Lagenda sepanjang zaman
Karya-karyanya terus dimainkan, Namanya terus meniti di bibir rakyat Malaysia. Dari generasi tua ke generasi muda, semua meminati filem, lagu dan karya beliau.
Sentuhannya masih relevan hingga kini biarpun sudah berabad karyanya. Meskipun kebanyakan filemnya hanyalah hitam putih di skrin televisyen, ia tetap menjadi pujaan rakyatn Malaysia malah setiap bait dialognya sdetiap karya dihafal peminat filem.
Itulah kehebatan Allahyarham Tan Sri P Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh. Dilahirkan pada 22 Mac 1929 – 29 Mei 1973), merupakan seorang penyanyi, pelakon, pengarah, dan penulis lagu Malaysia.
Dianugerahkan gelaran “Seniman Agung Negara” kerana jasanya yang amat besar dalam industri filem dan muzik dan hasil karya sasteranya yang mana kerjaya lakonannya bermula di Singapura pada 1948 semasa di puncak kerjayanya, sehingga berhijrah ke Malaysia pada 1964.
Sehingga kematiannya, beliau dikenang sebagai ikon terkemuka dalam industri hiburan Malaysia. Kemasyhuran beliau juga berkembang sehingga ke rantau Asia Tenggara, termasuk Brunei, Indonesia serta Hong Kong dan Jepun.
Rakyat Malaysia perlu mengambil tahu tentang kesedaran terhadap nilai kesenimanan dalam diri Seniman Agung yang hingga kini tiada galang gantinya.
Insan hebat ini bukan hanya dikenali sebagai pelakon, Allahyarham juga adalah pemuzik yang sangat hebat dan seorang yang puitis dalam hasil karyanya menjadikan beliau khazanah negara yang sangat berharga dan malar segar.
Penukaran tarikh sambutan Hari Seniman Negara sempena memperingati jasa serta sumbangan beliau kepada industri kreatif negara malah mengangkat karya beliau yang bukan sahaja memperkenalkan Malaysia di mata dunia malahan melahirkan ramai tokoh terutamanya tokoh seniman yang lain serta pakar industri kreatif tanah air.
Beliau telah berlakon dalam 66 filem antaranya siri filem Bujang Lapok (1957–1961), Tiga Abdul (1964), Laksamana Do Re Mi (1972) dan beliau turut mengarang lebih 250 buah lagu seperti Getaran Jiwa, Aci Aci Buka Pintu, Di Mana Kan Ku Cari Ganti, Jeritan Batinku dan Air Mata di Kuala Lumpur yang merupakan lagu ciptaan terakhir yang dirakamkan beliau sebelum pemergiannya.
Kebanyakan filem beliau mengetengahkan unsur nasihat, pengajaran, alunan melodi dan Bahasa yang lembut namun punya nilai dan maksud yang tinggi.
Misalnhya filem Nujum Pak Belalang, salah satu filem komedi Allahyarham yang diminati ramai. Filem yang dihasilkan pada 1959 ini telah memenangi Filem Komedi terbaik di Festival Filem Asia Ke 7 di Tokyo, Jepun.
Filem berunsur komedi ini mengisahkan kehidupan Pak Belalang yang pemalas dan anaknya yang bijak. Kehidupan Pak Belalang berubah menjadi jauh lebih baik dan bertuah kerana adanya si Belalang yang bijak. Jika bukan kerana Belalang, mungkin riwayat Pak Belalang sudahpun tamat diawal cerita.
Filem ini sangat banyak menyelitkan unsur nasihat, sindiran dan kritikan masyarakat samada secara tersurat mahupun tersirat. Antaranya mengenai sikap orang Melayu yang taksub dengan dukun, sikap pemimpin yang melulu, sifat jahil dalam masyarakat dan sikap yang terlalu mementingkan diri.
Pada 29 Mei 1973, seniman agung yang ketika itu berumur 44 tahun, telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Kuala Lumpur akibat sakit jantung.
Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang ialah lokasi dimana jasad arwah disemadikan. Bagi mengenangkan pelbagai jasa dan sumbangan beliau kepada negara, beliau telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 6 Jun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri. Selain itu, rumah terakhir beliau di Setapak, Kuala Lumpur telah diubah suai dan dijadikan sebagai Pustaka Peringatan P. Ramlee.
Meski sudah lebih lima dekad meninggal dunia, nama P Ramlee tetap agung dan tidak pernah gagal menjadi rujukan serta kebanggaan semua generasi.
Berikut antara karya agung dan epik yang tidak pernah ditelan zaman pernah dihasilkan P Ramlee.
MADU TIGA
“Butang baju abang mana, Pah”… Inilah sebaris dialog yang cukup ikonik sehingga membuatkan karya berjudul Madu Tiga ‘mendunia’.
Dialog tersebut diucapkan P Ramlee atau wataknya Abang Jamil kepada isteri pertama, Latifah yang tanpa sedar suaminya berpoligami bukan satu tapi dua wanita yang dikenalinya iaitu Hasnah dan Rohani.
Filem Madu Tiga telah diarahkan oleh P Ramlee pada tahun 1964.
Selain filemnya yang cukup menghiburkan, lagu runut dengan judul sama turut menjadi siulan.
Lagu Madu Tiga malah diulang semula dengan susunan muzik yang segar dan ‘nakal’ oleh komposer dan penyanyi terkenal Indonesia, Ahmad Dhani.
BUJANG LAPOK
Bujang Lapok adalah satu jenama yang cukup ikonik pernah diciptakan oleh seniman agung ini. Ia merupakan naskhah komedi pertama yang diilhamkan oleh P Ramlee.
Ia menampilkan dirinya bersama dua aktor hebat iaitu Allahyarham S Shamsudin dan Allahyarham Aziz Sattar dengan nama Ramli, Sudin dan Ajis.
Ketiga-tiga karakter ini tampil dalam beberapa francais yang cukup mencuit hati termasuk yang pertama, Bujang Lapok yang dihasilkan pada tahun 1957.
Selain itu ada filem Seniman Bujang Lapok dan Ali Baba Bujang Lapok yang juga menjadi naskhah kegemaran sepanjang zaman.
IBU MERTUAKU
Filem Ibu Mertuaku pertama kali dirilis pada tahun 1962 di Singapura.
Diarahkan oleh P Ramlee, watak yang paling mengesankan adalah Mak Dara yang cukup antagonis dengan karakter Nyonya Mansoor.
Ia mengisahkan seorang gadis daripada keluarga berada bernama Sabariah mencintai seorang pemuzik bernama Kassim Selamat.
Apabila ibu Sabariah, Nyonya Mansoor mendapat tahu akan perkara tersebut, dia begitu marah kerana Sabariah telah ditunangkan dengan Doktor Ismadi dan tambahan pula Kassim Selamat ialah seorang pemuzik yang dianggap tidak setaraf dengan kedudukan keluarga Nyonya Mansoor.
Dan apa yang paling mengesankan adalah bagaimana pekerjaan menjadi kasta dalam hubungan serta percintaan yang masih menjadi ‘kayu ukur’ kebanyakan masyarakat kini.
ANAKKU SAZALI
Allahyarham P Ramlee memainkan dua peranan dalam filem yang memaparkan kisah anak derhaka bernama Sazali dalam Anakku Sazali.
Memainkan watak Hassan dan Sazali (dewasa), filem ini diarahkan oleh Phani Majumdar dan diterbitkan pada tahun 1956.
Menerusi filem ini, nama P Ramlee harum di persana seni apabila diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-4 pada 1957 di Tokyo, Jepun.
https://ms.wikipedia.org/wiki/P._Ramlee