saudagar swasta dan pegawai-pegawai kolonial negeri-negeri Selat mendesak kerajaan British mengubah dasar kerana mereka melihat negeri-negeri Melayu mempunyai hasil kekayaan terutama hasil-hasil bumi seperti bijih timah dan dipercayai juga ada emas.

Saudagar-saudagar Negeri-negeri Selat tertarik untuk melabur dalam bidang perlombongan terutama di Perak dan Selangor.

Sejak tahun 1850-an mereka telah pun mula melabur secara kecil-kecilan.

Golongan saudagar bimbang untuk melabur secara besar-besaran dan meluas kerana pentadbiran dan kestabilan politik di negeri-negeri Melayu tidak dapat menjamin keselamatan modal mereka.

Keadaan politik peribumi di negeri-negeri Melayu terutamanya Perak, Selangor dan Negeri Sembilan selalu bergolak disebabkan pertikaian dalam kalangan golongan kerabat diraja kerana masalah pergantian ke atas takhta kerajaan dan perebutan kawasan-kawasan yang dipercayai mempunyai timah.

Konflik di negeri-negeri Melayu bertarnbah besar disebabkan terdapat persaingan dalam kalangan saudagar-saudagar Cina dan kumpulan-kumpulan kongsi gelap yang bertentangan.

Kekacauan yang berlaku sering melimpah ke Negeri-negeri Selat dan kerajaan India agak lemah untuk mengatasi keadaan ini.

Ini menyebabkan saudagar-saudagar Negeri-negeri Selat mendesak supaya kawalan ke atas Negeri-negeri Selat dipindahkan daripada kerajaan India ke Pejabat Tanah Jajahan (Colonial Office) di London.

Pada tahun 1867 tuntutan ini ditunaikan dan berikutan dengan ini saudagar-saudagar bertambah kuat mendesak kerajaan British supaya campur tangan di negeri-negeri Melayu.

Permintaan timah meningkat pada kurun ke-19

Dalam kurun ke-19 permintaan terhadap timah telah meningkat akibat perang saudara di Amerika Syarikat.

Timah diperlukan untuk membuat barang-barang keperluan tentera seperti tong-tong untuk simpanan minyak dan Iain-lain.

Revolusi perindustrian di beberapa negara Eropah juga telah meningkatkan permintaan terhadap timah termasuk daripada Tanah Melayu.

Faktor-faktor ini menyebabkan berlaku persaingan yang hebat dalam perdagangan hasil-hasil keluaran negeri- negeri Melayu.

Bagi golongan saudagar, jalan yang sebaik-baiknya bagi mengatasi masalah mereka adalah dengan perluasan kawalan British ke atas negeri-negeri Melayu.

Menjelang 1870-an semangat imperialisme dan perlumbaan mencari tanah jajahan telah meningkat dalam kalangan negera-negera Eropah.

Lord Kimberly, Setiausaha Negara Bagi Tanah Jajahan British membayangkan kemungkinan Jerman akan campur tangan di Selangor dan ia menegaskan pendirian British yang tidak akan membenarkan sebarang kuasa asing lain dari membentuk negeri naungan di Semenanjung Tanah Melayu.

la telah mengeluarkan satu arahan kepada Sir Andrew Clarke, bakal Gabenor Negeri-negeri Selat supaya membuat laporan kepadanya mengenai langkah-langkah yang boleh diambil oleh Pejabat Tanah Jajahan bagi memupuk dan memulihkan keadaan dan ketenteraman bagi melindungi perdagangan dan perniagaan di negeri-negeri Melayu.

Perjanjian Pangkor turut dihadiri pemimpin kongsi gelap Cina

Pada 11 Januari 1874, satu pertemuan diadakan di Pulau Pangkor yang dihadiri oleh pihak-pihak yang menuntut tahkta Perak kecuali Raja Ismail.

Turut hadir, pemimpin-pemimpin kongsi gelap Cina yang bertikai dan pegawai-pegawai kolonial termasuk Andrew Clarke sendiri.

Satu perjanjian telah ditandatangani yang dikenali sebagai Perjanjian Pangkor yang di antara lain mengakui Raja Abdullah sebagai Sultan Perak dan pihak istana bersetuju menerima seorang pegawai (residen) British yang mana nasihatnya dalam semua hal mesti diminta dan dijalankan kecuali yang menyentuh agama dan adat istiadat Melayu.

British seterusnya menegakkan kawalan ke atas Selangor, Negeri Sembilan dan kemudian Pahang dalam tahun 1880-an.

Dalam tahun 1895, keempat-empat negeri ini disatukan menjadi Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran.

Peluasan kawalan British dilanjutkan ke Kedah, Kelantan, Terangganu, Perlis dan Johor dari tahun 1909 hingga 1914.

British berusaha untuk memasukkkan negeri-negeri ini di bawah Pesekutuan tetapi gagal dan ditadbirkan secara berasingan.

Terpecah kepada 3 dan hak sultan sebagai pemerintah berdaulat

Dengan itu British Malaya yang muncul dalam 1914 bukanlah merupakan satu unit yang homojinis tetapi berpecah kepacla tiga kategori: Negeri-negeri Selat yang diperintah secara langsung sebagai Tanah Jajahan Mahkota: Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang ditadbir sebagai satu unit dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu yang ditadbir secara berasingan.

Di Negeri-negeri Selat kerajaan British mempunyai kuasa kehakiman dan boleh meluluskan sesuatu rang undang-undang secara Order in Council di bawah Foreign Jurisdiction Acts 1890 dan 1913.

Negeri-negeri Melayu pula dari segi teori masih merupakan negeri-negeri yang berdaulat dan British mentadbir negeri-negeri berkenaan berasaskan beberapa siri perjanjian dengan Sultan-sultan Melayu.

Dalam erti kata lain, negeri-negeri berkenaan kekal sebagai negeri bagi orang Melayu dan perjanjian di antara Sultan dengan British tidak menafikan hak sultan sebagai pemerintah berdaulat atau independent sovereign.

Sumber: Oong Hak Ching
Penggubalan Dasar British Terhadap Tanah Melayu Semasa Perang Dunia Kedua

[wpdevart_like_box profile_id=”100109992115173″ stream=”hide” connections=”show” width=”300″ height=”100″ header=”small” cover_photo=”show” locale=”en_US”]

 

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button