Kemajuan zaman dengan wujudnya bangunan-bangunan moden tidak menghalang segelintir orang-orang Melayu yang punya jiwa untuk lestarikan seni, warisan dan budaya menongkah arus.
Sebaliknya mereka ini bukan sahaja dipandang unik malah kelihatan jauh lebih segak kerana busana Melayu tradisional memiliki roh kepahlawanan yang sukar untuk diterjemahkan.
Berikut antara foto orang-orang Melayu zaman ini yang berani menggayakan busana Melayu tradisional semasa musim perayaan Aidilfitri 2023 dan usaha ini perlu dirancakkan sepanjang zaman.


Seperti zaman dahulu kala, busana Melayu tradisional lengkap ini hanya orang-orang tertentu sahaja yang layak memakai atau berpeluang untuk menerimanya sebagai sepersalinan.
Kalau bukan golongan diraja, mereka adalah bangsawan, pahlawan, hulubalang, dermawan atau pelbagai lagi jawatan dan kedudukan yang penting dalam komuniti sosial.
Namun hari ini, trendnya mungkin berubah tetapi praktikalnya tetap sama, hanya orang yang mampu membeli dan berani memakai sahaja ‘mungkin boleh diiktiraf’ penghormatan itu.


Biar pun secara tidak rasmi, pemakaian busana Melayu tradisional adalah lambang atau metafora wujudnya orang-orang Melayu yang istiqomah untuk berjuang dengan cara masing-masing.
Memang benar orang-orang moden boleh berkata, “Pakailah apa-apa sahaja asalkan bersih dan menutup aurat,” tetapi, “Bukanlah Allah mencipta kumpulan-kumpulan manusia itu untuk kita saling kenal-mengenal?”
Nota sinis: Bayangkan orang Jerman, Jepun, Nigeria, Perancis datang ke Malaysia. Datang ke Malaysia sebab nak tengok budaya, warisan dan keunikan yang ada dalam Malaysia. Datang nak tengok macam mana rupa orang-orang Melayu. Tetapi sebaik sahaja tiba di lokasi pertama, KLIA dan seterusnya ke TBS atau KL Sentral, bagaimana mereka boleh mengenal muka ‘the original people of Malay lands’?