“Hello dan Assalamulaikum everyone. Nama saya Siti Amirah binti Abdullah. Saya berasal daripada Kuala Kangsar, Perak,” itulah bait-bait yang diucap oleh seorang gadis yang nampak molek paras rupanya.
Namun kemudian dia menyambung lagi dengan dialog lebih kurang, “I am a muslim dan saya telah menghafal 15 juzuk al-Quran but …,” kata-katanya itu terhenti dan dia terus membuka tudung.
Bukan sekadar membuka tudung malah dia terus melucut baju kurung yang sebelum ini menutup auratnya sebagai wanita muslim serta Melayu.
Akhirnya yang tinggal, satu baju kecil berwarna hitam menutupi bahagian dada dan skirt pendek di atas paras lutut lantas meneruskan ucapan, “Hello, motherfuckers!”
Tindakan berani gadis berkenaan yang menggunakan username mie_8099 di TikTok telah meraih sorakan atas keberaniannya yang luar biasa yang disifatkan menghina Islam secara terang-terangan.
Menerusi siasatan yang dibuat, gadis berkenaan telah mengambil bahagian dalam sebuah acara di Crackhouse Comedy Club KL yang beralamat di Tingkat 1, 24A, Lorong Rahim Kajai 14 Taman Tun Dr. Ismail, Petaling Jaya.
Sejurus gadis berkenaan memuat naik video mempersoalkan mengapa Crackhouse Comedy Club KL mengharamkan (ban) slotnya di TikTok, akaunnya juga dilumpuhkan serta merta.
Mungkin bagi gadis berkenaan, berpakaian seksi adalah satu hak kerana ramai sahaja wanita Melayu di luar sana turut berpakaian seksi dan memaparkannya dalam media sosial.
Malah bukan itu sahaja, biar pun Islam merupakan agama bagi Persekutuan, golongan liberal dan sekular ini berpendapat pihak berkuasa bukannya boleh mengambil apa-apa tindakan kecuali sesuatu isu itu tular.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), pihaknya tidak sesekali akan berkompromi dengan isu sebegini.