Cuba anda bayangkan jika ketum tidak difitnah dan tidak diletakkan di bawah Akta Racun 1952, pasti ia sudah menjadi sumber perubatan tradisional yang tidak terhad hanya untuk rakyat Malaysia sahaja malah boleh dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat dipelusuk dunia.
Sedar atau tidak ketum yang merupakan khazanah tempatan orang Melayu telah difitnah sedikit masa dahulu sehingga menyebabkan National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) telah menggunakan fitnah tersebut untuk mengharamkan ketum.
Kenyataan ini dipetik daripada Pengarah Perubatan Universiti MAHSA dan Felo Akademi Sains Malaysia, Prof. Dr. Mustafa Ali Mohamad.
Mustafa turut menceritakan kembali antara fitnah mengenai ketum tersebut adalah daripada Food and Drug Administration (FDA) yang mengatakan ketum mengandungi bahan psikotropik.
Malah pihak FDA dengan berani mengeluarkan laporan mengatakan ketum menjadi penyebab peminumnya mati, mengahdapai serangan jantung dan lain-lain.
Kemudian, laporan ini kembali disangkal melalui satu kajian yang telah dibuat ke atasnya dan ia didapati bahawa ketum yang digunakan oleh mereka yang dimaksudkan oleh FDA itu adalah 100% mempunyai campuran bahan lain.
Ini antara permulaan kepada salah anggap masyarakat terhadap ketum. Jika dilihat dari sudut mata kasar, mungkin kita boleh kata ini adalah sebahagian agenda yang cuba untuk menghapuskan atau mungkin cuba untuk menidakkan bahawa ketum adalah khazanah asli orang Melayu.
Mustafa berkata, “Big Pharma telah mengintai dan mengetahui ketum mempunyai potensi yang amat tinggi, disamping negara Germany terlebih telah mengeksport ketum dari Malaysia ke serata dunia”.
Maka di sini persoalannnya mengapa di Malaysia kerajaan sendiri mengharamkan ketum tetapi negara lain pula begitu mudah mendapatkan ketum daripada Malaysia untuk didagangkan ke serata dunia?
Fakta mengenai ketum dapat diperkuatkan lagi dengan kajian yang telah dijalankan di sebuah Universiti kerajaan iaitu Universiti Sains Malaysia (USM).
Kajian yang dibuat oleh USM menunjukkan bahawa penagih dadah dan orang mental yang mengambil ketum boleh bekerja dengan baik berbanding dengan penangih dadah yang tidak mengambil ketum.
Seperti kita sedia maklum, penagih dadah itu sendiri mempunyai gangguan perasaan yang tidak menentu serta apabila melibatkan kerja mereka pasti tidak dapat melakukan kerja mereka dengan baik akibat berada di bawah pengaruh dadah.
Baca Juga: Risau Perubatan Moden Barat Terjejas, British Haramkan Ganja Di Tanah Melayu
Mustafa menyatakan selain USM, Universiti Malaya (UM) juga ada melakukan kajian berkenaan ketum dan hasilnya juga adalah positif bahawa ketum boleh menggantikan ‘Metadon’ iaitu ubat yang digunakan oleh penangih dadah untuk tujuan menghilangkan ketagihan mereka.
Namun, dalam kajian tersebut juga tidak dinafikan bahawa kesan bahan psikotropik itu hanya wujud apabila seseorang itu mengambil ketum dalam kuantiti yang berkilo-kilo dan ini adalah mustahil bagi seseorang yang normal untuk bertindak dengan pengambilan ketum yang sedemikian rupa.
Oleh yang demikian, Mustafa menegaskan bahawa tiada bukti saintifik atau kes yang mengatakan orang mati atau mengalami psikosis yang setelah mengambil ketum.
Kes-kes seperti itu tidak akan berlaku selagi mana individu tersebut mengambil ketum dengan cara dan jumlah yang disarankan berserta dengan tujuan dan keperluan yang betul.
“Kajian mengenai ketum sudah banyak Cuma ianya perlu dilaksanakan dengan sempurna dan untuk usaha ini ianya perlu kepada kebenaran daripada pihak berwajib”, tambah Mustafa.