Agama

Forum Ilmu Khas: Ibn Arabi Di Kota Sufi Sarat Dengan Ilmu

Selaras Dengan Pendekatan Ahli Sunnah Wal Jama'ah

Satu kupasan ilmiah yang sangat menarik dalam Forum Khas Kota Sufi telah berlangsung dengan jayanya di Sri Sendayan, Negeri Sembilan, baru-baru ini. Forum tersebut dipengerusikan oleh Ustaz Faiz Fateh Al-Azhari dan dibarisi tiga ahli panel yang berkaliber iaitu Pengerusi Kerukunan Ulama’ Nusantara (KUN) Sidi Sheikh Rohimudin An-Nawawi Al-Bantani, Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr. Khairy Mahyudin dan juga Ustaz Abd Rahman Tajudin Al-Azhari Pengkaji Pemikiran Ibn ‘Arabi.

Sheikh Rohimuddin An-Nawawi Al-Bantani

Di dalam sesi Forum, Sidi Sheikh Rohimuddin An-Nawawi Al-Bantani membentangkan kertas Kerja berkenaan dengan istilah pemikiran Ibn ‘Arabi.

Beliau menyatakan bahawa setiap bidang ilmu itu mempunyai istilah yang tersendiri yang berbeza dengan makna yang difahami oleh bidang lain.

Lebih-lebih lagi yang difahami oleh Ahli Tasawuf yang tenggelam dalam pengalaman kerohanian yang tinggi disebabkan tiada kalimah untuk gambaran tentang perasaan tersebut.

Jelas beliau, Kalimah-kalimah al-Ahwal tidak dapat dicapai melalui penaakulan akal semata-mata tetapi perlu melalui konsep al-Zauq dan al-Wijdan.

Kalam-kalam Ahli Tasawwuf bukan boleh difahami melalui akal atau pencaindera semata tetapi perlu melalui al-Kasf dan al-Zauq kerohanian.

Ustaz Abd Rahman Tajudin

Sementara itu, Ustaz Abd Rahman Tajudin menekankan bahawa Ibn ‘Arabi dalam meniti jalan Tariqah untuk menuju Haqiqah tidak lari daripada landasan Syariah Islamiyyah.

Beliau menyatakan, Ibn ‘Arabi sebenarnya berdiri di landasan syariah. Ini terbukti apabila bab-bab ibadah dibahaskan oleh beliau daripada Bab Toharah kepada peribadatan Syariat Haji.

Beliau menyatakan Bab Thoharah bagi Ibn ‘Arabi adalah proses Takhalli yakni membuang segala kekotoran jiwa. Kemudian Bab Solat bagi beliau adalah proses Tahalli iaitu mengisi segala nilai kehambaan seperti penyerahan diri dalam Takbir, ketundukkan dalam Rukuk, kehinaan dalam Sujud serta iftiqar dalam Duduk Antara Dua Sujud.

Ibadah Haji menurut Ibn ‘Arabi seperti dijelaskan oleh Ustaz Abd Rahman adalah proses Tajalli iaitu perindahan Hudur Qalbi Ma’a Allah berfokus hanya kepada pencipta.

Dr. Muhammad Khairi Mahyudin

Dr. Muhammad Khairi Mahyudin turut mengupas secara ilmiah tentang Akidah Ibn ‘Arabi selaras dengan akidah Tanzih Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

Menurut beliau, ayat-ayat Khabariyyah difahami oleh Ibn ‘Arabi dengan Manhaj Tafwidh. Pendekatan beliau dalam berinteraksi dengan ayat-ayat Mutashabihat sangat taslim.

Beliau menjelaskan sifat khabariyyah dalam kitab beliau al-Futuhat al-Makkiyyah. Pendekatan Ibn ‘Arabi bahawa ayat-ayat tersebut adalah Adawat al-Tawsil ila Ifham al-Mukhatibin dan Taqrib ila al- Ifham Shar’an wa Lungahwiyyan untuk memudahkan manusia beriman dengan kewujudan Allah dan sifat- sifatNya dengan makna Tanzih dan Taqdis. Jelas ia juga selaras dengan pendekatan Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

Jawapan Tuntas Dan Ilmiah Ahli Panel Dalam Sesi Soal Jawab

Sesi forum bicara ilmiah turut diselitkan sesi soal jawab oleh Ustaz Faiz Al-Fateh Al-Azhari yang mengemukakan beberapa soalan kepada ketiga-tiga Ahli Panel tentang kalam-kalam Ibn ‘Arabi.

