Pada waktu dahulu kala, kerajaan-kerajaan Melayu bukan sahaja meliputi Semenanjung Malaysia sekarang ini, bahkan turut meluas hingga ke Thailand dan sempadan Myanmmar atau juga dikenali sebagai Kerajaan Melayu Segenting Kra. Ketika zaman itu, orang-orang Melayu merupakan rakyat asal negara-negara ini sebelum diambil oleh orang Siam dan lain-lain akibat peperangan dan serangan. Jika siapa yang pernah ke sana Segenting Kra, Thailand atau dalam bahasa Inggerisnya disebut Isthmus of Kra, akan jumpa tinggalan beberapa kampung Melayu yang masih wujud di sana.
Gabungan 12 Kerajaan Melayu merujuk kepada 12 negeri yang terletak di kawasan Segenting Kra. Dikatakan negeri-negeri tersebut adalah seperti berikut:
- Jumbara
- Rundung
- Jaya/Cahaya
- Ghraibi /Krabi
- Terang
- Nagara Sri Dharmaraja (Tambralingga/Ligor)
- Bedelung
- Singgora
- Patani
- Kedah
- Kelantan
- Pahang
Pada awalnya empayar Funan menguasai beberapa kerajaan Melayu sekitarnya dan berkembang maju. Kota negara Tambralingga atau juga dikenali sebagai Ligor menjadi kerajaan terbesar menguasai Segenting Kra. Ini membuatkan empayar Sriwijaya dari Sumatera juga mahu meluaskan kuasanya sampai ke Semenanjung Tanah Melayu. Setelah Funan jatuh, Sriwijaya naik sebagai empayar terbesar di Alam Melayu.
Pada awal abad ke-11, kekuasaan empayar Sriwijaya mulai merosot dan muncul seorang Raja Melayu Tambralingga bernama Suryarnam I yang memperkukuhkan kedudukannya. Beliau berperang dengan negara-negara lain sekitarnya seperti Kerajaan Angkor, negeri Mon di Lembah Chao Praya, Chiengsen (Burma) serta ke selatan ke kawasan Segenting Kra dan dapat meluaskan kuasa Kerajaan Melayu Tambralingga. Dengan kejayaannya ini, Suryavarnam I (1002-1050) telah dianggap sebagai orang Melayu zaman teragung yang strategik dan berani untuk menjadi penakluk terbesar Asia Tenggara.
Kemajuan ini telah menarik minat kuasa besar lain juga iaitu Raja Rajendra Chola I, penyerang Pallava dari India. Negeri-negeri di bawah naungan Sriwijaya di Semenanjung Tanah Melayu seperti Tambralingga, Temasik, Gangga Negara dan Talaittakolam telah diserang pada sekitar 1017 Masihi. Raja Chola menang dan akibat dari serangan ini telah melemahkan kuasa Sriwijaya dengan banyak. Kemudian muncul Raja Melayu Tambralingga yang lain iaitu Dharmaraja Chandrabanu telah membebaskan Tambralingga sepenuhnya dari Sriwijaya pada 1230. Baginda juga cuba menyerang Sri Lanka sebanyak 2 kali di mana beroleh kemenangan buat kali pertama dan kekalahan kali kedua membuatkan kuasa kerajaan Melayu Tambralingga menjadi lemah.
Baca juga>> Penulis Batu Bersurat Terengganu: Siapakah Syariff Muhammad Abdullah Al Baghdadi?
Sejarah Yuan dari China ada menceritakan tentang Orang Melayu dan Siam sentiasa berperang dan berbunuhan. Malah Maharaja China juga berpesan kepada utusan Siam yang dipanggil mengadap supaya mematuhi janji dan tidak menyerang orang Melayu. Namun apabila kuasa kerajaan Melayu Tambralingga semakin lemah, orang Siam Sukothai berjaya mengambil alih kuasa tersebut.
Akibatnya penduduk Melayu negara-negara Segenting Kra mula menerima pengaruh Siam seperti diperkenalkan agama baru iaitu Buddha-Mahayana. Tambralingga sudah menjadi sebahagian negara Siam dan namanya menjadi Nakorn Sri Thammarat atau Nakorn/Lakorn manakala orang Melayu menyebutnya sebagai Ligor. Dengan kejatuhan kerajaan Melayu Tambralingga, negara-negara Melayu Segenting Kra sentiasa menerima ancaman dari Siam dan turut membawa perubahan besar dengan seperti kedatangan Islam di Nusantara. Apabila kekuasaan Siam Sukothai merosot, muncul pula kerajaan Siam lain yang berpusat di Ayuthia.
Kerajaan Siam Ayuthia telah berkembang dan dapat menakluki kerajaan lain seperti Langkasuka yang mempunyai negeri seperti Menara (kini Narathiwat), Patani, Kedah dan Kelantan. Kemunculan empayar Melayu Melaka sedikit sebanyak menggugat kedudukan Kerajaan Siam. Namun apabila kejatuhan Melaka pada 1511, negeri-negeri di bawahnya juga terpecah. Portugis hanya mampu menumpukan pemerintahan di Kota Melaka dan tidak dapat meluaskan pengaruhnya ke utara Semenanjung Tanah Melayu.
Dan akhirnya seperti yang kita tahu, pada tahun 1909, British dan Siam menandatangani ‘Anglo-Siamese Treaty’ tanpa rundingan dengan Raja-raja Melayu lain menyebabkan terpisahlah negeri-negeri utara Segenting Kra dengan Semenanjung Tanah Melayu seperti Yala, Narathiwat dan Patani. Kesan daripada ini, banyak sejarah orang-orang Melayu di negeri-negeri Segenting Kra yang terletak di Thailand banyak hilang dan dilupakan. Malah tidak ramai orang muda Melayu di sana boleh bercakap Melayu atau mengamalkan budaya Melayu. Ketamakan Siam dan British serta kerana kelemahan pemerintah dahulu yang tidak bersuara menghalang telah menyebabkan orang-orang Melayu yang terpaksa berkorban.