Sidang Demi Malaiu memohon kerajaan untuk mengiktiraf etno-sains perubatan alam Melayu sebagai tambahan kepada sistem perubatan alopati di sains perubatan.
Jurucakap Utama Sidang Demi Malaiu, Datuk Paduka Dr. Supyan Hussin berpendapat, etno-sains perubatan alam Melayu harus dipertimbangkan kerana ia memiliki potensi berkualiti.
“Malaysia adalah sebuah negara di garisan khatulistiwa yang memiliki hutan tropika yang kaya dengan sumber alami terdiri dari flora (tumbuhan herba dan tanaman pokok-pokok), fauna (haiwan dan serangga) serta dari galian yang dikurniakan oleh Tuhan untuk memulihara kesihatan, mencegah penyakit dan merawat penyakit.
“Dalam masa sama, etno-sains perubatan alam Melayu adalah ilmu kearifan tempatan mengenai perubatan yang diwarisi dari zaman ke zaman dalam alam Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.
Supyan berkata demikian mengulas tindakan kerajaan Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Republik Rakyat China (P.R. China) untuk memanfaatkan perubatan tradisional dan komplementari.
Etno-sains perubatan merujuk kepada ilmu kearifan tempatan dan ia terdiri dari pengetahuan watan (local knowledge), kebijaksanaan serta hikmah watan (local wisdom) dan pengetahuan pribumi watan (indigenous knowledge).
Sidang Demi Malaiu Ucap Tahniah
“Sidang Demi Malaiu mengucapkan tahniah atas keterbukaan Kerajaan Malaysia amnya dan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khasnya.
“Kerajaan Malaysia perlu peruntukan dalam bajet tahunan dan lain-lain sokongan dalam usaha mengukuhkan penyelidikan, pembangunan, pengiktirafan etno-sains perubatan alam Melayu sebagai pelengkap kepada sains perubatan di negara sebagaimana kerajaan China mengiktiraf perubatan etno mereka dikenali sebagai sensei herba dan kerajaan India yang mengiktiraf perubatan etno mereka dikenali sebagai Ayurveda.
“Etno-sains perubatan yang terpinggir dari sistem kesihatan negara perlu diberi perhatian semula kerana perubatan watan adalah bersesuaian untuk semua rakyat dalam negara ini alah ia saling lengkap melengkapkan sains perubatan di negara ini.
“Kami yakin, Allah SWT yang Maha Pengasih dan Penyayang telah menyediakan penawar (herba sebagai contoh) untuk kebanyakan penyakit seseorang itu berdasarkan lokasi serta persekitaran alam semula jadi di rantau ini,” katanya dalam kenyataan itu.
Lebih 30,000 Pengamal Perubatan Etno-Sains Alam Melayu Tidak Dipopularkan
Supyan juga mendedahkan terdapat lebih 30,000 pengamal perubatan etno-sains alam Melayu yang tidak dipopularkan dan terikat dengan pelbagai akta untuk tampil ke hadapan sedangkan kumpulan besar berkemahiran ini bersedia untuk saling lengkap-melengkapi perubatan moden, perubatan alternatif dan perubatan komplementari.
“Sehubungan itu Sidang Demi Malaiu memohon perhatian kerajaan Malaysia untuk melihat usaha kerajaan China dan India yang mengangkat perubatan tradisional mereka untuk dipraktikkan ke negara-negara lain menerusi MoU secara sistematik.
“Sidang Demi Malaiu berharap etno-sains perubatan yang bersifat watan dan memiliki potensi ekonomi dan khidmat kesihatan yang besar ini tidak harus dipinggirkan dan sebaliknya diberi keutamaan sebagai kaedah tambahan untuk kepentingan ekonomi dan kesihatan rakyat,” katanya.