Tamadun Kedah Tua merupakan sebuah kerajaan purba yang terletak di Lembah Bujang, iaitu sebuah kawasan yang merangkumi Lembah Sungai Muda di Selatan hingga ke Sungai Sala di Utara Semenanjung. Berdasarkan penemuan arkeologi dan sumber-sumber sejarah, Tamadun Kedah Tua merupakan salah satu pusat perdagangan penting di rantau ini pada zaman purba. Kedah Tua juga dikenali sebagai Kataha, Kadaram, Sai, Kalah, Kalah Bar (KalahPura) dan Kalagram. Menurut catatan I-Tsing (Yijing, 635-715, sami di Dinasti Tang) dari negara China, Kedah Tua juga disebut sebagai Cheh-Cha / Chiecha dalam rekod Cina.
Dengan penemuan tapak arkeologi di Sungai Batu membuktikan terdapat peradaban pra sejarah Melayu kuno yang bermula di Kedah Tua seawal 788 sebelum Masihi, lebih awal daripada Tamadun Rom Kuno yang bermula pada 753 sebelum Masihi. Ini menjadikan tamadun Kedah Tua di Sungai Batu yang tertua di Asia Tenggara.
Tapak ekskavasi Sungai Batu terkenal sebagai pusat peleburan bijih besi. Mereka juga menemui pelabuhan buat kapal-kapal serta aktiviti perdagangan. Jeti-jeti kuno yang ditemui menjadi bukti yang jalan air di Sungai Batu sibuk kerana perdagangan serta pengangkutan untuk penghantaran barang-barang yang ditempa menggunakan bijih besi. 12 buah jeti ditemui di tapak arkeologi Sungai Batu Kuno, serta empat lagi kapal purba yang masih kelihatan di dasar tanah.
Di tapak ini juga, bertaburan ‘tuyere’ (peniup angin), binaan yang digunakan untuk melebur besi ketika industri besi kuno Sungai Batu.
Tuyere berbentuk bulat panjang bersaiz lapan inci dan terdapat lubang di tengahnya. Ia digunakan oleh masyarakat purba Sungai Batu untuk mengepam udara di relau semasa proses peleburan besi. Jangan terkejut bila jumlah ‘tuyere’ yang dijumpai di Sungai Batu berjumlah lebih kurang 2 juta dan terdapat 12 tapak peleburan besi. Bijih besi juga banyak dijumpai di sekitar kawasan tersebut.
Malahan, ‘tuyere’ yang mendapat nama kerana pertama kali dijumpai di Perancis, jumlah yang dijumpai sikit, lebih kurang 20 unit saja. Jadi bayangkan betapa pesatnya aktiviti peleburan bijih besi pada Sungai Batu pada waktu itu termasuk aktiviti eksportnya! Jikalau ‘tuyere’ dijumpai lebih awal, mungkin namanya juga bertukar dek kerana sejarahnya yang lebih lama dan jumlah yang lebih banyak.
Besi dari Sungai Batu ini berkualiti tinggi ini, lebih dikenali sebagai “Qalai” dan sering digunakan untuk pembuatan senjata. Jadi tidak hairan jika ada yang mengatakan antara salah satu pedang milik Rasulullah SAW adalah pedang Qalai iaitu pedang yang diperbuat dari besi yang kualiti tinggi.
Baca juga>>Menelusuri Kewujudan Kalendar Melayu Purba Kedah Tua
Penemuan peradaban Sungai Batu dan Lembah Bujang menjadikan kawasan ini sebahagian besar tamadun Kedah Tua. Masyarakat tempatan waktu itu menganut agama Hindu-Buddha boleh dibuktikan dengan penemuan peninggalan candi di Lembah Bujang. Penemuan prasasti-prasasti batu juga menunjukkan Kedah Tua menjadi tumpuan bukan saja aktiviti perdagangan malah juga ritual keagamaan Hindu-Buddha.
Pelabuhan Kedah Tua berfungsi menjadi tempat penukaran barang, tempat membaiki kapal pelayar dan tempat persinggahan kapal serta pedagang dari Arab, India, Sri Lanka, Parsi dan Eropah sebelum mereka meneruskan perjalanan mereka ke Timur. Pelbagai barang serta produk yang terlibat dalam aktiviti perdagangan yang dikumpul oleh penduduk tempatan seperti bijih timah, emas, beras, lada hitam, gading, damar, rotan, tanduk dan sebagainya. Pada waktu itu juga, Kedah Tua terkenal dengan padi kerana tanah pamah yang subur dan luas.
Era kegemilangan Kedah Tua adalah pada tahun 847-861 iaitu semasa pemerintahan Sultan Al-Mutawakkil. Antara buktinya adalah matawang perak yang digunakan pada zaman Sultan Al-Mutawakkil, barangan kaca dari Timur Tengah dan manik dari India. Kedah Tua juga menjalin hubungan diplomatik dengan kerajaan-kerajaan lain di wilayah tersebut, yang membantu memperkuat kedudukan politik dan ekonomi mereka.
Penguasaan kerajaan Kedah Tua meliputi negeri-negeri utara Semenanjung seperti Pulau Pinang, Perlis, dan Satun, Thailand. Dikatakan juga Kedah Tua menakluk kawasan baharu bermula dari Krabi, Phuket, Terang, Phanga dan Pulau Samilan. Kini kawasan ini sudah menjadi milik Thailand dan bertukar nama. Namun dulu Krabi adalah Kerambit, Bukit adalah Phuket dan Bunga adalah nama lama bagi Phanga.
Secara keseluruhan, kegemilangan Tamadun Kedah Tua tercermin dalam kegiatan perdagangan yang aktif, kebudayaan yang kaya, dan sistem politik yang tersusun dengan baik. Warisan mereka masih terus hidup dalam bentuk peninggalan arkeologi dan warisan budaya yang dilestarikan hingga hari ini.