Jawapan penuh ilmiah oleh Sidi Sheikh Rohimuddin An-Nawawi Al-Bantani bahawa kalam Tasawwuf Ibn ‘Arabi mempunyai semantiq yang perlu difahami melalui konteks Ruhiyyah seperti istilah Tabaddul, Raja, Ragbah, Khauf, Fana’, Isyraq, Kasf, Ladunni dan sebagainya.

Beliau menyatakan bahawa, Ahli Sufi melaksanakannya atas dasar Cinta Al-Hubb bukan kerana dasar amalan. Kalam Ibn ‘Arabi tidak lari daripada landasan Al-Quran dan As-Sunnah disebabkan setiap lembaran karya beliau penuh dengan ayat-ayat Al-Qur’an.

Sheikh Rohimuddin menjelaskan, konsep Wahdatul Wujud dengan sebenarnya yang bukan Hulul dan Ittihad. Ibn ‘Arabi sendiri nyatakan bahawa “Siapa yang mengatakan ittihad maka mulhid seperti gabungan antara air dan gelas. Demikian juga, Wahdatul Wujud itu bukan Hulul seperti meresapnya bunga mawar ke dalam air. Ia bersih daripada Hulul dan Ittihad.

“Sumbangan terbesar Ibn ‘Arabi adalah Nazariyyat Tajaliyyah. Tajaliyyat berupa cahaya yang membentuk alam semesta ini. Lantas kesempurnaan majla wujud pada Insan Kamil.”

Beliau turut menjelaskan tentang Tauhid Iradah, Tauhid Syuhadi dan Tauhid Wujudi.

Melalui perincian Ustaz Abd Rahman Al-Azhari menjelaskan bahawa Kewujudan Ibn ‘Arabi berdasarkan Asma’ Al-Husna dan juga Sifat Allah. Ini bermakna Allah itu wujud hakiki, lantas mencipta kewujudan untuk dikenali kerana wujud Kamal dan Jamal. Tajalli Zat, Sifat dan Af’al ke atas alam melalui limpahan Cahaya.

Dalam pada itu, Dr. Khairi Mahyudin menjelaskan dengan ilmiah bahawa Ibn Arabi menumpukan kepada aspek kelebihan bahasa arab dari aspek ilm al-bayan dan ilm al-ma’ani sebagai medium dakwah penyampaian terutama aspek ketuhanan.

Menurutnya, Ibn ‘Arabi menghuraikan kedudukan dan peranan lafaz tashbih dan lafaz tanzih dalam memberi kefahaman kepada masyarakat untuk mengetahui kewujudan Allah dan kesempurnaanNya dan perbezaan ketara dengan makhluk.

Dalam hal ini, Ibn Arabi berpegangan dengan usul ketuhanan bahawa Allah adalah wujud mutlaq Esa, Qadim, Tanzih dan taqdis dan tiada sekutu yang sama denganNya selari dengan kefahaman Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

Forum Ilmiah Di Kota Sufi Ini Menjadi Medan Terbaik

Kupasan ketiga-tiga panel telah membawa masyarakat memahami konsep Akidah, Syariah dan Haqiqah Sufi Ibn ‘Arabi. Ia merupakan jawapan yang sangat tuntas dalam berhadapan dengan tuduhan melulu terhadap Ibn ‘Arabi.

Forum ilmiah di Kota Sufi ini menjadi medan terbaik dalam penjelasan ilmu-ilmu masa kini terutama berkaitan perbahasan Tasawwuf yang tinggi dan bermakna.

Forum Khas ini menampilkan Ahli Panel Ilmuwan ASWJ yang bukan sahaja mempunyai kelulusan yang tinggi malah mempunyai taraf pemikiran yang luas dan matang dalam pembacaan dan pemahaman jitu karya ilmiah Turath.

Justeru, ilmuwan sebegini yang sepatutnya perlu difokus kerana mereka ini muncul dan berada di forum-forum ilmiah, pembicaraan intelek yang mantap serta mempunyai mata hati jernih yang penuh integriti.

Ia dilihat sebagai satu kejayaan besar bagi legasi Ahli Sunnah Wal Jama’ah di bumi Malaysia yang berpusat di Negeri Sembilan.

Semoga Allah memberkati insan-insan yang mendukung program Kota Sufi ini dengan perbahasan ilmu yang bernas, matang serta berfakta ilmiah yang tinggi.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Dapatkan Kandungan Demi Malaiu Sekarang!
Terima Notifikasi Setiap Kali Kami Siarakan Kandungan Baru